Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Roti kaya, nasi lemak hiasi syiling iktiraf budaya penjaja S'pura dalam senarai UNESCO

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (20 Okt) melancarkan syiling peringatan bagi memaparkan budaya penjaja Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Roti kaya, nasi lemak hiasi syiling iktiraf budaya penjaja S'pura dalam senarai UNESCO

Syiling berwarna perak yang menunjukkan hidangan kegemaran tempatan berlatarbelakangkan pusat penjaja. (Gambar: MAS)

Diterbitkan : 20 Oct 2021 02:09PM Dikemas Kini : 20 Oct 2021 02:58PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (20 Okt) melancarkan syiling peringatan bagi memaparkan budaya penjaja Singapura.

Syiling itu dilancarkan bagi meraikan pengiktirafan budaya penjaja Singapura dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO pada Disember lalu, menurut MAS dalam satu kenyataan media.

Ia menambah dua versi syiling itu, syiling zink bersalutkan nikel dan syiling perak, akan dikeluarkan pada 12 November.

MAS menyatakan reka bentuk syiling itu menunjukkan "tiga ciri" budaya penjaja di Singapura. Penguasaan kemahiran kulinari oleh para penjaja, gambaran masyarakat majmuk Singapura dan bagaimana pusat penjaja berfungsi sebagai ruang makan masyarakat untuk semua orang.

"Reka bentuk itu memperlihatkan kesungguhan empat penjaja dari pelbagai latar belakang budaya melakukan seni mereka, memberi penghormatan kepada penjaja yang bekerja keras untuk melayani masyarakat," terang MAS.

Bahagian depan syiling itu menunjukkan sajian kegemaran setempat seperti mi Hokkien, nasi lemak, roti prata dan rojak India serta roti kaya yang disajikan bersama telur separuh masak serta kopi. Semua itu berlatarbelakangkan para pengunjung yang duduk makan di sebuah pusat penjaja.

Bahagian belakangnya, yang merupakan wajah utama syiling, menampilkan Lambang Singapura (jata) dengan tahun 2021.

Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Manusia Tidak Ternilai bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pelbagai amalan dan penghargaan budaya serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada amalan dan adat resam masyarakat di seluruh dunia.

Budaya penjaja Singapura tersenarai dalam senarai itu pada 16 Disember 2020.

Penyenaraian itu - yang pertama buat Singapura - dicapai dua tahun selepas hasrat untuk mencalonkan budaya penjaja bagi senarai UNESCO diumumkan pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018. Dokumen pencalonan diserahkan kepada UNESCO pada Mac 2019.

BAGAIMANA UNTUK BELI SYILING

Angka pencetakan, atau jumlah syiling, antara 10,000 untuk syiling zink berlapik nikel dengan nilai muka S$2, hingga 5,000 untuk syiling perak halus 1 troy oz 999 (iaitu sistem yang digunakan untuk mengukur berat logam berharga dan permata) dengan nilai muka S$5.

Kedua-dua syiling itu berbentuk bulat dengan garis pusat 40.70 milimeter.

Sebuah set merangkumi dua syiling juga disediakan pada had 2,000.

Setiap syiling perak dan set syiling disertakan dengan sijil ketulenan bernombor, kecuali bagi syiling S$2 zink berlapiskan nikel.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan awal melalui Singapore Mint mulai sekarang hingga 5 November. Syiling-syiling yang ditempah melebihi bekalan akan diperuntukkan melalui undian, menurut MAS.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa