Skip to main content

Singapura

ROMM akan kembali ke Canning Rise pada 2029

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Feb 2026 04:42PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 07:09PM

SINGAPURA: Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Orang Islam (ROMM) dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) akan kembali ke tapak asalnya di Canning Rise pada 2029 selepas kerja pembangunan semula selama empat tahun selesai dijalankan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Ahad (8 Feb).

Kerja-kerja pembangunan semula yang bermula pada 2025, dijangka menelan belanja S$31.9 juta, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kertas fakta media.

Walaupun muka bangunan ikonik Canning Rise akan dikekalkan, bangunan yang dinaik taraf itu akan menampilkan ruang lebih luas dan dipertingkatkan bagi upacara akad nikah.

Ia juga dijangka 60 peratus lebih luas berbanding sebelumnya dan mempunyai sambungan belakang dua tingkat, bilik akad nikah yang luas di dalam bangunan dengan latar belakang menghadap taman serta sebuah teres taman atas bumbung bagi upacara di luar bangunan, menurut MSF.

Dengan peningkatan terhadap kapasiti harian dan pelbagai tempat dalam dan di luar bangunan untuk mengadakan upacara akad nikah, lebih banyak upacara akad nikah dijangka diadakan di bangunan yang dinaik taraf itu, menurut MSF.

Kedua-dua pejabat pendaftaran perkahwinan pertama kali berpindah ke tapak Canning Rise pada 1983.

Akad nikah ROMM dan ROM kini diadakan di tingkat 3 Esplanade Mall sedang tapak Canning Rise sedang dibangunkan semula.

Sejak dibuka pada 14 April 2025, tempat sementara itu sudah menganjurkan hampir 6,000 upacara akad nikah.

Semasa mengumumkan pemindahan sementara pada tahun lalu, MSF dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia menyatakan bangunan yang dibangunkan semula itu dapat memenuhi keperluan pasangan mempelai sebagai tempat akad nikah secara lebih baik.

"Apabila kerja-kerja pembangunan semula itu selesai menjelang 2029, anda dapat melihat gabungan warisan dan ciri-ciri kemodenan," kata Encik Masagos di Sambutan Perkahwinan Jubli Emas di Fairmont Singapore pada Ahad (8 Feb).

"Di bawah muka bangunan yang ikonik, pasangan dapat menjangkakan lebih banyak pilihan untuk mencipta pengalaman akad nikah mereka dan kenangan yang berkekalan."

Dianjurkan bersama oleh Majlis Keluarga Sepanjang Hayat, ROM dan ROMM, Sambutan Perkahwinan Jubli Emas adalah acara tahunan yang meraikan mahligai pasangan yang dibina selama 50 tahun atau lebih.
 

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita