Rogol isteri, mengintip salah di sisi undang-undang; "perubahan besar" diusulkan terhadap Kanun Jenayah S'pura
Memansuhkan kekebalan daripada bidang kuasa berhubung jenayah rogol dalam rumahtangga dan memperkenalkan voyeurisme atau perbuatan mengintai sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang membentuk perubahan-perubahan "besar" terhadap Kanun Jenayah Singapura.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Memansuhkan kekebalan daripada bidang kuasa berhubung jenayah rogol dalam rumahtangga dan memperkenalkan voyeurisme atau perbuatan mengintai sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang membentuk apa yang disifatkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam, sebagai perubahan-perubahan "besar" terhadap Kanun Jenayah Singapura, yang diusulkan oleh sebuah jawatankuasa semakan melalui laporan setebal 500 muka surat.
Secara keseluruhannya, sebanyak 169 saranan diserahkan kepada Pemerintah pada hujung bulan Ogos dan akan dibuka kepada maklum balas awam mulai Isnin (10 Sep) sehingga hujung bulan ini. Pindaan terhadap rang kanun tersebut dijadual dibentangkan di Parlimen pada November ini.
Saranan-saranan itu merangkumi lima bidang utama, dengan bahagian terbesar melibatkan usaha untuk mengukuhkan perlindungan bagi golongan yang lemah dalam masyarakat.
Sebagai contoh, jawatankuasa tersebut menyarankan kesalahan-kesalahan baru yang melibatkan bahan penderaan kanak-kanak, dari menggunakan atau melibatkan kanak-kanak dalam sesebuah penerbitan, menghasilkan, mengedarkan, menjual, mengiklankan, mengakses atau memiliki bahan sedemikian. Ini termasuk bahan-bahan cereka.
Menurut jawatankuasa itu, bahan-bahan cereka mungkin digunakan atas tujuan antun seksual kanak-kanak.
Jawatankuasa tersebut turut menyarankan hukuman lebih berat terhadap kesalahan ke atas pembantu rumah asing, kanak-kanak bawah 14 tahun, golongan yang lemah, yang ditakrif sebagai mereka yang tidak berupaya melindungi diri mereka sendiri kerana kurang daya mental atau fizikal. Bagi mereka yang didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum seganda lebih berat bagi kesalahan-kesalahan sedemikian.
Satu lagi saranan yang diusulkan adalah memansuhkan kekebalan bagi perbuatan merogol dalam rumahtangga. Ini berdasarkan prinsip bahawa semua wanita seharusnya dilindungi daripada penganiayaan seksual, tanpa mengira status atau identiti pelaku, menurut kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
"Majoriti penduduk kita tidak lagi berpegang kepada kepercayaan bahawa seseorang isteri patut menyerahkan dirinya untuk hubungan seks dengan suaminya semata-mata kerana mereka sudah berkahwin," menurut kenyataan media itu.
Kata Encik Shanmugam: "Saya rasa ia agak ganjil untuk kita masih mempunyai kekebalan bagi suami yang merogol isteri mereka sendiri. Tubuh seorang wanita adalah miliknya sendiri. Sekalipun wanita itu adalah isteri anda, beliau berharap untuk mengatakan tidak."
Apabila ditanya jika saranan itu berpotensi mencetuskan konflik dengan kepercayaan orang Islam, Encik Shanmugam berkata: "Kami sudah mendapatkan pandangan para asatizah. Dalam pemahaman kami, ia tidak bercanggah dengan agama.
"Masyarakat Muslim, berdasarkan maklum balas yang kami terima, mengambil pendekatan yang serupa dengan konteks masa kini di Singapura, iaitu kebebasan wanita seharusnya dihormati dan semua agama, termasuk Islam, tidak melarang pendekatan sedemikian. Namun ia adalah sesuatu yang perlu diperjelaskan dengan lebih lanjut."
Jawatankuasa berkenaan juga cuba menangani kemunculan trend-trend jenayah yang disebabkan oleh teknologi serta penggunaan yang meluas berhubung peranti mudah alih dan media sosial.
Dalam pada itu, jawatankuasa tersebut turut menyarankan pindaan terhadap undang-undang bagi memberi kuasa kepada pihak polis untuk campur tangan semasa menangani percubaan bunuh diri serta memperkasakan para pengamal perubatan dan mahkamah supaya mengeluarkan perintah tahanan untuk menjalani rawatan di institusi psikiatrik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.