Skip to main content

Singapura

RRG perhebat usaha dampingi pembantu rumah asing bagi tangkis ideologi radikal

Radikalisme dan pengganasan yang semakin berleluasa di rantau ini mengancam keselamatan masyarakat berbilang kaum.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Radikalisme dan pengganasan yang semakin berleluasa di rantau ini mengancam keselamatan masyarakat berbilang kaum.

Lantaran itu, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Masjid Kampung Siglap berganding bahu mengusahakan satu sesi dialog khusus untuk mendamping pembantu rumah asing pada Ahad (22 Sep).

Sesi pendampingan itu dipergiatkan lagi bagi memastikan golongan itu tidak terjebak dengan fahaman pelampau.

Ini lebih-lebih lagi bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa yang diperalatkan untuk tujuan yang menyesatkan.

17 TAHUN BEKERJA DI S'PURA, TEKUN TINGKATKAN KEMAHIRAN

Bagi pembantu rumah dari Indonesia, Cik Nanik Sarmini, 44 tahun, Singapura boleh dianggap sebagai rumah keduanya, Apakan tidak, sudah hampir 17 tahun beliau meninggalkan kampung halamannya untuk mencari rezeki di negara ini.

Untuk tidak membazirkan masa rehatnya setiap hari Ahad, beliau akan menghadiri program-program peningkatan kemahiran seperti kursus komputer dan Bahasa Inggeris serta mengikuti syarahan di Masjid Al-Mutaqqin di bawah satu program khusus untuk pembantu rumah asing yang diberi nama Nisa Al-Mutaqqin.

Menerusi program tersebut, beliau berpeluang melakukan kerja-kerja sukarela termasuk membantu usaha RRG menyebarkan mesej bagi mengekang fahaman radikal.

"Kami sering mendengar atau membaca berita mengenai radikalisme yang kadang ada juga kes yang melibatkan tenaga kerja khususnya wanita yang bekerja di sini. Jadi dari apa yang kami dapat berita itu, di situ kami mengambil pembelajaran yang kami kongsi untuk kebaikan kami bagaimana kami memahami apa erti sebenarnya radikalisme itu," kata Cik Nanik, yang akan pulang ke Indonesia sejurus tamat kontraknya pada tahun depan.

Dihadiri seramai 250 pembantu rumah dan disokong MUIS, Pusat Untuk Pekerja-Pekerja Domestik dan Pusat Polis Kejiranan Bedok South, sesi dialog selama dua jam itu bermatlamat untuk memberikan gambaran tentang ancaman keselamatan yang semakin meningkat di rantau ini.

PENTING DALAMI PENGETAHUAN CEGAH FAHAMAN PELAMPAU

Memberikan penjelasannya mengenai pembantu rumah sebagai sasaran RRG, anggota RRG, Ustaz Abdul Manaf Rahmat menjelaskan: "Kalau kita lihat dalam perkembangan terkini pengaruh ideologi ISIS ini telah berkembang di mana-mana, termasuk Singapura."

"Adalah perlu bagi kita memberikan panduan, memberikan penjelasan akan ideologi mereka dan akibatnya," kata Ustaz Abdul Mana.

Sebuah filem pendek berjudul 'Pengantin' yang berdasarkan kisah-kisah sebenar para pembantu rumah asing yang terjerumus ke dalam kancah pengganasan kerana termakan kata-kata manis turut ditayangkan kepada para peserta.

Related article image

Filem itu diarahkan oleh Dr Noor Huda Ismail, Zamil Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, yang turut sama duduk di kerusi panel untuk membincangkan isu tersebut.

BELAJAR AGAMA BUKAN SETAKAT DI INTERNET SAJA

Menurutnya, masyarakat, khususnya majikan harus lebih berwaspada jika pembantu rumah mereka menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal.

Related article image

"Salah satunya yang paling kelihatan itu ketika dia sudah tidak mahu bergaul dengan ramai orang secara terbuka. Kedua, dia mula mengkafirkan orang lain.

"Yang paling penting untuk buat masyarakat paling tahu adalah mendorong orang-orang terutama pekerja asing ini untuk belajar agamanya itu tidak terhenti saja kepada pemahaman di internet tetapi diharuskan dengan pakar yang arif di masjid-masjid yang ada itu," ujar Dr Noor Huda.

Sebanyak sembilan sesi bagi mendampingi pembantu rumah asing sudah dianjurkan sejauh ini dan RRG merancang untuk terus memperluaskannya.

Para pembantu rumah yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai ideologi radikal boleh merujuk kepada RRG untuk mendapatkan nasihat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita