Robot Camello bakal ubah kaedah penghantaran barangan ke rumah anda
Singapura sedang menguji penggunaan robot pandu sendiri, tanpa bantuan manusia, untuk membuat penghantaran di Punggol.
SINGAPURA: Singapura sedang menguji penggunaan robot pandu sendiri, tanpa bantuan manusia, untuk membuat penghantaran di Punggol, membuka laluan bagi penggunaan lebih meluas robot "penghantaran" bagi khidmat penghantaran atas permintaan.
Ujian selama setahun itu, yang bermula pada Februari, menyaksikan dua robot, yang dicipta oleh syarikat teknologi tempatan OTSAW, menghantar bungkusan atau barangan dapur ke lobi-lobi lif di tujuh blok HDB - melibatkan 700 rumah - di Waterway Woodcress.
Para pelanggan boleh memilih sama ada mereka mahu barangan itu dihantar atau mengikut jadual penghantaran tetap, memberikan lebih banyak keselesaan dan penghantaran lebih cepat, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) hari ini (11 Mac).
"Misalnya, selepas membeli barangan dapur seperti beras atau lampin pakai buang di pasar raya, pelanggan boleh meninggalkan barangan mereka di kaunter penjaga untuk terus membeli-belah atau makan dan barangan itu dihantar ke blok HDB pada waktu yang dipilih pelanggan," menurut IMDA.
"Barangan lain yang boleh dihantar menerusi robot-robot itu termasuk barangan yang tidak tahan lama seperti makanan dan bunga. Malah barangan terkawal juga seperti ubat ubatan."
Ujian itu akan menilai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pergerakan pandu sendiri, mengesan dan mengelak hadangan; sistem komunikasi dan rangkaian jalan raya; dan model perniagaan serta daya maju dari segi nilai komersil, menurut IMDA.
IMDA bekerja sama dengan HDB, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), penyedia khidmat logistik tempatan CM Logistics, rangkaian pasar raya NTUC FairPrice dan syarikat teknologi OTSAW dalam ujian percubaan itu.
BAGAIMANA IA BEROPERASI?
Pelanggan yang mahu barangan mereka dihantar boleh memilih tarikh penghantaran apabila membuat tempahan online. CM Logistics kemudian akan menghantar barangan itu hab penghantaran dan menentukan jadual yang dipilih pelanggan.
(Gambar: IMDA)
Bagi barangan dapur, pelanggan di NTUC FairPrice boleh membawa barangan mereka ke hab penghantaran untuk menentukan waktu ia dihantar ke rumah.
Pada hari penghantaran, robot itu akan membuat penghantaran ke tempat pengambilan di blok HDB pelanggan pada waktu yang ditetapkan.
Pelanggan berkenaan akan dimaklumkan menerusi aplikasi mudah alih apabila robot itu dalam perjalanan ke destinasi dan sekali lagi apabila robot itu tiba di alamat penghantaran.
Para pelanggan boleh mengambil barangan mereka daripada robot menggunakan kod QR yang diberikan atau kata laluan sekali sahaja.
(Gambar: IMDA)
Ini memastikan hanya mereka yang disahkan sahaja boleh membuka robot tersebut dan mengambil kandungannya, menurut IMDA.
KESELAMATAN DIDAHULUKAN
"Keselamatan awam penting," menurut IMDA semasa mengumumkan ujian itu.
Ia menyatakan kedua-dua robot dalam ujian itu sudah lulus penilaian keselamatan LTA bagi penggunaan kenderaan tanpa pemandu di laluan awam.
Setiap robot seberat 80 kilogram tanpa sebarang isi dan "kelajuannya"dihadkan sekitar lima kilometer sejam.
Setiap robot juga ditemani pegawai keselamatan semasa tempoh ujian.
Robot OTSAW yang dikenali sebagai Camello itu, dilengkapi dengan sensor 3D LIDAR, kamera, sonar, dua tempat menyimpan barang kalis cuaca yang boleh memuatkan 100 liter , menurut grafik yang diberikan IMDA.
(Gambar: IMDA)
Dengan meningkatnya pembelian online dan e-niaga, para pelanggan sudah biasa dengan khidmat penghantaran ke rumah dalam tempoh yang singkat, menurut Timbalan Ketua Eksekutif IMDA, Kiren Kumar.
Beliau menambah: "Penghantaran oleh robot tanpa pemandu itu boleh memainkan peranan penting dalam menambah prasarana penghantaran sedia ada untuk mempertingkat pengalaman pelanggan dan mendorong peningkatan daya penghasilan."
Usaha-usaha sedemikian akan membolehkan Singapura menjadi negara yang "lebih selesa, berdaya mampan dan terhubung", kata Pengarah R&D URA, Chiu Wen Tung.
"Memanfaatkan teknologi untuk meneroka kaedah alternatif dan inovatif bagi penghantaran adalah salah satu cara Singapura membangunkan sistem logistik bandar bertaraf dunia yang juga mempertingkat daya penghasilan tanah dan tenaga manusia," kata beliau.
Rakan-rakan industri juga melahirkan sokongan kepada ujian awam dan privet yang dijalankan.
"Dengan permintaan yang kian banyak dalam penghantaran e-niaga, di samping kebimbangan kesannya ke atas alam sekitar dan cabaran-cabaran yang sentiasa wujud dengan kemampanan komersil, kami percaya menggunakan (robot tanpa pemandu) adalah satu cara ke hadapan dalam mencapai huraian penghantaran bijak pada masa depan," kata CEO CM Logistics, Chiam Kok Yaw.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.