Skip to main content

Singapura

RRG perkukuh keupayaan digital dan AI asatizah, kaunselor bagi fahami pengaruh terhadap belia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sedang memperkasa para asatizah dan kaunselornya dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memahami bagaimana ia menjejas golongan belia.

Ia juga sedang mengkaji kaitan antara kegiatan online serta tindakan di luar talian.

Demikian menurut Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali semasa ditemui di Rahat RRG ke-21 yang berlangsung di Shangri-La Rasa Sentosa Resort pada Selasa (2 Jun).

Mengulas lanjut, ia merupakan usaha seterusnya selepas pelancaran saluran WhatsApp baharu RRG.

Bercakap kepada BERITA Mediacorp sebelum acara Rahat RRG Ke-21, Ustaz Dr Mohamed berkata: "Rancangan RRG pada masa hadapan adalah untuk terus memikirkan cara dan platform terbaik bagi mendekati masyarakat selepas penubuhan saluran WhatsApp ini."

Antara usaha yang sedang giat dilaksanakan termasuk peningkatan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan digital dan AI untuk kesemua 42 asatizah dan kaunselor RRG.

“RRG juga sekarang sedang menjalani beberapa latihan yang akan memberikan peluang dan pendedahan kepada anggota RRG tentang isu-isu yang sangat penting seperti penggunaan AI dan juga tentang dimensi psikologi apabila kita menghadapi anak-anak muda yang menjadi radikal,” jelas Ustaz Dr Mohamed.

Usaha dan peranan RRG itu selari dengan ancaman radikalisasi yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi dan AI, menurut Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam dalam ucapannya.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata: “Seiring dengan perubahan ancaman yang dihadapi, peranan RRG juga perlu terus berkembang."

Bahkan beliau menyambut baik usaha RRG membina keupayaan untuk memahami bagaimana AI dan wadah digital mempengaruhi golongan muda, di samping meneliti kaitan antara tingkah laku dalam talian dengan kelakuan di luar talian.

Beliau berkata kandungan ekstremis dalam talian kini semakin disasarkan kepada pengguna, lebih menarik dan mudah diakses, sekali gus mempercepatkan proses radikalisasi.

Memetik contoh kes-kes melibatkan belia yang terpengaruh dengan fahaman ekstremis, Encik Shanmugam berkata antaranya ialah seorang penyokong ISIS berusia 17 tahun, yang ditahan pada 2024, didapati menggunakan AI untuk menghasilkan manifesto serangan serta ikrar taat setia kepada kumpulan tersebut.

Keadaan itu, kata Encik Shanmugam, menunjukkan bagaimana kemajuan teknologi dan AI boleh dimanfaatkan oleh individu yang terpengaruh dengan fahaman ekstremis.

Justeru, beliau menyifatkan usaha dan peranan RRG untuk memperkukuh pengetahuan anggotanya dalam bidang digital, AI dan psikologi belia sebagai sesuatu yang perlu.

Dalam usaha memperluaskan jangkauan mendekati masyarakat terutamanya golongan belia, RRG turut melancarkan saluran WhatsApp yang baharu.

Inisiatif itu melengkapi wadah digital sedia ada seperti laman web RRG, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube.

Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata: "Jika ancaman telah berhijrah ke ruang digital, maka kehadiran dan usaha jangkauan kita juga mesti berada dalam ruang yang sama. Kita tidak boleh mengharapkan belia mencari kita menerusi saluran tradisional jika kita sendiri tidak berusaha menemui mereka di tempat mereka berada."

Menurut pemantauan BERITA Mediacorp di saluran tersebut, ia telah menarik hampir 2,000 pengikut setakat ini.

Melaluinya, panduan agama, refleksi keagamaan, ulasan isu semasa, bahan pendidikan agama serta kandungan berkaitan keharmonian sosial dan ketahanan terhadap radikalisasi akan dikongsi dalam saluran itu.

Dalam menyasar golongan belia, kandungan ringkas juga akan diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya naratif ekstremis dan maklumat palsu dalam talian.

Namun, dalam era AI yang semakin berkembang, kaunselor RRG, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, yang merupakan antara asatizah yang bakal menyumbang kandungan dan panduan menerusi saluran tersebut, menegaskan bahawa peranan asatizah dan guru agama tetap tidak boleh digantikan dengan teknologi.

Menurut beliau, AI dan platform digital boleh dimanfaatkan sebagai wadah untuk menyebarkan ilmu dan mendekati masyarakat, namun bimbingan manusia masih penting dalam memberikan konteks, kefahaman dan nasihat yang sesuai.

"Ia adalah satu platform yang senang untuk digunakan oleh semua. Jadi, kami juga mengambil pendekatan yang sama menggunakan media sosial ataupun WhatsApp ini sebagai medium untuk memberi ilmu kepada mereka yang menggunakannya," kata beliau yang merupakan antara sekitar 100 hadirin acara rahat itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita