RLAF serah cek bernilai $1 juta kepada ERC untuk bantuan kemanusiaan Gaza
Ia sebahagian daripada jumlah yang terkumpul dalam kutipan 'Aid for Gaza 2025'. Lagi $1 juta disalurkan menerusi UNICEF dan $400,000 menerusi Humanity Matters.
Ia merupakan sebahagian daripada jumlah yang terkumpul dalam kutipan 'Aid for Gaza 2025' antara 24 Februari hingga 6 April lalu.
Dalam satu majlis rasmi, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim bersama para wakil RLAF menyerahkan cek simbolik bernilai S$1 juta itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Amal Emam.
"Kami amat tersentuh dengan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat Singapura melalui sumbangan mereka. Penyerahan dana ini akan memberikan bantuan nyata kepada keluarga di Gaza. Kerjasama kami dengan organisasi kemanusiaan yang diiktiraf memberi jaminan bahawa setiap sen digunakan sebaik mungkin," ujar CEO RLAF, Adnan Abdul Hamid.
Pihak ERC juga amat menghargai ketulusan RLAF dalam memastikan sumbangan masyarakat digunakan sejajar dengan objektif kutipan dana.
"RLAF benar-benar komited dalam memastikan setiap sumbangan yang dikumpulkan oleh rakyat Singapura digunakan sebaik mungkin untuk membawa perubahan yang nyata. Mereka amat prihatin agar dana ini digunakan secara optimum mengikut keperluan semasa. Memandangkan keperluan di lapangan sentiasa berubah dari hari ke hari, kami juga telah bersetuju untuk terus berbincang bagi memastikan setiap sen yang disalurkan oleh RLAF benar-benar memberi impak kepada masyarakat di Gaza,” kata Dr Amal.
Beliau juga menggariskan tiga aspek utama bagaimana sumbangan dana itu akan disalurkan dalam bentuk bantuan.
"Kami bersetuju untuk mengusahakan bantuan makanan di Gaza, bantuan dalam bentuk barangan berkaitan tempat perlindungan dan sokongan perubatan, lebih-lebih lagi kerana infrastruktur dan situasi perubatan di Gaza sangat teruk terjejas. Kami juga meneliti bagaimana kami boleh memberikan sokongan kepada rakyat Palestin yang dipindahkan dari Gaza ke Mesir untuk menerima rawatan perubatan, termasuk ahli keluarga yang menemani mereka," jelas Dr Amal.
CERMINKAN SOLIDARITI PENDUDUK SG BERSAMA RAKYAT PALESTIN YANG TERJEJAS
'Aid for Gaza 2025' yang dijalankan bersama oleh RLAF, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) dan Humanity Matters berjaya meraih lebih daripada S$2.4 juta.
Baki sumbangan sebanyak S$400,000 pula telah disalurkan menerusi Humanity Matters.
Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata bahawa ia menunjukkan bagaimana masyarakat sentiasa bersiap sedia berganding bahu membantu penduduk Gaza yang memerlukan.
Sejak tahun 2023, RLAF telah berjaya mengumpul lebih daripada $15 juta melalui empat kempen untuk membantu penduduk Gaza yang terjejas – hasil kerjasama erat antara masyarakat dan rakan-rakan strategik yayasan itu.
RLAF juga baru-baru ini terlibat dalam misi penghantaran bantuan udara bersama rakan seperti Humanity Matters, CHARIS dan Mercy Relief, dengan sokongan kuat daripada MINDEF, MOH serta kerajaan Jordan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.