Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ROMM orak langkah cuba hasilkan 'golongan pakar' dalam kalangan Kadi dan Naib Kadi

Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) kini dalam proses untuk "melahirkan golongan pakar" dalam kalangan para Kadi dan Naib Kadi.

Anggaran Waktu Membaca:
ROMM orak langkah cuba hasilkan 'golongan pakar' dalam kalangan Kadi dan Naib Kadi

(Gambar: Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

SINGAPURA: Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) kini dalam proses untuk "melahirkan golongan pakar" dalam kalangan para Kadi dan Naib Kadi.

Golongan pakar itu bukan sahaja bertauliah dari sudut agama, tetapi juga mampu memberi kaunseling dan menjadi mentor secara profesional kepada Kadi dan Naib Kadi yang lain.

Ini dilakukan ROMM dengan sokongan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Demikian dedah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim.

Bagi mencapai matlamat tersebut juga, kini satu rangka kerja latihan dilakar oleh ROMM di mana para Kadi dan Naib Kadi akan dibahagikan kepada dua laluan atau jalur.

"Pertama, ialah latihan umum (generalist track) yang melibatkan kesemua Kadi dan Naib Kadi.

"Kedua ialah latihan khusus (specialist track) untuk sekumpulan Kadi dan Naib Kadi yang berminat untuk mempertingkatkan keupayaan mereka dalam menjadi pakar dalam isu-isu kekeluargaan. ROMM sedang menyunting susunan latihannya dan akan berkongsi dalam masa terdekat," kata Dr Faishal.

Beliau berucap demikian di acara 'Community of Practice' (COP) bagi inisiatif Bersamamu menerusi persidangan video Zoom pada Khamis (19 Nov). Acara latihan itu yang diadakan buat julung-julung kalinya, disertai seramai 51 Kadi dan Naib Kadi.

Menurut Dr Faishal, sesi pertama COP itu merupakan wadah untuk para naib kadi mempertingkatkan ilmu dan kemahiran demi membina perkahwinan yang stabil dan utuh dalam masyarakat kita.

Sejauh ini, ROMM, MSF dan MUIS sudahpun menganjurkan sesi latihan sebanyak 22 jam untuk para Kadi dan Naik Kadi. Ini tidak termasuk sesi perkongsian oleh Vista Sakinah dan Hab Inspirasi yang diadakan tahun lalu, dan juga retreat pada awal tahun ini.

"Sesi seperti ini berfaedah agar kita dapat bertukar-tukar pendapat, mempelajari dan mencontohi amalan terbaik di antara kita di samping memperkukuh ukhwah dalam kalangan kita. Saya mengharap dan mendoa agar sesi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa, Insya Allah," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Dr Faishal memuji semangat para naib kadi dalam membantu pasangan mengharungi alam rumahtangga.

Dr Faishal turut menarik perhatian bahawa sejak Bersamamu dilancarkan lebih setahun lalu, lebih 6,000 pasangan sudah meraih manfaat daripadanya, meskipun COVID-19 telah menimbulkan ketidakpastian tahun ini.

Bahkan, beliau mengulas bahawa memberangsangkan kerana ramai pasangan tetap komited dan memilih untuk tidak menangguhkan rancangan perkahwinan mereka.

Justeru, beliau menggalakkan pasangan untuk meneruskan rancangan untuk membina rumah tangga, dan memanfaatkan inisiatif seperti Bersamamu dan program persiapan perkahwinan untuk memupuk rumah tangga yang kukuh.

Sehubungan itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut mengalu-alukan langkah ROMM, MSF dan MUIS dalam melakarkan rangka kerja latihan bagi Kadi dan Naib Kadi.

Dalam catatan Facebooknya hari ini (20 Nov) Encik Masagos menekankan pentingnya untuk memastikan para asatizah terus relevan membimbing masyarakat dalam konteks semasa. Ini selain, sentiasa mempertingkatkan diri mereka sehingga menjadi pakar dalam bidang yang mana mereka berbakat atau gemari.

"Dengan usaha ini, kami mampu menghasilkan golongan asatizah yang pakar dalam bidang kekeluargaan Islam, lantas membina keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh, Insya Allah," tulis Encik Masagos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan