Skip to main content

Singapura

RLAF lancar kempen kumpul dana bantu Sudan dari 19 Nov hingga 3 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF lancar kempen kumpul dana bantu Sudan dari 19 Nov hingga 3 Dis
Usaha pengumpulan dana RLAF bagi bantuan kemanusiaan untuk Sudan. (Gambar: Petikan skrin dari laman RLAF)
SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamni (RLAF) sedang menjalankan usaha pengumpulan dana segera untuk menghulurkan bantuan bagi krisis kemanusiaan yang bertambah buruk di Sudan.

Usaha pengumpulan dana itu bermula Rabu (19 Nov) hingga 3 Dis menerusi pelbagai wadah online dan media sosial RLAF, menurut RLAF dalam kenyataan medianya pada Rabu (19 Nov).

Pengumpulan dana itu turut dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Sudan kini sedang melalui salah satu pemindahan kecemasan paling teruk di dunia dengan lebih 14 juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing sejak April 2023.

Lebih 7 juta penduduk masih tanpa tempat tinggal di Sudan.

Merentasi sempadan, 4.2 juta pelarian mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran seperti Chad, Sudan Selatan, Mesir, Libya dan Habsyah.

Pertempuran yang berlaku baru-baru ini di sekitar pusat perlindungan Darfur Utara mencetuskan gelombang pemindahan besar-besaran, menyebabkan beribu-ribu orang terperangkap tanpa akses selamat kepada bantuan kemanusiaan, menurut RLAF.

RLAF menambah, lebih 30 juta orang iaitu lebih separuh daripada penduduk Sudan kini perlukan bantuan mendesak.

"Keluarga, terutama sekali wanita dan kanak-kanak berdepan kekangan bekalan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan, menyebabkan kekurangan zat makanan dan penyakit merebak dengan cepat," menurut RLAF.

"Skala penderitaan di Sudan hari ini memerlukan perhatian segera," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Adnan Abdul Hamid.

"Keganasan yang semakin teruk, kelaparan dan pemindahan yang meluas mewujudkan krisis kemanusiaan. Kami merayu kepada masyarakat supaya memberikan tindakan segera untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan," beliau menambah.

Dana-dana yang terkumpul menerusi usaha pengumpulan dana RLAF-UNHCR akan bantu menyediakan tempat perlindungan, barang keperluan peribadi dan pelaksanaan khidmat bekalan air, sanitasi dan kebersihan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit seperti taun.

CARA MENDERMA

Orang ramai boleh menderma melalui kaedah-kaedah berikut:

a. PayNow – masukkan nombor UEN RLAF: 200910530Z dan letakkan ‘SudanEAppeal2025’ pada bahagian 'remarks'

b. Giving.SG – sumbangkan kepada kempen di giving.tinyurl.com/sudaneappeal2025

c. Pindahan bank melalui RLAF – pindahkan ke 'Current Account' OCBC di nombor akaun 601313315001

d. Kirimkan cek kepada ‘RLAF’ - tuliskan pada bahagian belakang cek: nama penderma, nombor telefon dan sertakan 'SudanEAppeal2025'; hantarkan cek ke RLAF (Masjid Yusof Ishak, 10 Woodlands Drive 17, Singapura 737740)

Dana yang dikumpul akan disalurkan melalui UNHCR, memandangkan ia beroperasi di lapangan dan bekerjasama dengan rakan-rakan kerjanya bagi menyediakan perlindungan dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas oleh krisis di Sudan, menurut kenyataan media tersebut.

Sehubungan itu, RLAF juga akan mengadakan kutipan dana di beberapa masjid di seluruh Singapura antara Jumaat (21 Nov) hingga Khamis depan (27 Nov).

Kotak-kotak derma di masjid akan ditandakan dengan logo RLAF dan tujuan pengumpulan dana.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita