Skip to main content

Singapura

ROM, ROMM pindah sementara ke Esplanade Mall mulai April

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jan 2025 05:54PM Dikemas Kini : 14 Jan 2025 11:48PM
SINGAPURA: Selepas empat dekad beroperasi di Canning Rise, Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) akan berpindah buat sementara ke Esplanade Mall pada April.

Ia bagi memberi laluan bagi tapak sedia ada di Canning Rise untuk dibangunkan semula dari 2025 hingga 2028.

"Pembangunan semula itu akan memenuhi keperluan setiap pasangan dengan lebih baik lagi dalam melayari bahtera rumah tangga," menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Selasa (14 Jan).

ROM dan ROMM akan menghentikan operasi di Canning Rise pada 11 April.

Khidmatnya akan disambung semula di Tingkat 3 Esplanade Mall pada 14 April, mengambil alih ruang yang sebelum ini menempatkan library@esplanade.

Bagi memudahkan pemindahan itu, khidmat janji temu secara bersemuka dan majlis pernikahan tidak akan dikendalikan di tapak Canning Rise semasa hujung minggu 12 April dan 13 April.

Namun, upacara perkahwinan yang diadakan di lokasi luar, termasuk melalui pautan video, tidak akan terjejas.

Semua janji temu dan majlis pernikahan yang dijadualkan di ROM/ROMM dari 14 April akan secara automatik dipindahkan ke lokasi baharu di Esplanade Mall.

Pasangan dengan tempahan sedia di 7 Canning Rise pada 12-13 April, akan dimaklumkan tentang perubahan itu untuk membuat aturan lain, jelas dua kementerian itu.

Semasa tempoh peralihan tersebut, pasangan dinasihatkan supaya memeriksa portal Our Marriage Journey (OMJ) bagi maklumat terkini.

BANGUNAN BAHARU ROM/ROMM

ROM dan ROMM berpindah ke Canning Rise pada Ogos 1983.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan semula tapak Canning Rise, pihak berkuasa merancang untuk mencipta semula seni bina bangunan itu, yang dikenali dengan bentuk unik bumbungnya.

Antara ciri utama di bangunan baharu itu nanati ialah bilik perkahwinan yang lebih besar dan moden termasuk ruang pernikahan di bumbung, serta ruang hijau dalam bangunan serta tempat mengambil gambar di dalam dan luar bangunan.

"Kemampanan juga menjadi tumpuan utama , dengan ciri-ciri seperti sustem pengurusan bangunan yang cekap tenaga dan bahan mampan yang akan digunakan dalam bangunan yang baharu itu," menurut kedua-dua kementerian itu.

Butiran lanjut mengenai bangunan baharu ROM/ROMM akan diumumkan kemudian, tambahnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita