Rombongan umrah dari SG ini disertai 18 jemaah kurang daya pendengaran
Jemaah NZ Travel bersama Menteri Negara Kanan, Rahayu Mahzam, sebelum berangkat dari Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
SINGAPURA: Menunaikan umrah bukan sesuatu yang mudah. Jemaah bukan sahaja perlu bersedia dari segi fizikal dan mental, malah perlu sentiasa peka terhadap arahan, terutama ketika berada di kawasan sesak di Tanah Suci.
Bagi jemaah kurang daya pendengaran, cabarannya lebih besar. Mereka mungkin terlepas arahan atau maklumat penting ketika melakukan ibadah seperti tawaf dan sa'i, atau ketika bergerak bersama rombongan.
Namun, cabaran sedemikian tidak seharusnya menghalang mereka daripada menunaikan umrah.
Dengan tekad itu, sebuah agensi pelancongan tempatan, NZ Travel, membuka peluang kepada golongan kurang daya pendengaran untuk ke Tanah Suci.
Seramai 18 daripada mereka berangkat pada awal pagi Sabtu (10 Okt), sebagai sebahagian daripada rombongan 34 jemaah.
BERANGKAT TANPA KELUARGA
Antara 18 jemaah itu ialah Cik Rosilawati Sueb, yang berangkat ke Tanah Suci tanpa ditemani ahli keluarga.
Meskipun berat melepaskannya pergi, abang-abangnya, Encik Mohamad Said dan Encik Noordin Sueb, tetap gembira kerana impian Rosilawati untuk menunaikan umrah akhirnya tercapai.
"Mungkin dalam hatinya kita tidak tahu yang dia mahu pergi. Doa dan impian dia mungkin tercapai hari ini," luah Encik Said.
Sebagai seorang abang, beliau bagaimanapun mengakui tetap berasa sedih melihat adiknya berangkat tanpa keluarga di sisi.
"Sedih jugalah sebab itu adik saya. Kalau bolehlah, dia dapat umrah yang diterima oleh Allah, insya-Allah," tambahnya.
Walaupun bimbang, keluarga Rosilawati yakin beliau akan dijaga dengan baik sepanjang perjalanan, lebih-lebih lagi dengan persiapan dan sokongan yang disediakan untuk jemaah kurang daya pendengaran.
ROMBONGAN DIIRINGI PEGAWAI GUNA BAHASA ISYARAT
Bagi membantu jemaah kurang daya pendengaran lebih bersedia, NZ Travel mengadakan beberapa sesi tambahan sebelum mereka berangkat.
Menurut pengerusi agensi pelancongan itu, Ustaz Zaini Azad, jemaah mengikuti lapan sesi persiapan, termasuk empat kelas solat tambahan selain kelas berkaitan ibadah umrah.
"Memang ada persiapan untuk jemaah yang kurang upaya ini menjalani kursus-kursus khas," katanya.
NZ Travel turut menambah bilangan pegawai untuk membantu jemaah sepanjang perjalanan.
Lazimnya, dua pegawai mengiringi sesebuah rombongan. Namun bagi rombongan ini, empat pegawai akan mengiringi jemaah. Tiga daripada mereka boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Ustaz Zaini percaya kemahiran itu membolehkan pegawai menyampaikan arahan dan membimbing jemaah dengan lebih mudah sepanjang perjalanan dan ketika menunaikan ibadah.
SETIAP JEMAAH DIPASANGKAN DENGAN PENDAMPING
Setiap jemaah kurang daya pendengaran turut dipasangkan dengan jemaah lain sebagai pendamping sepanjang perjalanan.
Pendamping itu akan membantu mereka, terutama ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
"Kami telah berbincang dengan jemaah lain dan mereka sudi menyertai 'buddy system' ini. Jadi, mereka ada rakan yang dapat membantu," jelas Ustaz Zaini.
"Mereka tidak dibenarkan berjalan sendirian. Setiap kali berjalan, mesti ada pendamping," tambahnya.
Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam turut hadir sebelum rombongan itu berangkat pada Sabtu (10 Okt).
Menerusi satu catatan Instagram, beliau menyifatkan suasana ketika para jemaah berkumpul bersama insan tersayang sebelum berangkat sebagai sesuatu yang "menyentuh hati".
"Perjalanan mereka juga mengingatkan kita tentang pentingnya untuk terus memudahkan akses kepada bimbingan dan sokongan agama, supaya semua berpeluang mengambil bahagian secara bermakna dan memenuhi aspirasi agama masing-masing," tulisnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.