Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ROM, ROMM di Esplanade akan tawar khidmat nikah hari Sabtu

Pasangan yang ingin bernikah pada hujung minggu akan dapat berbuat demikian pada hari Sabtu di lokasi sementara di Esplanade Mall, di mana Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) beroperasi sedang premis biasa mereka di Canning Rise menjalani kerja-kerja pembangunan semula sehingga 2028.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Apr 2025 12:35PM Dikemas Kini : 15 Apr 2025 01:01AM
SINGAPURA: Pasangan yang ingin bernikah pada hujung minggu akan dapat berbuat demikian pada hari Sabtu di lokasi sementara di Esplanade Mall, di mana Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) beroperasi sedang premis biasa mereka di Canning Rise menjalani kerja-kerja pembangunan semula sehingga 2028.

Ini adalah sebagai respons kepada maklum balas daripada pasangan yang lebih memilih upacara hujung minggu supaya lebih ramai anggota keluarga dan rakan-rakan dapat hadir, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam kenyataan media bersama pada Isnin (14 Apr).

Untuk perkahwinan sivil, pasangan akan dapat mengadakan pengesahan perkahwinan mereka pada hari Sabtu bermula pada 17 Mei, antara pukul 9.30 pagi dengan pukul 11.30 pagi dan antara pukul 1 tengah hari dengan pukul 5.00 petang. Mereka boleh menempah slot pilihan mereka dari 14 April - sehingga enam bulan lebih awal menggunakan portal Our Marriage Journey.

Untuk upacara pernikahan pasangan Islam, slot tertentu akan diadakan mulai Oktober, dan pasangan juga digalakkan untuk menimbangkan lokasi masyarakat, termasuk masjid, untuk majlis pernikahan mereka, menurut kementerian-kementerian tersebut.

Buat masa ini, perkahwinan boleh disahkan di ROM dan ROMM pada hari bekerja, kecuali cuti umum.

"Dengan memperkenalkan khidmat pengesahan perkahwinan pada hari Sabtu, kami memberi pasangan lebih banyak pilihan. Kami berharap ini akan membolehkan mereka memulakan perjalanan perkahwinan mereka dengan kenangan indah di kelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan," kata Pendaftar Perkahwinan Timothy Pak.

"Sedang ROMM memulakan lembaran baharu di lokasi sementara Esplanade Mall, kami tetap komited untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam. Kami sedang merintis khidmat pernikahan pada hari Sabtu untuk menilai bagaimana kami boleh menyokong pasangan Islam dengan lebih baik dalam perjalanan perkahwinan mereka," kata Pendaftar Perkahwinan Islam Nor Razak Bakar.

Ustaz Nor Razak menambah, langkah ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan yang bertujuan menilai sambutan masyarakat serta keupayaan logistik pejabat baharu itu.

Buat masa ini, ROMM bergantung kepada sekitar 40 jurunikah sedia ada untuk melangsungkan majlis akad nikah.

Menurut Ustaz Nor Razak, antara cabaran yang diambil kira menjelang pelaksanaan majlis nikah pada hari Sabtu bermula Oktober ini ialah memastikan kehadiran jurunikah yang mencukupi.

"Beberapa urusan pentadbiran bagi mengemas kini dan melancarkan pernikahan (perlu dibuat) apabila kami mula langsungkan pada Oktober nanti.

"Antara faktor yang kami ambil kira adalah memastikan bahawa kami dapat menyediakan khidmat jurunikah atau kadi atau naib kadi yang dapat meluangkan masa bagi pernikahan pada hari Sabtu tersebut," jelas beliau.

Ini kerana ramai jurunikah juga menerima tempahan untuk majlis nikah di luar ROMM, justeru menimbulkan cabaran dari segi penjadualan.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat rancangan untuk menambah jumlah jurunikah.

"Jika kami berjaya untuk mendapatkan sambutan yang lebih baik dan kami juga boleh untuk mendapatkan jurunikah, maka kami boleh pertimbangkan untuk meningkatkan jumlah tersebut.

"Berkenaan dengan jurunikah sendiri, kami insyaAllah akan mengadakan satu pengambilan baharu.

"Namun, tempoh pelantikan mereka hanya pada April tahun hadapan," tambah beliau.

ROM dan ROMM sudah berpindah sementara ke Esplanade Mall pada Isnin (14 Apr), mengambil alih ruang yang sebelumnya diduduki oleh library@esplanade di tingkat tiga, kerana premis Canning Rise sedang menjalani kerja-kerja pembangunan semula sehingga 2028.

Pasangan Encik Muhammad Danish dan Cik Noor Atikah selamat diijabkabulkan oleh Kadi Ustaz Syakir Pasuni
Cik Noor Atikah dan Encik Muhammad Danish menjadi pasangan Islam pertama yang melangsungkan majlis akad nikah mereka di pejabat sementara ROMM pagi tadi (14 Apr).

Bilik nikah di pejabat baharu itu lebih luas dan boleh menempatkan sehingga 25 ahli keluarga dan tetamu.

"Ruang di ROMM di Canning Rise lebih sempit. Bilik nikah di sini lebih luas. Ia juga lebih mudah diakses melalui pengangkutan awam. Pemandangan di luar juga menarik," kata Cik Noor Atikah.
 
Pasangan Nur Sufieleenna Sari Muhamed Sufian Chay dan bakal suami Muhammad Khairul membuat permohonan untuk pernikahan
Nur Sufieleenna Sari Muhamed Sufian Chay dan bakal suaminya Encik Muhammad Khairul pula dalam kalangan pasangan Islam yang membuat permohonan untuk pernikahan mereka.

Mereka akan melangsungkan upacara akad nikah di Masjid Yusof Ishak pada 25 Mei ini.
Nur Sufieleenna Sari Muhamed Sufian Chay bersama ibunya Cik Siti Sariah Sariman
"Tempat ini lebih senang kerana dekat dengan stesen MRT. Jadi orang tua tidak perlu jalan terlalu jauh," kata Nur Sufieleenna Sari, 35 tahun.
 
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan