Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF kumpul lebih S$2.1 juta bagi mangsa gempa Turki, Syria

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF kumpul lebih S$2.1 juta bagi mangsa gempa Turki, Syria

Gambar: MUIS

Diterbitkan : 23 Mar 2023 06:03PM Dikemas Kini : 23 Mar 2023 06:12PM
SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama pertubuhan bantuan kemanusiaan di Turki Hayrat Yardim berjaya mengumpul S$2,151,202 bagi menyokong kerperluan mangsa gempa bumi di Syria dan Turki.

Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi yang pernah dikumpulkan oleh RLAF dalam usaha kemanusiaan bagi bencana alam sejauh ini.

Demikian didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RLAF Encik Muhammad Faizal menerusi kenyataan media yayasan itu hari ini (23 Mac).

Pada Isnin (20 Mac) Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah RLAF Encik Hj Abdul Razak Maricar memberikan dana tersebut secara rasmi kepada Hayrat Yardim dalam satu majlis penyampaian cek yang diadakan di Hab Islam Singapura. Duta Republik Turki ke Singapura, Mehmet Burcin Gonenli menerima cek tersebut bagi pihak Hayrat Yardim.

Encik Muhammad Faizal berkata jumlah tersebut dapat dikumpulkan menerusi derma murah hati dan sikap belas ihsan yang diserlahkan oleh orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori mengumpul apa yang mereka ada dan menghantar wakil ke pejabat kami untuk menghantar derma mereka. Seorang guru dari tadika Masjid Al-Iman juga berkongsi sumbangan daripada keluarga murid-murid," kongsi Encik Faizal.

Lebih 10 pertubuhan lain termasuk Persatuan Muhammadiyah, Persatuan Wanita Cina dan Darul Arqam turut memberikan sumbangan derma.

Usaha mengumpul dana tersebut dijalankan selama dua minggu daripada 10 hingga 24 Februari lalu.

Encik Gonenli menzahirkan rasa amat berterima kasih atas sokongan mencurah-curah daripada masyarakat di Singapura. Beliau berkongsi bahawa bantuan tersebut akan dapat memberi semangat kepada mangsa di Turki pada waktu ini.

Sewaktu upacara itu, panggilan video dilakukan bersama wakil Hayrat Yardim dan mereka berkongsi bahawa dapur di kawasan terjejas dapat menyediakan 1.5 juta makanan panas setakat ini dan akan terus melakukan demikian pada bulan ramadan ini.

Bantuan lain yang sudah dihantar ke kawasan terjejas termasuk 160,000 selimut, katil, lebih daripada 300,000 baju dan lebih daripada 2,500 khemah.

Sebelum ini, RLAF sudah terlebih dahulu menyerah dana S$1 juta kepada Hayrat Yardim untuk memberikan bantuan dengan secepat mungkin.
Sumber : BERITA Mediacorp/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan