RLAF serah cek pengumpulan dana bernilai $6.1 juta kepada UNRWA
CEO RLAF Encik Muhammad Faizal Othman menyerahkan cek bernilai $6.1 juta kepada UNRWA pada 17 Mac 2024. (Gambar: MFA)
AMMAN: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menghulurkan sumbangan S$6.1 juta yang didermakan masyarakat Singapura kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).
Demikian menurut kenyataan media Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (18 Mac).
Cek tersebut disampaikan pada Ahad (17 Mac) oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF Encik Muhammad Faizal Othman.
Majlis penyerahan cek itu turut disaksikan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad dan Anggota Parlimen (AP) Alex Yam, Mr Gerald Giam, Nadia Ahmad Samdin, Rachel Ong, dan Zhulkarnain Abdul Rahim.
Penyerahan cek ini adalah pusingan kedua daripada pengumpulan dana, yang bernilai S$8.1 juta kesemuanya.
Sebelum ini cek bernilai S$2 juta diserahkan pada 10 Nov 2023 kepada UNRWA bagi pusingan pertama di Kaherah.
Dr Balakrishnan akan melakukan lawatan ke wilayah-wilayah Palestin, Israel, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Arab Saudi dari 18 hingga 24 Mac.
Beliau juga akan disertai rombongan yang terdiri daripada para AP dan pegawai MFA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.