Skip to main content

Singapura

Robot periksa tembok laut antara 14 projek SG bagi lindungi pantai, tangani banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Robot periksa tembok laut antara 14 projek SG bagi lindungi pantai, tangani banjir

Kenderaan dasar laut tanpa pemandu ini dapat mengurangkan keperluan untuk menjalankan pemeriksaan secara manual.

SINGAPURA: Sebuah robot yang boleh menyelam ke dasar laut untuk memeriksa struktur seperti tiang dan tembok laut merupakan antara 14 projek yang diberi geran bagi mengukuhkan benteng pertahanan Singapura terhadap kenaikan paras air laut.

Kenderaan dasar laut tanpa pemandu ini dapat mengurangkan keperluan untuk menjalankan pemeriksaan secara manual, yang sering memerlukan tenaga kerja yang tinggi, berisiko, dan sukar dilaksanakan di ruang sempit.

Dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), robot ini juga boleh menghubungkan data pemeriksaan untuk memberikan penilaian yang lebih menyeluruh terhadap prasarana yang terdedah kepada risiko.

MEMPERKUKUH BENTENG PANTAI, LAUT

Kesemua 14 projek ini akan menerima geran baharu berjumlah S$22 juta daripada agensi air negara PUB di bawah geran penyelidikan bagi Program Penyelidikan Perlindungan Pantai dan Pengurusan Banjir.

Projek-projek ini diketengahkan semasa simposium tahunan Institut Perlindungan Pantai dan Daya Tahan Banjir (CFI) Singapura pada Khamis (18 Sep), yang menghimpunkan hampir 300 pakar dan pelajar.

Dalam ucapannya, Setiausaha Parlimen Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Goh Hanyan berkata perubahan iklim membawa cabaran yang belum pernah dihadapi sebelum ini.

Peningkatan suhu global menyebabkan paras air laut naik dan berlaku kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap, tegas Cik Goh.

Purata paras air laut di Singapura dijangka meningkat sehingga 1.15 meter menjelang tahun 2100, sekali gus meningkatkan risiko berlaku banjir dengan ketara.

Cik Goh turut menekankan bahawa pelaburan dalam Penyelidikan & Pengembangan (R&D) “memainkan peranan penting” dalam membina keupayaan Singapura dalam bidang daya tahan pantai.

Beliau berkata prasarana pantai yang bersifat adaptif dan mampan juga boleh berfungsi sebagai kawasan riadah dan ruang hijau, disokong oleh pantai yang menjadi lebih tahan lasak dari semasa ke semasa melalui ekosistem dan spesies asli Singapura.

'Living shorelines' ialah kaedah kawalan hakisan yang menggunakan bahan semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan atau batu.

MEMERANGI PERUBAHAN IKLIM

Projek-projek yang baru dianugerahi geran akan dijalankan selama kira-kira tiga tahun, dengan pembiayaan diberikan sepanjang tempoh projek.

Pasukan di sebalik robot dasar laut tersebut, yang digunakan di peringkat global, akan menyesuaikannya untuk digunakan di perairan Singapura dengan menggunakan dana baharu itu.

Penolong Profesor Geng Guoqing dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Nasional Singapura (NUS), penyelidik utama pasukan itu, menyatakan bahawa dengan alat automatik ini, pemeriksaan dapat dilakukan secara konsisten merentasi pelbagai keadaan cuaca dan air laut “untuk memantau sifat atau keadaan infrastruktur kita dengan lebih cekap lagi”.

Sementara itu, terdapat juga projek yang sedang dijalankan di bawah CFI Singapore.

Salah satunya melibatkan penggunaan tiub yang diperbuat daripada gentian semula jadi dan diisi dengan sisa industri untuk membentuk penghadang yang menghalang hakisan pantai - menawarkan alternatif yang lebih mesra alam berbanding tembok laut yang diperbuat daripada konkrit.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita