RRG lancar buku panduan keempat tangani isu bertambahnya belia yang jadi radikal
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) telah menerbitkan sebuah buku panduan bertajuk 'Counselling and Mentoring Manual for Youth' yang memberi tumpuan kepada isu radikalisasi belia dengan menyediakan garis panduan untuk mendekati golongan belia yang berisiko dan terpengaruh dengan radikalisme.
SINGAPURA: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) telah menerbitkan sebuah buku panduan bertajuk 'Counselling and Mentoring Manual for Youth' yang memberi tumpuan kepada isu radikalisasi belia dengan menyediakan garis panduan untuk mendekati golongan belia yang berisiko dan terpengaruh dengan radikalisme.
Antara lain, buku panduan itu yang menekankan peranan para kaunselor dan mentor RRG yang semakin berkembang, terutamanya dalam konteks pengaruh dalam talian dan media sosial.
Pelancaran buku tersebut diadakan bersempena Rahat Tahunan RRG yang ke-19 di Hotel Shangri La Rasa Sentosa pada Rabu (29 Mei).
(Facebook/Teo Chee Hean)
Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali berkata buku itu adalah salah satu usaha untuk mendampingi para belia yang terpengaruh dengan fahaman pelampau dan pengganas di wadah online dengan cara lebih berkesan.
"Buku panduan itu bertujuan untuk memperkasakan kaunselor dan mentor RRG dengan keupayaan untuk mengenali, menyesuaikan dan (memberi) tindak balas terhadap sifat ancaman yang pelbagai dan bergerak pantas, terutamanya trend secara online.
"Untuk pendekatan yang lebih holistik. Panduan itu juga mengambil kira pelbagai aspek pembangunan belia dengan tujuan untuk mencapai hasil tidak ketara dan boleh diukur dalam sesi kaunseling dan bimbingan agama," jelas Ustaz Dr Mohamed.
(Facebook/Teo Chee Hean)
Antara ciri utama buku panduan keempat terbitan RRG itu termasuk mempromosikan nilai-nilai Islam yang prososial, mengukuhkan hubungan kekeluargaan, dan membina hubungan yang selamat dan dipercayai antara kaunselor dan menti.
Ia turut memperkenalkan rangka kerja bagi penglibatan belia yang berkesan, dengan penekanan kepada dinamik hubungan sesama manusia, dan kecekapan sosial-emosi.
Kaunselor dinasihatkan untuk menyesuaikan pendekatan mereka mengikut tahap pemulihan belia.
Penilaian dan susulan secara berkala adalah penting untuk menilai kemajuan dan membuat penyesuaian yang diperlukan.
IBU BAPA JUGA PERLU MAINKAN PERANAN
Kaunselor RRG, Ustazah Kalthom Muhammad Isa berkata buku panduan itu akan membantunya memberikan bimbingan dengan lebih berkesan.
"Kadang-kadang kita rasakan bahawa pemahaman belia yang terlalu rendah mungkin membawa mereka kepada radikal secara online. Kebanyakan mereka juga tidak mengikuti pelajaran madrasah separuh masa dengan betul. Kebanyakan mereka menyendiri dalam menghadapi kesulitan dalam memahami agama," jelas Ustazah Kalthom yang juga Naib Presiden Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura, PERGAS.
Selain para mentor, beliau berharap agar para ibu bapa juga dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan anak-anak mereka tidak mudah terpengaruh oleh ideologi radikal atau ekstremis.
"Bukan bermakna mereka (belia) duduk dalam rumah itu sendirian itu sudah cukup baik. Maka kena ada pantauan dan juga daripada pihak ibu bapa. Juga menghantar anak anak mereka ke pusat pengajian secara fizikal," tambahnya.
Buku panduan itu akan dikongsikan kepada masjid-masjid dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) dalam masa terdekat.
PERANAN RRG PENTING SEBAGAI GERAK BALAS SG TERHADAP ANCAMAN RADIKALISME DAN EKSTREMISME: TEO CHEE HEAN
Dalam ucapannya, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean berkata ancaman radikalisme dan ekstremisme di seluruh dunia kekal pada tahap yang agak tinggi, didorong landskap keselamatan global yang bermasalah, termasuk pergolakan di Gaza.
"Pelampau daripada sayap kiri dan kanan spektrum politik, serta daripada latar belakang agama yang berbeza telah mula menggunakan kekerasan. Misalnya, di Amerika Syarikat pada bulan Oktober tahun lalu, seorang lelaki yang terpengaruh dengan retorik Islamofobia telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki Muslim yang berusia enam tahun.
"Rantau ini sedang berdepan dengan ancaman berterusan daripada kelompok pengganas seperti Jemaah Islamiyah (JI). Dua minggu lalu di Johor, seorang lelaki berusia dua puluh satu tahun telah membunuh dua pegawai polis. Dia bertindak sendiri, namun kita tahu bahawa bapanya adalah ahli JI. Anggota RRG tentu ingat bahawa rangkaian JI di Singapura mempunyai pertalian rapat dengan kawasan Ulu Tiram. Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan pengganas global, seperti ISIS, terus mengilhamkan serangan dan menyebarkan ideologi ganas mereka, dibantu oleh Internet dan media sosial," kata Encik Teo.
Kumpulan-kumpulan itu telah menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah kes radikalisasi secara sendiri di Singapura.
Lebih membimbangkan lagi, menurut beliau, adalah meningkatnya bilangan belia yang menjadi radikal.
Sejak tahun 2015, seramai 12 belia termasuk dalam kalangan 38 rakyat Singapura yang menjadi radikal dan dikenakan tindakan di bawa Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.
Sebelum tahun 2015, hanya seorang belia dikenakan tindakan itu.
Menurut Encik Teo, RRG telah memainkan peranan penting dalam tindak balas Singapura dalam menangani ancaman radikalisme dan ekstremisme dan patut dipuji.
RRG, kata beliau, telah menyesuaikan langkah pemulihannya dengan perubahan dalam landskap ancaman.
"Pada tahun lalu, RRG telah mengembangkan Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC), dengan merasmikan pembukaan Galeri Majulah. Galeri ini telah dikunjungi lebih daripada 2,000 orang sejak ia dibuka. RRG juga telah meningkatkan kehadirannya dalam talian dengan melancarkan akaun TikTok pada tahun lalu. Usaha-usaha RRG bagi mendekati masyarakat lebih luas, terutama sekali para belia, patut dipuji," kata Encik Teo.
(Facebook/Teo Chee Hean)
Dalam pada itu, Encik Teo turut melahirkan penghargaan terhadap kerja keras serta pengorbanan RRG selama ini.
Beliau memberi jaminan pemerintah akan terus memberi sokongan demi keselamatan dan keamanan negara.
"Pendekatan Singapura yang berkesan dalam memulihkan individu radikal adalah berkat kerja baik dan pengorbanan RRG. Para perintis RRG, termasuk Ustaz Hasbi dan Almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed, telah mengambil langkah berani untuk sama-sama menubuhkan RRG pada tahun dua ribu tiga, ketika Singapura sedang melalui masa yang amat kritikal. Sejak itu, selama lebih dua dekad, RRG telah menyumbang kepada keselamatan, keamanan dan kestabilan negara, dengan menentang pengaruh ekstremis.
"Ini adalah masa-masa mencabar, namun saya yakin bahawa para pemimpin dan anggota RRG akan meneruskan kerja-kerja baik yang sedang dilakukan. Pihak pemerintah akan memberi anda sokongan yang penuh dalam usaha bersama untuk menjaga keselamatan dan keamanan Singapura," tambahnya.
Seramai 50 anggota RRG dan para tetamu termasuk rakan berkepentingan hadiri di majlis hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.