Rogol & cabul kawan; sasar budak bawah umur, bekas anggota tetap SAF dipenjara & disebat
Seorang lelaki berusia 24 tahun yang melakukan pelbagai kesalahan seksual selama empat tahun, termasuk menyasarkan dua kawan rapat dan dua gadis bawah umur, hari ini (4 Ogos)dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 15 kali sebatan rotan di Mahkamah Tinggi.

(Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang melakukan pelbagai kesalahan seksual selama empat tahun, termasuk menyasarkan dua kawan rapat dan dua gadis bawah umur, hari ini (4 Ogos)dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 15 kali sebatan rotan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Aedit Abdullah berkata bahawa lelaki itu melanggar undang-undang ketika diikat jamin dan mengkhianati kepercayaan rakannya terhadap dirinya.
Dia adalah seorang anggota tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ketika ditangkap. Namun dokumen mahkamah tidak menyebut tarikh tepat penangkapan.
Sebagai menjawab pertanyaan Medicorp, jurucakap Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata bahawa lelaki itu sudah digantung daripada semua tugas setelah ditangkap. Dengan tamatnya proses pengadilan, dia sekarang sudah dilepaskan daripada perkhidmatan.
"SAF meletakkan piawai disiplin dan integriti yang tinggi ke atas kesemua askarnya dan menjangkakan mereka supaya mematuhi undang-undang. Mereka yang melakukan kesalahan akan ditangani m mengikut undang-undang,” tambah jurucakap itu.
Lelaki itu ditahan reman sejak 26 Jun tahun lalu dan tidak dapat didedahkan namanya atas perintah mahkamah demi melindungi identiti mangsanya.
Lelaki itu merogol seorang kawan lama di dalam bilik tidurnya setelah mangsa tidak sedarkan diri selepas minum arak. Dia juga menyebabkan wanita itu dijangkiti sakit kelamin.
Mahkamah diberitahu sebelum ini mereka kerap berjumpa untuk sesi sedemikian dan wanita itu lazimnya tidak mengawal minumannya kerana percaya bahawa pelaku akan menjaganya.
Tiga bulan kemudian, pelaku memperdaya seorang kawan lain di sebuah hotel di Geylang dan mencabulnya berulang kali. Dia mengajak mangsa keluar apabila perasan bahawa wanita itu sedang berdepan masalah hubungan.
Kemudian, dalam tempoh sebulan selepas mengenali seorang budak 10 tahun menerusi aplikasi cari pasangan Tinder, tertuduh menyuruh kanak-kanak itu menghantarnya gambar bogel menerusi wadah Telegram.
Apabila polis merampas telefon bimbitnya semasa siasatan, mereka mendapati tertuduh pernah lakukan perbuatan seksual ke atas seorang gadis bawah umur empat tahun sebelum itu.
Lelaki berkenaan mengaku bersalah minggu lalu atas satu tuduhan merogol, satu tuduhan mencabul kehormatan dan memperoleh perbuatan tidak senonoh daripada seorang kanak-kanak.
Tiga lagi dakwaan serangan seksual dengan penembusan, mencabul dan menembusi budak bawah umur secara seksual diambil pertimbangan semasa menjatuhkan hukuman.
Atas kesalahan merogol, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat.
Mereka yang sabit kesalahan mencabul kehormatan boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda atau dikenakan sebatan rotan atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Pesalah kali pertama yang memperoleh perbuatan tidak senonoh daripada seorang kanak-kanak boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali. Hukuman boleh digandakan bagi kesalahan berulang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.