Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF lancar kutipan dana khas ketiga buat mangsa Gaza dengan kerjasama tiga pertubuhan

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF lancar kutipan dana khas ketiga buat mangsa Gaza dengan kerjasama tiga pertubuhan

Keadaan di halaman sekolah Al-Jawni berikutan serangan udara Israel di Nuseirat di tengah Carikan Gaza, Rabu lalu (11 Sep). (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) mengumumkan pelancaran kempen pengumpulan dana ketiga untuk menyediakan bantuan kemanusiaan yang kritikal kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas oleh krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Rayuan bagi mengumpul derma itu akan berlangsung selama hampir tiga bulan, bermula hari ini hingga 13 Disember 2024 menurut RLAF dalam kenyataannya pada Rabu (18 Sep).

Ia dijalankan dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan badan kemanusiaan setempat, Humanity Matters (HM).

Ini adalah kali pertama RLAF menjalin kerjasama dengan pelbagai pertubuhan untuk kempen pengumpulan dana.

Menurut RLAF, krisis yang berterusan di Gaza telah menyebabkan kira-kira 1.9 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, dengan 1.7 juta terperangkap dalam kawasan seluas hanya 48 km persegi.

Kekurangan ruang dan kemudahan sanitasi yang mencukupi menimbulkan risiko penularan penyakit dan menghalang akses kanak-kanak kepada keperluan asas.

Akses kepada air bersih kekal sebagai isu kritikal yang menimbulkan risiko kesihatan yang signifikan.

CARA MENDERMA

Orang ramai boleh menderma menerusi kaedah digital, PayNow, pemindahan wang menerusi bank atau cek.

■ PayNow – sertakan UEN: 200910530ZRLA dan nyatakan ‘GAZAAID2024’ dalam ruangan butiran tambahan

■ GivePlease - menerusi kempen di tinyurl.com/aidgaza2024

■ Giving.SG – menerusi kempen di tinyurl.com/aidgaza2024

■ Pemindahan wang antara bank melalui RLAF ke 'OCBC Current Account' dengan nombor akaun 601313315001

■ Cek kepada ‘RLAF’ - nyatakan di bahagian belakang cek: nama dan nombor telefon penderma, selain menandakan “GAZAAID2024”. Cek boleh dikirimkan ke RLAF (Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, Singapore 737740) atau ke MUIS (No. 273 Braddell Road, Singapore 579702)

Selain itu, semua masjid di Singapura juga akan menyediakan tabung derma khas yang ditandakan akan menyediakan tabung derma khas yang ditandakan ‘Bantuan Kemanusiaan untuk Gaza 2024’ pada Jumaat, 20 September hingga 26 September 2024.

Dana akan digunakan untuk memperoleh bekalan penting seperti makanan, air, bantuan perubatan, dan sanitasi untuk komuniti yang terjejas di Gaza.

Semua sumbangan akan disalurkan melalui rakan kongsi RLAF - UNICEF, JHCO, dan Humanity Matters.

Ini bagi memastikan perolehan dan penghantaran barangan dan perkhidmatan bantuan yang penting dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas di Gaza.

Pengumpulan dana kali ini adalah yang ketiga oleh RLAF untuk mangsa di Gaza.

Pusingan pertama berlangsung dari 19 Oktober hingga 17 November 2023 dengan kerjasama Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Pusingan kedua diadakan dari 20 hingga 26 Mac 2024 dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan