Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF percepat penyerahan dana S$1 juta bagi bantu mangsa gempa Turki dan Syria

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Mar 2023 03:10PM Dikemas Kini : 02 Mar 2023 11:19PM
BERITAmediacorp: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) mempercepatkan penyerahan dana berjumlah S$1 juta yang dikumpulkan demi membantu mangsa gempa bumi di Turki dan Syria.

Inisiatif pengumpulan dana oleh RLAF, dengan kerjasama Hayrat Yardim - iaitu sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan di Turki, diadakan dari 10 hingga 24 Februari lalu.

Ia dikendalikan bagi menyokong keperluan segera mangsa-mangsa yang terjejas berikutan gempa bumi yang melanda Turki dan Syria baru-baru ini.

Keperluan tersebut termasuk khemah, makanan, tilam, selimut dan pakaian musim sejuk.

Pada hari terakhir kutipan dana itu, jumlah yang terkumpul mencapai lebih S$2 juta.

RLAF mempercepatkan penyerahan separuh daripada dana yang terkumpul itu kepada rakan pertubuhan, Hayrat Yardim yang berpangkalan di Turki, selepas mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Badan Amal (CoC).

Ini meskipun jumlah dana yang terkumpul belum dimuktamadkan.

Langkah itu dibuat demi memudahkan tindak balas pantas bagi memenuhi keperluan serta-merta para mangsa dan menghulurkan bantuan secepat mungkin.

Dana S$1 juta itu juga akan menyokong usaha-usaha bantuan oleh pasukan mencari dan menyelamat Hayrat Yardim, pasukan bantuan kecemasan serta dapur bergerak yang menyediakan makanan buat para mangsa.

Baki dana terkumpul pula akan diserahkan selepas jumlah kutipan digabungkan dan setelah kelulusan lanjut diperolehi daripada CoC.

Dalam mematuhi peraturan dan sebagai sebahagian daripada tadbir urus baik badan amal berdaftar yang diiktiraf Institusi Bertaraf Awam (IPC), RLAF juga akan melalui pensijilan audit dan laporan tersebut akan dihantar kepada CoC.

RLAF turut menzahirkan penghargaan kepada semua individu dan kumpulan yang sudah tampil untuk menyumbang kepada kempen tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan