Skip to main content

Singapura

ROMM kecualikan bayaran tunda tarikh nikah bagi pasangan terjejas oleh peraturan COVID-19

Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) akan mengecualikan bayaran bagi pertukaran tarikh nikah bagi bakal mempelai yang terjejas menyusuli langkah-langkah kawalan lebih ketat yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) baru-baru ini bagi mengawal penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
ROMM kecualikan bayaran tunda tarikh nikah bagi pasangan terjejas oleh peraturan COVID-19

Masagos Zulkifli (kiri) dan Dr Faishal Ibrahim (kanan) bersama pasangan dan naib kadi di bawah program Bersamamu. (Gambar: Dr Faishal Ibrahim/Facebook)

Diterbitkan : 28 Mar 2020 03:42PM Dikemas Kini : 28 Mar 2020 03:44PM

SINGAPURA: Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) akan mengecualikan bayaran bagi pertukaran tarikh nikah bagi bakal mempelai yang terjejas menyusuli langkah-langkah kawalan lebih ketat yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) baru-baru ini bagi mengawal penularan COVID-19.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan di laman Facebook pada Sabtu (28 Mac).

Langkah-langkah kawalan tersebut merangkumi perhimpunan di luar tempat kerja dan sekolah, termasuk majlis-majlis perkahwinan, yang tidak boleh melebihi 10 orang.

Langkah tersebut berkuat kuasa pada 11.59 malam pada Khamis (26 Mac).

Dr Faishal turut mengesahkan pengecualian tersebut selepas tiga pasangan menghubungi Pejabat Nikah minggu ini bagi menangguhkan pernikahan mereka yang dijadualkan bulan depan.

"Pasangan dan keluarga tersebut telah membuat pengorbanan yang besar. Kami berterima kasih atas kerjasama yang diberikan. Kami akan berusaha membantu meringankan kesulitan yang dihadapi.

"ROMM, sebagai contoh, akan mengecualikan bayaran bagi pertukaran tarikh nikah," jelas Dr Faishal.

Bagaimanapun, sekiranya pasangan yang merancang untuk bernikah dapat memenuhi syarat kawalan yang ditetapkan, sesi Bersamamu dan pernikahan dapat diteruskan, jelas beliau.

Sehubungan itu, Dr Faishal melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama demi keselamatan masyarakat dan menekankan pentingnya langkah-langkah pencegahan yang diumumkan sebelum ini.

"Langkah-langkah pencegahan ini, seperti juga langkah menutup masjid, amat perlu demi keselamatan dan mengelakkan kemudaratan," tambah Dr Faishal lagi.

Selain menghadkan perhimpunan kepada 10 orang, jarak selamat juga perlu dijaga dan acara-acara tersebut harus dihadkan kepada 30 minit, jelas beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita