Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF, Mercy Relief ganding bahu kumpul dana bantu mangsa Taufan Rai

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF, Mercy Relief ganding bahu kumpul dana bantu mangsa Taufan Rai

Logo Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF). (Gambar: Rahmatan Lil Alamin/ Facebook)

Diterbitkan : 17 Jan 2022 09:11PM Dikemas Kini : 17 Jan 2022 09:12PM

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama Mercy Relief akan mengadakan pengumpulan dana untuk membantu para penduduk Filipina yang terjejas teruk akibat Taufan Rai.

Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menyalurkan bantuan kepada para penduduk yang terkesan akibat bencana alam itu.

Taufan Rai yang juga dikenali sebagai Taufan Odette di Filipina adalah taufan paling dahsyat yang melanda negara itu pada tahun lalu.

Sejauh ini, taufan tersebut sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 405 penduduk, dengan 82 orang masih dilaporkan hilang dan 1,147 yang lain cedera.

Lebih 660,000 penduduk kehilangan tempat berteduh dan mata pencarian lagi 2 juta penduduk turut terkesan akibat taufan tersebut.

Pengumpulan dana itu akan dijalankan melalui pelbagai wadah, bermula Isnin (17 Jan) sehingga Sabtu (22 Jan).

Orang ramai boleh menghulurkan derma dan menyumbang menerusi wadah-wadah seperti PayNow, giving.sg/rlafoundationsg/typhoonrai, Muslim.SG, pindahan dana kepada Yayasan Rahmatan lil Alamin dan melalui kiriman cek kepada RLAF atau Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Semua sumbangan derma kemudian akan disalurkan kepada Mercy Relief.

Sepanjang 17 tahun lalu, masjid-masjid di Singapura dan RLAF berjaya mengumpul lebih S$11 juta untuk membantu projek-projek kemanusiaan antarabangsa.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan