Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ROMM terima anugerah Daya Tahan COVID-19 hasil kerja keras & dedikasi semasa pandemik

Dedikasi pasukan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) menguruskan pernikahan masyarakat Melayu/islam semasa pandemik COVID-19 diiktiraf.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dedikasi pasukan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) menguruskan pernikahan masyarakat Melayu/islam semasa pandemik COVID-19 diiktiraf.

Mereka telah antara lain mencari huraian-huraian bagi memastikan para pasangan dapat diijabkabulkan sewaktu tempoh pemutus rantaian.

Atas daya usaha mereka itu, mereka dianugerahkan Pingat Daya Tahan COVID-19 dan Sijil Daya Tahan COVID-19.

Anugerah tersebut disampaikan Presiden Halimah Yacob dalam satu majlis di ITE Kolej Tengah hari ini (18 Jun)

PASANGAN BIMBANG RANCANGAN UNTUK BERNIKAH TERGENDALA

Apabila langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan pada April 2020, ramai pasangan yang sudah mendaftarkan pernikahan bimbang tidak dapat melakukannya.

(Gambar: Fazirah Azman)

"Apabila pemerintah membuat pengumuman berkaitan dengan pemutus rangkaian, pasangan-pasangan yang terjejas tarikh pernikahan mereka mula menelefon kami. Kami jadi 'call centre'. Telefon bunyi tak henti-henti dan ada juga yang rasa tertekan sehingga melepaskan tekanan dan kemarahan mereka kepada kami," kata Naib Kadi, Muhammed Nazim Rahuma Dulla kepada BERITAmediacorp.

Para pasangan yang ingin meneruskan hasrat untuk diijabkabulkan kemudian dibenarkan meneruskan hajat mereka secara online.

Ini selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-undang yang membenarkan pasangan menjalani pernikahan tanpa kehadiran secara fizikal.

"Pasangan-pasangan yang majlis nikah mereka tergendala, tertangguh ingin satu keputusan yang cepat daripada ROMM di mana mereka boleh tetap meneruskan perkahwinan. Tempoh lebih kurang dalam satu bulan namun pada waktu itu, tugas-tugas dalaman yang kami lakukan untuk menyegerakan sama ada dari sudut hukum agama tentang pelaksanaan nikah secara online, mahupun dari sudut undang-undang Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA)," kata Pendaftar ROMM, Encik Nor Razak Bakar.

(Gambar: Fazirah Azman)

LATIHAN UNTUK JALANKAN PERNIKAHAN SECARA ONLINE

Seramai 51 Kadi dan Naib Kadi dilatih untuk menjalankan pernikahan secara online dan memastikan ia disempurnakan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Mereka juga dilatih untuk menjangkakan soalan daripada pasangan tentang kesahihan perkahwinan mereka melalui pautan video.

(Gambar: Fazirah Azman)

Namun, ada kalanya majlis tidak selancar seperti yang dirancangkan.

"Kadang-kadang waktu latihan semuanya cantik, semuanya Alhamdulillah tetapi esoknya pula, mic suara tak boleh digunakan dan sebagainya. Jadi cabaran utamanya untuk online adalah menggunakan komputer, teknologi. Sekali berlaku adalah bila saya dah habis akad nikah bahagian saya, pengantin lelaki nak terima (nikahnya) itu dengan semangat tetapi lupa nak 'unmute', jadi bila dah habis semua, saya kata 'mana suara awak?', kongsi Encik Mohammed Nazim.

Satu lagi cabaran tambah beliau adalah peraturan memakai pelitup sepanjang majlis.

"Cabaran di situ ialah bila pengantin lelaki terutamanya kadang-kadang suaranya tidak kuat, tidak jelas waktu akad nikah dan waktu baca taklik," kata beliau.

Secara keseluruhannya, 89 perkahwinan melalui Link Video (VL) telah dijalankan ROMM pada 2020.

Ini kerana ROMM terus menggalak para pasangan supaya menjalankan pernikahan secara online setelah lupusnya tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Ia juga terus bekerjasama rapat dengan MUIS dalam mengemas kini garis-garis panduan COVID-19.

Lebih 100 individu dan lebih 450 pasukan menerima Anugerah Kebangsaan COVID-19 daripada Presiden Halimah Yacob dalam satu majlis di ITE Kolej Tengah petang tadi.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan