Roda-Roda Ramadan 2021 bantu golongan memerlukan dakap pendigitalan
Semangat gotong-royong untuk membantu menceriakan keluarga memerlukan menjelang Ramadan ini tidak putus meski di tengah-tengah pandemik COVID-19.
SINGAPURA: Semangat gotong-royong untuk membantu menceriakan keluarga memerlukan menjelang Ramadan ini tidak putus meski di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Ini kelihatan jelas dalam satu acara pengagihan tahunan Roda-Roda Ramadan (ROW) anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) yang dilancarkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Sabtu (3 Apr).
"Saya berasa amat seronok kerana boleh berinteraksi dengan orang ramai yang berlainan kaum. Saya boleh berbual dengan mereka," kata Encik Eric Martin Del Valle, relawan kali pertama bagi ROW.
Pengerusi ROW, Encik Saifulbahri Mohamed, berkata langkah-langkah pengurusan selamat tetap dilaksanakan meskipun para relawan dapat berinteraksi dengan penerima bantuan.
"Salah satu cabaran yang amat besar buat kami adalah bagaimana cara untuk menguruskan program ini sambil menjaga kemaslahatan masyarakat secara am," kata Encik Saifulbahri.
MENDAKAP TEKNOLOGI, MEMPERKASA MASYARAKAT
Sejajar dengan tema “Mendakap teknologi, memperkasakan masyarakat”, bengkel-bengkel kemahiran digital juga akan diadakan secara percuma bagi para penerima bantuan agar mereka tidak ketinggalan di belakang dalam usaha pendigitalan negara.
"ROW ada menganjurkan bengkel-bengkel yang membantu mereka mempertingkatkan diri dari segi digital. Dengan ini, mereka dapat meningkatkan diri mereka untuk menjadi lebih interaktif dengan media semasa," kata Cik Nur Hammadah Sulaiman, anggota Jawatankuasa Pengurusan 4PM.
Menurutnya lagi, bengkel-bengkel ini amat berguna khususnya bagi warga emas yang tidak tahu menggunakan telefon bijak atau wadah-wadah digital seperti pembayaran online, kerana ia memberi ruang bagi mereka mempelajarinya dengan lebih lanjut.
"Usaha ini membolehkan mereka merebut peluang pekerjaan terutama yang memerlukan pengalaman digital dan pengetahuan digital. Inisiatif pendigitalan ini pastinya meningkatkan peluang pekerjaan mereka dalam ekonomi sekarang,"katanya.
Encik Tong juga mengalu-alukan rakan kerjasama lain untuk mempelajari dari contoh yang baik seperti program ROW ini, dengan terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat serta meperkukuh semangat gotong-royong.
Selain sokongan digital, program anjuran 4PM ini juga mahu memastikan masyarakat dibantu menangani masalah kesihatan mental supaya lebih berdaya tahan.
Sempena pelacaran ROW 2021, Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong diiktiraf dengan Anugerah Rakan Gemilang 4PM sebagai penghargaan terhadap sokongan kuat beliau kepada badan tersebut dan masyarakat Melayu/Islam keseluruhannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.