Skip to main content

Singapura

Rombongan terakhir jemaah Haji SG berangkat ke Tanah Suci, jemaah terdahulu dalam keadaan sihat: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rombongan pertama dan kedua jemaah Haji Singapura secara amnya, berada dalam keadaan sihat.

Kemas kini itu diberikan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Saya gembira jemaah kita yang sudah berangkat ke Tanah Suci berada dalam keadaan sihat walafiat," kata Dr Faishal.

Para jemaah Singapura di Tanah Suci kini berada di Makkah dan Madinah.

ROMBONGAN 300 JEMAAH HAJI SG TERAKHIR BERANGKAT KE TANAH SUCI

Dr Faishal, yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura tahun ini, turun padang ke Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada Rabu malam (13 Mei) untuk menghantar kumpulan terakhir jemaah haji Singapura ke Tanah Suci.

Rombongan yang terdiri daripada sekitar 300 anggota jemaah Haji itu dijadual berangkat ke Tanah Suci sekitar 2.20 pagi pada Khamis (14 Mei).

“Alhamdulillah, malam ini merupakan keberangkatan kumpulan terakhir sekitar 300 jemaah haji Singapura.

“Mereka akan menyertai lebih 600 jemaah lain yang berada di Arab Saudi," tambah beliau.

Rombongan terakhir jemaah Haji itu menaiki pesawat penerbangan Saudia Airlines SV857 dan dijangka tiba di Madinah pada 6.30 pagi waktu tempatan.

Dengan penuh kesyukaran, Dr Faishal berkata: "Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Arab Saudi di Singapura, pihak Kedutaan, dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas sokongan berterusan mereka dalam memudahkan segala urusan bagi jemaah kita. Kerjasama mereka amat penting dalam memastikan kelancaran ibadah haji bagi jemaah kita."

Antara jemaah dalam rombongan terakhir yang berangkat ke Tanah Suci termasuk Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad.

Selepas menanti selama 13 tahun sejak mendaftarkan nama, Encik Zaqy bakal menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Cik Haryane Mustajab.

Mereka merupakan jemaah GSA Shahidah Travel & Tours.

900 JEMAAH SG TUNAIKAN IBADAH HAJI TAHUN INI

Kumpulan jemaah Haji Singapura tahun ini berangkat secara berperingkat melalui tiga penerbangan berasingan.

Kumpulan pertama berangkat pada 9 Mei, disusuli kumpulan kedua pada 12 Mei.

Buat julung-julung kalinya, semua jemaah berangkat dan pulang secara bersama dan melalui tiga penerbangan langsung ke dan dari Arab Saudi.

Presiden MUIS Mohamed Sa'at Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen turut hadir di Terminal 3 untuk menghantar para jemaah berangkat ke Tanah Suci.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan, para jemaah Haji Singapura dijadualkan pulang ke tanah air dari Jeddah pada 1, 5 dan 8 Jun.

Penerbangan-penerbangan itu dijangka tiba pada sekitar 3.30 petang waktu tempatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita