Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RRG selar tuduhan 'tidak berasas, tidak tepat' Fikrah Siyasah tentang misinya

Anggaran Waktu Membaca:
RRG selar tuduhan 'tidak berasas, tidak tepat' Fikrah Siyasah tentang misinya

Ustaz Dr Mohamed Ali. (Gambar: Wee Teck Hian/TODAY)

SINGAPURA: Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Dr Mohamed Ali menyelar tiga catatan online yang dimuat naik ke laman Facebook "Fikrah Siyasah" sebagai "tuduhan tidak berasas" dan "memberi gambaran amat tidak tepat" tentang pertubuhan itu.

Dr Mohamed mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi catatan di Facebook RRG lewat malam semalam (7 Mac) bagi membalas tiga catatan "tidak benar" bertarikh 4, 5 dan 6 Mac 2022 di laman Facebook Fikrah Siyasah.

Catatan-catatan tersebut dimuat naik oleh seorang individu yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibimbing dan diberikan khidmat kaunseling oleh Dr Mohamed semasa dua tahun pertama dia ditahan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Individu di sebalik catatan Facebook itu ialah Zulfikar Mohamad Shariff yang mendakwa Dr Mohamed berkata "pengganasan berpunca daripada Muslim, khususnya golongan Salafi".

Dia juga membuat andaian seolah-olah tempoh penahanannya dilanjutkan semata-mata kerana dia menolak kenyataan tersebut.

Individu itu juga mendakwa bahawa RRG ditubuhkan oleh dua asatizah atas arahan ISD, dengan peneraju utamanya ialah Ustaz Ali Mohamed - bapa Dr Mohamed. 

Memberikan responsnya terhadap catatan-catatan tersebut, Dr Mohamed menegaskan bahawa tuduhan-tuduhan tidak berasas itu juga mencalar nama baik beberapa ulama yang dihormati di Singapura dan RRG.

"Ia menjadi tanggungjawab saya untuk memperjelaskan dakwaan-dakwaan tidak benar tersebut, yang diharap akan dapat membantu mereka yang salah tanggapan," tulis Dr Mohamed Ali.

Beliau menyifatkan dakwaan itu seolah-olah menuduh Ustaz Ali sendiri yang beria-ia mahu menubuhkan RRG, dengan tuduhan tersebut dianggap sebagai tidak berasas dan sengaja memperlekehkan matlamat sebenar di sebalik penubuhan RRG dan tugasnya dalam membimbing dan memastikan para individu yang terjebak dengan pengganasan dapat pulang ke pangkal jalan dan memahami ajaran Islam yang sebenar daripada terus terpesong dengan ideologi tegar.

"Sudah diketahui ramai bahawa keputusan untuk menubuhkan RRG untuk memberi kaunseling kepada individu-individu radikal adalah keputusan yang diusahakan bersama dan dipertimbangkan dengan teliti oleh sebilangan ulama dan asatizah mapan," kata beliau.

Ini termasuk Almarhum Ustaz Abu Bakar Hashim, Almarhum Ustaz Syed Ahmad Muhammad Semait, Almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, Almarhum Ustaz Ibrahim Md Kassim, Almarhum Ustaz Hassan Mustakim, Almarhumah Ustazah Sharifah Badriyah, Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohd Hasbi Hassan.

"Usaha mereka memikul tanggungjawab untuk mencari huraian bagi masalah, mewujudkan program-program kaunseling bagi individu-individu radikal menerusi RRG dan untuk mewujudkan benteng bagi melindungi masyarakat daripada ideologi-ideologi pelampau," tambah beliau.

Usaha-usaha perintis ini sudah diiktiraf oleh ramai di merata dunia dan dicontohi dan merupakan sesuatu yang menjadi "kebanggaan RRG dan Singapura", kata Dr Mohamed lagi.

"Saya sangat kecewa apabila seseorang melihat (RRG) sebagai sebaliknya.

"Bukan sahaja catatan FB itu jelas menunjukkan rasa tidak hormat kepada semua ulama mapan tersebut, tetapi ia juga melemparkan serangan yang berunsur fitnah terhadap komitmen dan niat murni Ustaz Ali untuk berkhidmat kepada masyarakat Muslim," tegas beliau.

Ustaz Ali sudah melalui banyak cabaran dan menyediakan panduan menerusi pengalamannya kepada para asatizah dan masyarakat Muslim. Ustaz Ali juga pernah menyandang beberapa jawatan, termasuk Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan Jawatankuasa Fatwa, menurut Dr Mohamed.

"Pada pandangan saya, biarlah Allah sahaja yang menjadi hakim untuk menilai usaha dan niat beliau (Ustaz Ali). Melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dianggap sebagai fitnah yang dilarang Allah," tambah Dr Mohamed dalam catatannya itu.

Beliau juga berkongsi bahawa para sukarelawan RRG, yang tidak dibayar gaji, sudah berkorban masa peribadi dan juga masa bersama keluarga untuk menyediakan khidmat kaunseling kepada individu-individu yang mudah terpengaruh.

Cabaran radikalisme dan tindakan ekstrem adalah "masalah seluruh masyarakat" dan RRG "berbesar hati" menjadi sebahagian daripada huraiannya, kata beliau.

Sejak rangkaian pengganasan Jemaah Islamiah (JI) terbongkar di Singapura pada 2001, ramai individu yang sudah menjalani proses pemulihan serta keluarga mereka tampil berkongsi tentang ideologi salah mereka dan bagaimana sesi-sesi kaunseling RRG berhasil membantu mereka membuka lembaran baru kehidupan kepada media-media awam.

"Agak mengejutkan apabila perkongsian umum sedemikian dan penghargaan kepada RRG tidak diendahkan sama sekali. Tindakan sengaja mengecualikan maklumat penting tentu sekali mencetuskan tanda tanya terhadap kewibawaan dan niat sebenar catatan sedemikian," luah Dr Mohamed.

Beliau menekankan bahawa RRG menolak sama sekali keganasan sebagai huraian kepada sebarang masalah dan sentiasa menasihatkan rakyat Singapura supaya menjauhi pengaruh politik asing dan jangan membawanya ke Singapura.

"Ini sangat jelas tertera dalam semua penerbitan RRG yang sedia ada di laman kami dan kami terus belajar daripada pihak-pihak lain untuk mempertingkatkan diri," kata Dr Mohamed, sambil mempelawa Fikrah Siyasah agar ke laman pertubuhan itu untuk lebih memahami tentang RRG.

Catatan Facebook Fikrah Siyasah juga mencabar kewibawaan akademik dalam buku yang ditulis oleh Dr Mohamed, yang bertajuk  "The Roots of Religious Extremism: Understanding the Salafi Doctrine of Al-Wala’ wal Bara’".

Ia mendakwa buku tersebut mengecam Salafi bahawa "fahaman pelampau adalah hasil daripada fahaman Salafi" dan "pengganasan adalah Islam". Dr Mohamed menyifatkan dakwaan-dakwaan tersebut sebagai lemah dan tidak berasas.

"Penulisan akademik dalam buku saya menyentuh tentang konsep "Al Wala, wal Bara’" (kesetiaan dan penafian), yang, jika tidak difahami dengan betul, boleh mewujudkan ideologi yang memecahbelahkan.

Konsep tersebut kata beliau, dijunjung sebagai "doktrin agama" oleh kumpulan-kumpulan pelampau untuk mewajarkan  "perjuangan mempertahankan agama" menggunakan senjata.

Fikrah Siyasah juga membuat dakwaan palsu bahawa Dr Mohamed menganggap pengganasan khususnya dicetuskan oleh Muslim.

"Ramai yang menyokong sebaliknya; bahawa saya dan anggota RRG yang lain memandang pengganasan sebagai kegiatan politik yang tidak eksklusif kepada mana-mana kaum atau agama.

"Islam adalah agama keamanan dan RRG sentiasa mendukung idea rahmah bagi semua rakyat Singapura. Sesiapa yang menggalak keharmonian dan keamanan adalah duta Islam," tambah beliau.

Dr Mohamed menasihatkan masyarakat agar terus mengamalkan sikap rendah hati dan baik budi dalam interaksi harian antara satu sama lain, termasuk di ruang siber.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan