Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rombongan terakhir 127 jemaah haji SG selamat berangkat ke Tanah Suci

Kumpulan terakhir jemaah haji tahun ini seramai 127 jemaah, selamat berlepas ke Jeddah pada Isnin (10 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kumpulan terakhir jemaah haji tahun ini seramai 127 jemaah, selamat berlepas ke Jeddah pada Isnin (10 Jun).

Para jemaah dan pegawai daripada tiga agensi pelancongan Haji (GSA) - Halijah Travels, Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours itu menaiki penerbangan Scoot TR596 yang berlepas daripada Lapangan Terbang Changi sekitar jam 5 petang.

Mereka dijadualkan tiba di Jeddah pada sekitar 8.20 malam waktu tempatan.

DIUJI DENGAN PEMERGIAN ORANG TERSAYANG 2 MINGGU JELANG KEBERANGKATAN

Sejak jam 11 pagi lagi, para jemaah dan kaum keluarga mereka sudahpun berkumpul di Terminal 1 untuk keberangkatan terakhir rombongan haji Singapura tahun ini.

Antara jemaah yang berangkat pada hari ini ialah Encik Mohamad Ismadi Salleh, 54 tahun dan isterinya Cik Noorhaida Hamid, 52 tahun.

Perasaannya untuk ke tanah suci bercampur baur setelah mengharungi detik-detik sukar baru-baru ini.

"Saya diuji dengan pemergian bapa saya dua bulan lepas dan ibu saya pun menyusul dua minggu lepas, genap dua minggu hari ini. Perasaan terasa sedih tetapi saya tetap redha dengan ke hadrat Allah. Mungkin ini ada satu hikmah yang Allah akan beri pada kami insya-Allah," kata Encik Ismadi, yang mengikuti GSA Shahidah Travel & Tours.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pasangan yang mempunyai dua anak itu yang dijemput ke tanah suci selepas penantian 10 tahun sudahpun melakukan persediaan termasuk bersenam untuk kuatkan stamina.

Encik Ismadi menambah, pihak Shahidah Travel & Tours juga sudah memberi pesanan untuk menempuhi cuaca panas di Makkah nanti.

"Cuaca di sana mungkin agak panas dalam 40 hingga 50 darjah Celcius. Jadi GSA menasihatkan kita banyak minum air, untuk jaga diri duduk dalam bangunan penginapan, jangan selalu keluar," tambah Encik Ismadi.

Demikian juga antara persiapan yang dilakukan pasangan suami isteri, Encik Adha Ahmad, 43 tahun dan Cik Nur Diyana Sahaimi, 37 tahun.

Selain senaman, pasangan yang mengikuti rombongan TM Fouzy Travel & Tours itu juga membawa ubat-ubatan sebagai bekalan.

Pasangan yang berdaftar pada 2012 itu juga bersyukur di atas sokongan keluarga yang tampil membantu menjaga empat orang cahaya mata mereka.

"Terima kasih pada keluarga saya yang banyak membantu untuk menguruskan anak-anak saya, sokongan keluarga sebab mengerjakan haji ini bukan mudah. Memerlukan kekuatan emosi dan fizikal," kata Cik Diyana.

KEADAAN JEMAAH SG SIHAT, JURURAWAT & PEGAWAI ADA UNTUK JAGA JEMAAH

Dalam pada itu, Eksekutif Logistik dan Pentadbiran syarikat TM Fouzy Travel, Mohd Zainol Amin berkongsi dengan BERITA Mediacorp perkembangan terkini para jemaah Singapura yang sudahpun berada di tanah suci.

Menurutnya mereka sedang menginap di apartmen Shisha dan semuanya berada dalam keadaan baik dan sihat.

Pengalaman mereka juga turut dijadikan iktibar dan dikongsi buat kumpulan terakhir ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kita ada beritahu jemaah, ada masa kita boleh keluar daripada apartmen. Ada masa kita tidak boleh keluar pasal cuaca sana terlalu panas waktu sekarang ini," kata Encik Zainol.

Dengan lebih 2 juta jemaah dari seluruh dunia yang akan memasuki Makkah untuk musim haji kali ini, pihaknya sudahpun memaklumkan para jemaah tentang kesesakan yang boleh dijangka.

"Sampai di Jeddah itu biasanya sesaklah. Jadi para jemaah itu akan diuruskan, Ustaz di sana akan sambut mereka dan pihak AMTAS juga akan sambut mereka masuk ke dalam bas.Mereka akan terus masuk ke Shisha, insya-Allah," ujarnya.

Syarikat TM Fouzy juga prihatin akan keperluan para jemaah yang lebih berusia atau berkeperluan khas.

Justeru, beberapa langkah sudahpun diambil pihaknya untuk memastikan para jemaah dapat melaksanakan ibadah mereka dengan sempurna.

"Kita ada dua jururawat yang akan jaga mereka di sana. Kita ada pegawai-pegawai yang akan jaga jugalah. Semua kita gotong-royong kita akan jaga jemaah yang berkeperluan untuk laksanakan ibadah haji dekat sana," jelas Encik Zainol.

Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli bersama-sama para pemimpin Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut hadir untuk beramah mesra dengan para jemaah dan keluarga mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan