Skip to main content

Singapura

Rombakan Kabinet: Chan Chun Sing, Lawrence Wong & Ong Ye Kung diberi portfolio baru; tiada DPM baru

Tiga menteri generasi keempat (4G) yang disebut-sebut sebagai antara calon utama yang bakal menjadi Perdana Menteri Singapura seterusnya diberikan portfolio baru dalam rombakan Kabinet terkini yang diumumkan pada Jumaat (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Rombakan Kabinet: Chan Chun Sing, Lawrence Wong & Ong Ye Kung diberi portfolio baru; tiada DPM baru

(dari kiri) Menteri Pendidikan Lawrence Wong, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing dan Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung.

Diterbitkan : 23 Apr 2021 07:47PM Dikemas Kini : 23 Apr 2021 07:52PM

SINGAPURA: Tiga menteri generasi keempat (4G) yang disebut-sebut sebagai antara calon utama yang bakal menjadi Perdana Menteri Singapura seterusnya diberikan portfolio baru dalam rombakan Kabinet terkini yang diumumkan pada Jumaat (23 Apr).

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing akan mengambil alih Kementerian Pendidikan daripada Encik Lawrence Wong, yang dilantik sebagai Menteri Kewangan. Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pula akan menjadi Menteri Kesihatan seterusnya, menggantikan Encik Gan Kim Yong, yang akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Kesemua pelantikan baru itu akan berkuat kuasa 15 Mei selepas Parlimen bersidang pada sesi seterusnya.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, yang dijangka akan menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengumumkan pada awal bulan ini bahawa beliau akan mengundurkan diri sebagai pemimpin pasukan 4G bagi memberi laluan kepada seorang yang lebih muda untuk menjadi Perdana Menteri Singapura seterusnya.

Encik Heng akan terus mengekalkan peranannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi. Beliau akan melepaskan portfolionya sebagai Menteri Kewangan.

Timbalan Perdana Menteri baru tidak diumumkan sebagai sebahagian daripada rombakan itu.

Di sidang media bagi mengumumkan keputusan Encik Heng pada awal bulan ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong tidak menolak kemungkinan seorang menteri 4G akan dilantik sebagai seorang lagi Timbalan Perdana Menteri untuk menimba pengalaman.

Menyusuli pengumuman Encik Heng, para pemerhati politik meramalkan Encik Chan, Encik Wong dan Encik Ong sebagai calon-calon yang berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

PM Lee berkata di sidang media pada Jumaat bahawa rombakan Kabinet kali ini akan membolehkan para menteri 4G untuk mencedok pengalaman baru dan memperolehi pendedahan.

"Kebanyakan menteri 4G sudahpun memperolehi pengalaman dalam pelbagai portfolio," katanya.

Bagaimanapun, PM Lee berkata bahawa mereka perlu "bekerja dan menyesuaikan diri dengan pantas", kerana meskipun keadaan COVID-19 di Singapura lebih stabil sekarang, negara ini masih di tengah-tengah krisis kesihatan awam dan ekonomi.

"Rombakan ini juga adalah satu peluang untuk mereka bekerjasama dalam kapasiti baru, supaya mereka dapat memahami satu sama lain, di samping memperkukuhkan perpaduan sebagai sebuah pasukan," tambahnya.

"Ini akan membolehkan pasukan yang baru ini lebih bersedia untuk mengambil alih dari saya dan rakan-rakan sekerja saya yang lebih tua."

Encik Wong dan Encik Ong mungkin berkhidmat kurang dari setahun dalam portfolio mereka sekarang sebelum dipindahkan, dan PM Lee akur bahawa pergerakan pantas ini adalah sesuatu yang "tidak diingini" dan "sedikit mengganggu" bagi kementerian-kementerian.

"Kadangkala ia sesuatu yang memang perlu dan kemudian anda berfikir dengan teliti dan jika tidak dapat dielakkan, anda akan melakukannya. Dan lain kali anda perlu berfikir dengan teliti lagi," katanya lagi.

"Mengenai bagaimana kami membuat keputusan ini, ia adalah hasil perbincangan yang menyeluruh. Saya berbincang dengan ramai menteri, termasuk DPM Heng, sebelum saya membuat keputusan.

"Dan selepas itu saya perlu berbincang dengan setiap menteri bagi memastikan mereka memahamai misi baru mereka dan matlamat di sebaliknya sebelum memutuskannya."

Sungguhpun demikian, PM Lee berharap selepas pelantikan ini, kedua-dua menteri itu akan dapat "berkhidmat bagi satu tempoh yang agak lama".

CHAN CHUN SING

Encik Chan, yang bersama dengan Encik Heng adalah kedua-dua penolong setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan mengambil alih sebagai Menteri Pendidikan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata bahawa Encik Chan telah melaksanakan "tugasnya dengan cemerlang" dalam memastikan ekonomi Singapura kembali menepati sasarannya dan mempersiapkan industri-industri dan syarikat-syarikat memberikan respons yang sewajarnya kepada perubahan struktur dalam ekonomi global.

"Ini telah menjadi keutamaan paling penting negara," kata PM Lee.

"Kini saya akan memindahkannya ke Kementerian Pendidikan, di mana beliau akan meneruskan usaha yang dilaksanakan oleh para menteri pendidikan sebelum ini, iaitu untuk mempertingkatkan sistem pendidikan kita dan memberi peluang kepada setiap kanak-kanak dan pelajar untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

"Mengasuh orang jauh berbeza daripada mengembangkan ekonomi atau menggembleng tenaga kesatuan. Saya menantikan Chun Sing menggalas tanggungjawab baru ini dan memperluaskan lagi pengalamannya."

Encik Chan akan melepaskan jawatannya sebagai timbalan pengerusi Persatuan Rakyat. Beliau akan digantikan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.

Selepas meninggalkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF)sebagai Panglima Tentera Darat, Encik Chan, 51 tahun, dipilih sebagai Anggota Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2011.

AP GRC Tanjong Pagar itu sudah memegang pelbagai portfolio sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dari 2015 hingga 2018. Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan pada 2018.

LAWRENCE WONG

Menurut PM Lee, Encik Wong, yang sebelum ini membantu Encik Heng sebagai Menteri Kedua Kewangan sejak 2016, memilki pengalaman dan "sesuai secara semula jadi bagi tugas" sebagai Menteri Kewangan.

"Pasukan Kementerian Kewangan tidak berubah. Menteri Indranee Rajah akan menyokong Lawrence sebagai Menteri Kedua," menurut PM Lee.

Encik Wong akan terus mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19, tambah PM Lee.

Encik Wong, 48 tahun, juga dilantik sebagai AP pada 2011. Beliau sebelum ini menerajui Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia sebelum dilantik Menteri Pembangunan Negara pada 2015. Beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan apabila Kabinet dirombak pada Julai tahun lalu.

Sebelum menceburi bidang politik, mantan pegawai perkhidmatan awam itu adalah Ketua Setiausaha Sulit PM Lee dari 2005 sehingga 2008 dan ketua eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

ONG YE KUNG

Encik Ong, 51 tahun, akan mengukuhkan lagi "asas teguh" yang dilakarkan oleh Menteri Kesihatan masa kini Encik Gan Kim Yong, menurut PM Lee.

"(Beliau akan) menangani isu-isu seperti infrastruktur jagaan kesihatan dan kewangan penjagaan kesihatan. Ini memerlukan usaha kita yang tidak henti-henti melibatkan ramai menteri kesihatan," menurut PM Lee.

Encik Ong juga akan menggantikan Encik Gan sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19, tambah PM Lee.

PM Lee menjangkakan gandingan baru itu akan bekerja rapat, memastikan dasar-dasar COVID-19 diselaraskan dengan baik dan memastikan "tiada kelemahan".

"Dan begitulah bagaimana seluruh Kabinet akan berfungsi kerana orang ramai mesti tahu bahawa anda bekerja keras, melakukannya sebagai sebahagian daripada sebuah pasukan, dan anda memainkan peranan anda tetapi pada masa yang sama anda menyokong antara satu sama lain," tambahnya.

"Ini supaya apabila sesuatu masalah timbul, kita dapat menangani masalah itu secara holistik dan bukan sendirian, menangani masalahnya, dan meninggalkan jurang atau bertindih dan mencetuskan konflik antara kementerian yang berbeza."

Pada 2015, Encik Ong dipilih sebagai AP GRC Sembawang, di mana selepas itu beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan yang menyelia pendidikan tinggi dan kemahiran serta sebagai Menteri Kedua Pertahanan.

Semasa rombakan Kabinet 2018, Encik Ong mengambil alih sepenuhnya portfolio pendidikan termasuk peranan menyelia sekolah-sekolah - peranan yang sebelum ini dipegang oleh Encik Ng Chee Meng. Beliau juga akan melepaskan portfolio pertahanan.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), Encik Ong dilantik selaku Menteri Pengangkutan, menggantikan Encik Khaw Boon Wan yang bersara.

JANGKITAN BARU DI DORMITORI

Mengenai pelantikan Encik Ong sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19, PM Lee berkata bahawa beliau tidak fikir perubahan itu akan menjejas keadaan di dormitori Westlite Woodlands, di mana 17 pekerja yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 diuji positif sekali lagi.

PM Lee menarik perhatian bahawa Menteri Kedua Tenaga Manusia Tan See Leng, yang akan mengambil alih tugas Cik Josephine Teo sebagai Menteri Tenaga Manusia, akan bertanggungjawab ke atas dormitori-dormitori.

"Ini bermakna individu berbeza akan bertanggungjawab terhadap respons keseluruhan COVID-19 kita, tetapi ia adalah sesuatu yang kita akan terus berusaha," tambahnya.

"Saya juga harus memaklumkan bahawa pelantikan itu akan berkuat kuasa pada 15 Mei, iaitu tiga minggu dari sekarang. Dan selama tiga minggu akan datang, saya pasti kita akan melakukan lebih banyak lagi di Westlite Woodlands dan dormitori- dormitori lain."

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita