Rombakan Kabinet: Terlalu awal ramal siapa bakal terajui pasukan 4G
Rombakan kabinet kali ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, sebagai peluang menguji keupayaan para penyandang jawatan sebelum menentukan generasi pemimpin akan datang.
SINGAPURA: Rombakan kabinet kali ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, sebagai peluang menguji keupayaan para penyandang jawatan sebelum menentukan generasi pemimpin akan datang.
Demikian menurut pengamat politik dan zamil kanan di ISEAS Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat sebagai mengulas rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (23 Apr).
Perubahan itu melibatkan tujuh menteri bertukar portfolio mulai 15 hari bulan depan.
Mereka ialah Lawrence Wong, Chan Chun Sing, Gan Kim Yong, Ong Ye Kung, S Iswaran, Josephine Teo dan Dr Tan See Leng.
Rombakan Kabinet itu yang kedua dalam masa sembilan bulan, dua minggu setelah Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan beliau mengundurkan diri sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G).
Dr Norshahril berkata barisan baru kabinet itu memberi pasukan 4G lebih banyak pendedahan bagi memilih pemimpin baru dalam kalangan mereka.
"Dalam usaha kita mencari seorang pemimpin yang baru yang akan menggantikan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, kita perlu mengambil langkah-langkah yang penting iaitu untuk mendedahkan pemimpin-pemimpin muda ini pada portfolio-portfolio yang berbeza. Ini kerana untuk menjadi seorang PM atau seorang pemimpin Singapura itu seseorang itu perlu mempunyai pengalaman yang luas," kata beliau.
Tambahnya lagi: "Kalau kita lihat dalam sejarah kepimpinan Singapura, portfolio-portfolio yang dikatakan sebagai penting yang dikatakan seakan-akan wajib sebelum seseorang menjadi Perdana Menteri adalah perdagangan dan perusahaan,kementerian kewangan dan juga portfolio-portfolio lain dan pemimpin tersebut juga perlu mendapat sokongan daripada rakyat.
Dan di sini, sokongan akar umbi juga penting. Dan kalau kita lihat indikator-indikator sedemikian kita faham mengapa perlu dipercepatkan lagi proses di mana kita mendedahkan menteri-menteri baru ini kepada portfolio-portfolio yang berbeza."
PM Lee dalam sidang media untuk mengumumkan barisan baru kabinet itu berkata perubahan tersebut akan membolehkan para pemimpin generasi ke-4 itu mendapat pendedahan baru selepas menimba pengalaman dalam pelbagai portfolio.
Rombakan itu juga, katanya, memberi mereka peluang untuk bekerjasama dalam kapasiti baru agar lebih memahami satu sama lain bagi mengukuhkan perpaduan sebagai sebuah pasukan.
Justeru, Dr Norshahril berpendapat masih terlalu awal untuk menentukan siapakah dalam kalangan pemimpin muda 4G yang berpotensi mengambil alih tampuk pucuk pimpinan negara.
"Terus terang saya katakan dalam rombakan kabinet kali ini ia jelas bahawa tidak ada seorang pemimpin pun yang boleh dikatakan sebagai calon yang utama kerana ini adalah satu proses untuk mencari pemimpin tersebut," katanya.
"Kita tahu ini masih mempunyai proses yang panjang kerana kita tahu dengan perubahan kementerian-kementerian di kalangan menteri-menteri ini menunjukkan bahawa mereka perlu didedahkan kepada situasi atau dasar-dasar yang berbeza-beza," tambah beliau.
"Sebenarnya tiada satu pemimpin pun yang muncul dalam proses ini buat masa ini dan itu bukanlah matlamat utama saya fikir rombakan kabinet pada kali ini kerana kalau kita mahu melihat pemimpin dengan lebih jelas kita perlu menantikan siapa yang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,"ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.