Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Robot dikerah ronda Toa Payoh pantau 'tingkah laku tidak diingini'

Anda merokok di kawasan yang dilarang? Berhimpun dalam kumpulan lebih daripada lima orang? Awas! Xavier sedang memantau "tingkah laku sosial yang tidak diingini".

Anggaran Waktu Membaca:
Robot dikerah ronda Toa Payoh pantau 'tingkah laku tidak diingini'

Xavier melakukan rondaan di Toa Payoh Central. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 05 Sep 2021 05:19PM Dikemas Kini : 05 Sep 2021 05:30PM

SINGAPURA: Anda merokok di kawasan yang dilarang? Berhimpun dalam kumpulan lebih daripada lima orang? Awas! Xavier sedang memantau "tingkah laku sosial yang tidak diingini".

Xavier adalah sebuah robot yang akan meronda-ronda kawasan awam yang sesak untuk mengesan kesalahan-kesalahan sedemikian dan lain-lain lagi seperti penjajaan haram, basikal yang diletakkan sembarangan, alat pergerakan bermotor dan motosikal yang berada di laluan-laluan pejalan kaki.

Dua robot sedemikian akan menjalankan rondaan di Toa Payoh sepanjang tempoh tiga minggu dalam satu percubaan mulai hari ini (5 Sep).

Xavier mengingatkan pengayuh basikal untuk tidak meletakkan basikal sembarangan. (Gambar: Calvin Oh)

Toa Payoh dipilih kerana terdapat ramai pejalan kaki dan juga banyak "tingkah laku tidak diingini" yang dikesan oleh para pegawai awam di kawasan tersebut, dedah Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

BAGAIMANA XAVIER BERFUNGSI

Sebaik sahaja Xavier mengesan sebarang tingkah laku tidak diingini, ia akan menghantar makluman kepada pusat arahan dan kawalan serta mempamerkan pesanan di papan pemukanya untuk mendidik orang awam dan mencegah daripada tingkah laku sedemikian.

Perkara itu ditunjukkan dalam satu acara media di Toa Payoh Central hari ini.

Apabila Xavier mendapati seseorang merokok di kawasan terlarang, ia menunjukkan pesanan pada papan pemuka interaktifnya selain menyampaikan pesanan audio untuk menyuruh perokok itu berhenti smelakukan demikian.

Apabila ia ternampak individu-individu berkumpul dalam kumpulan melebihi lima orang pula, Xavier menyuruh mereka mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat seperti memastikan jarak satu meter antara satu sama lain.

Xavier akan memberi pesanan seperti ini untuk mengingatkan orang ramai agar mematuhi langkah-langkah jarak selamat. (Gambar: Calvin Oh).

Xavier bergerak pada kelajuan 5 kilometer sejam sementara rakaman video daripada kameranya pula dihantar ke pusat arahan dan kawalan pada masa yang sama, membolehkan para pegawai awam untuk memantau dan mengawal beberapa robot pada masa yang sama, menurut HTX.

Robot itu juga dilengkapi dengan papan pemuka interaktif dan para pegawai boleh memberi tindak balas kepada insiden-insiden di lapangan menerusi interkom dua hala atau menggunakan pesanan audio yang sudah direkod terlebih dahulu.

Ia juga mempunyai pelbagai jenis sensor yang boleh membantunya bergerak di ruang-ruang awam sendiri sambil mengelak daripada hadangan-hadangan seperti para pejalan kaki dan kenderaan-kenderaan di laluan rondaannya.

Xavier juga dilengkapi dengan kamera-kamera yang memberi "rakaman video 360 darjah" secara langsung kepada pusat arahan dan kawalan, tambah HTX. Robot tersebut boleh merakam gambar dan video dalam sekitaran malap dan gelap dengan memanfaatkan penyalaan IR dan LED serta kamera cahaya rendah.

Robot ini dilengkapi kamera-kamera yang membolehkan para pegawai memantau secara langsung. (Gambar: Calvin Oh)

Dengan data yang dirakam, para pegawai awam boleh meninjau tingkah laku sedemikian dengan lebih berkesan melalui "pemantauan dan analisis secara langsung". Mereka kemudian boleh mengerahkan sumber-sumber tambahan untuk memberi tindak balas terhadap situasi-situasi di lapangan jika perlu, menurut HTX.

Dengan adanya Xavier, kurang pegawai diperlukan untuk menjalankan rondaan sekali gus menambah keberkesanan operasi, tambah HTX lagi.

Robot tersebut adalah hasil projek bersama melibatkan lima agensi - HTX, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan