Skip to main content

Singapura

ROMM sekali lagi pertimbang kecualikan yuran bagi perubahan rancangan dek peraturan P2HA

Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) sekali lagi "bersedia menimbangkan untuk tidak mengenakan bayaran" sekiranya bakal mempelai perlu mengubah rancangan disebabkan peraturan yang lebih ketat.

Anggaran Waktu Membaca:
ROMM sekali lagi pertimbang kecualikan yuran bagi perubahan rancangan dek peraturan P2HA

Gambar fail cincin . (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) sekali lagi "bersedia menimbangkan untuk tidak mengenakan bayaran" sekiranya bakal mempelai perlu mengubah rancangan disebabkan peraturan yang lebih ketat.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim menyatakan komitmen itu dalam suatu majlis perjumpaan Hari Raya dihadiri 46 Kadi dan Naib Kadi menerusi persidangan zoom pagi tadi (2 Jun).

Langkah itu katanya, demi "meringankan beban" bakal pengantin dan ia diharap dapat disampaikan oleh para Kadi dan Naib Kadi kepada pihak mempelai.

Tahun lalu, ROMM mengecualikan bayaran bagi pertukaran tarikh nikah disebabkan langkah-langkah 'Circuit Breaker'. Pengecualian yuran kini sekali lagi dipertimbangkan disebabkan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Menurut laman ROMM, yuran S$15 lazimnya dikenakan sekiranya rancangan majlis pernikahan mempelai, seperti tarikh, masa atau tempat berlangsungnya majlis, diubah.

Yuran itu bagaimanapun akan dikecualikan bagi tempoh atau kes-kes tertentu, jelas ROMM kepada BERITAmediacorp.

"Saya dimaklumkan bahawa sebahagian besar pasangan yang ingin bernikah dalam tempoh ini (Fasa 2 Kewaspadaan Dipertingkat) masih meneruskan niat mereka. Ada yang menukar lokasi pernikahan, malah ada pula yang memilih untuk bernikah secara online," dedah Dr Faishal dalam ucapannya.

"Inilah daya bingkas masyarakat kita yang patut kita kagumi. Kita tidak berputus-asa, malah mudah menyesuaikan diri demi mencapai matlamat kita. Apatah lagi bagi hal perkahwinan, yang merupakan satu acara penting yang diraikan bersama kedua-dua keluarga."

Dr Faishal menambah, beliau percaya para Kadi dan Naib Kadi juga sudahpun menghulurkan bantuan mahupun sokongan kepada pasangan yang mungkin dalam keadaan tertekan.

12,000 PASANGAN RAIH MANFAAT DARI BERSAMAMU

Sehubungan itu, Dr Faishal mengalu-alukan usaha para Kadi dan Naib Kadi untuk membantu masyarakat membina keluarga yang kukuh di tengah-tengah pandemik sekarang ini.

Ini antara lain dilakukan menerusi program Bersamamu - di mana para Kadi dan Naib Kadi bertemu dengan bakal mempelai untuk memberi sokongan dan nasihat, sebelum tarikh pernikahan mereka.

Menurut Dr Faishal, hampir 12,000 pasangan sudah meraih manfaat daripada program berkenaan sejak ia dilancarkan pada Julai 2019.

"Walaupun masih dibelenggu pandemik COVID-19, para Kadi dan Naib Kadi masih meneruskan usaha untuk menjalani latihan dan mempertingkatkan kemahiran diri melalui wadah online, demi memastikan usaha Bersamamu lebih berkesan," katanya lagi.

Selepas sesi perjumpaan Hari Raya pagi tadi, para Kadi dan Naib Kadi bahkan menyertai satu sesi perbincangan. Menerusi sesi tersebut, mereka dapat bertukar-tukar pandangan dan mencontohi amalan terbaik yang dikongsi antara satu sama lain.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita