Skip to main content

Singapura

RLAF, SRC lancar kempen kumpul dana bantu Afghanistan dan Pakistan dari 15 Sep hingga 5 Okt

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Sep 2025 12:10PM Dikemas Kini : 16 Sep 2025 11:04PM
SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) melancarkan kempen kutipan derma bersama Palang Merah Singapura (SRC) bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana alam di Afghanistan dan Pakistan.

Kutipan derma 'Standing in Solidarity in Times of Crisis' akan dijalankan selama tiga minggu dari 15 September 2025 hingga 5 Oktober 2025, menerusi platform-platform derma online RLAF, akaun media sosial dan kutipan khas pada hari Jumaat di masjid-masjid serata negara antara 26 September 2025 hingga 2 Oktober 2025.

Melalui kempen ini, RLAF menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya S$100,000. Semua dana akan disalurkan melalui SRC dan diagihkan bersama rakan kemanusiaan termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS), Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan (PRCS), Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Bulan Sabit Merah (IFRC), serta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Bantuan akan merangkumi operasi mencari dan menyelamat, bekalan makanan dan air bersih, ubat-ubatan, sokongan kesihatan mental dan psikososial, serta barangan keperluan asas lain.

SERUAN SOKONGAN DAN PERPADUAN

Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Encik Adnan A. Hamid berkata, kempen ini memberi peluang kepada masyarakat Singapura untuk berganding bahu membantu mangsa yang berdepan kehilangan besar. “Setiap sumbangan, walau kecil sekalipun, membawa harapan dan kelegaan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut mengalu-alukan dan memuji inisiatif tersebut.

Menurut Dr Faishal, ini mencerminkan keprihatinan dan perpaduan rakyat Singapura kepada mangsa bencana di luar negara.

"Saya sangat berterima kasih atas sokongan padu dan sumbangan kepada usaha pengumpulan dana RLAF sebelum ini, dan saya berharap kita boleh sekali lagi bersatu untuk menyokong usaha murni ini. Setiap sumbangan, besar atau kecil, pasti memberi makna kepada mereka yang memerlukan," kata Dr Faishal.

BENCANA BERGANDA: GEMPA BUMI, BANJIR BESAR

Pada 31 Ogos 2025, gempa bumi kuat melanda timur Afghanistan, meragut lebih 2,200 nyawa, mencederakan ribuan yang lain, serta memusnahkan lebih 8,000 kediaman. Dianggarkan 1.3 juta orang terjejas, termasuk ratusan ribu yang kini hilang tempat tinggal serta berdepan kekurangan bekalan asas seperti air bersih, rawatan perubatan, dan tempat perlindungan.

Sementara itu, Pakistan dilanda banjir besar pada pertengahan Ogos, memusnahkan lebih 2,000 kampung. Bencana itu menyebabkan lebih 2 juta orang terjejas, dengan sekurang-kurangnya 760,000 penduduk dipindahkan. Sebanyak 33 nyawa terkorban dan kemusnahan meluas pada rumah, tanaman serta haiwan ternakan menjejaskan sumber rezeki penduduk setempat.

CARA MENYUMBANG

Orang ramai boleh menyumbang melalui pelbagai kaedah:

PayNow ke UEN RLAF (200910530Z) dengan rujukan “AFGHANEARTHQUAKE2025” atau “PAKISTANFLOODS2025”

Pindahan dana ke akaun OCBC RLAF: 601313315001

Cek berpalang kepada “RLAF”

Giving.sg: https://www.giving.sg/organisation/profile/14e9b7d8-4096-45f5-bc78-926a90dedb13

Laman derma RLAF: https://rlafoundation.org.sg/

Kutipan masjid di seluruh Singapura dari 26 September hingga 2 Oktober 2025
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita