RLAF kumpul lagi S$2 juta untuk Gaza menerusi rayuan khas Ramadan, jumlah keseluruhan lebih S$10 juta
Lebih S$2 juta berjaya dikumpulkan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) hasil inisiatif 'Rayuan Ramadan untuk Gaza' yang dijalankan dari 20 hingga 26 Mac lalu.
SINGAPURA: Lebih S$2 juta berjaya dikumpulkan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) hasil inisiatif 'Rayuan Ramadan untuk Gaza' yang dijalankan dari 20 hingga 26 Mac lalu.
Daripada jumlah tersebut, lebih S$400,000 berjaya dikumpulkan menerusi kutipan dana di masjid-masjid semasa solat Jumaat.
Ini bermakna secara keseluruhan, lebih S$10 juta sudahpun dikumpulkan RLAF dalam misi membantu mangsa konflik di Gaza.
Semasa ditemui pihak media selepas sesi solat Aidilfitri di Masjid Omar Kampong Melaka, Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata ini mencerminkan sikap rahmah masyarakat yang tiada batasnya kepada masyarakat dalam dan luar negara.
"Kita juga menyebarkan rahmah sampai ke luar negara menyampaikan, menyumbangkan dana untuk mereka yang menjadi mangsa di konflik Gaza. Setakat ini masyarakat Islam telah mengumpul sebanyak lebih daripada S$10 juta yang S$8 juta daripadanya sudah pun diagihkan kepada mereka yang di Gaza dan S$2 juta telah dikumpulkan semasa usaha pengumpulan dana waktu Ramadan.
"Kita menjadi masyarakat yang yakin yang berdaya tahan dan perkasa dan bukan hanya untuk masyarakat dan negara kita tapi sanggup membantu sampai sejauh mana yang memerlukan bantuan dari kita," kata Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
(Facebook/RLAF)
MASYARAKAT TENANG HADAPI CABARAN SEMASA RAMADAN
Bagi golongan yang memerlukan dalam negara pula, Encik Masagos berbesar hati melihat bagaimana mereka dibantu sepanjang Ramadan lalu.
Pelbagai usaha digembleng para sukarelawan dan badan-badan amal.
Bagi amalan dan ibadah sepanjang bulan suci itu, Encik Masagos menyanjung sumbangan para relawan, masjid-masjid serta kumpulan-kumpulan qaryah di atas kerja keras mereka dalam memastikan keselesaan para jemaah dan peserta acara berbuka puasa.
"Inilah semangat yang kami banggakan di Singapura, di mana kita selalu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan menyebarkannya juga kepada masyarakat yang bukan Islam," tambah Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan.
Encik Masagos juga memuji masyarakat Melayu/Islam kerana bersikap matang apabila diuji dengan beberapa insiden yang berbaur perkauman yang tular di media sosial pada Ramadan lalu.
"Para pemimpin masyarakat, pemimpin agama selalu bersatu untuk membimbing masyarakat kita supaya dalam apa saja yang kita hadapi, apakah satu krisis atau satu yang ditonjolkan dalam media sosial, kita masyarakat yang tenang. Tahu mengatasinya secara yakin dan kerana kita juga masyarakat yang bangga dengan adab kita sebagai masyarakat Melayu Islam di Singapura," ujar Encik Masagos.
SUMBANGAN KEPADA WAKAF DEMI KESEJAHTERAAN GENERASI MASA HADAPAN
Encik Masagos menyertai sekitar 700 jemaah di Masjid Omar Kampong Melaka untuk mendirikan solat Aidilfitri.
(Facebook/Masagos Zulkifli)
Dibina pada 1820, masjid yang terletak di kawasan Clarke Quay itu dibangunkan atas tapak tanah yang diwakafkan seorang saudagar bernama Syed Omar Aljunied.
Hasil sikap dermawan tersebut, masjid itu masih berdiri teguh dan menjadi warisan untuk masyarakat Islam tempatan.
Ia juga merupakan masjid tertua yang masih berdiri di Singapura.
Seiring dengan seruan Mufti Negara dalam khutbahnya agar masyarakat dapat memupuk budaya menyumbang demi kebaikan, Encik Masagos berharap umat Islam setempat dapat terus melakukan demikian.
Menerusi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) misalnya, masyarakat boleh menyumbang demi keperluan sosio-agama generasi masa hadapan.
"Kita sudah menjadi masyarakat lebih mampan. Saya harap dengan aset yang sudah kita kumpul sebagai masyarakat, kita dapat mengagihkannya melalui menyumbang kepada dana Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang hasilnya dapat digunakan untuk keperluan masyarakat Islam pada tahun-tahun akan datang.
"Kerana keperluan keagamaan kita akan semakin besar bukan hanya kerana kos semakin meningkat tapi kita telah meningkatkan juga jenis-jenis perkhidmatan dan juga jasa yang diperlukan untuk masyarakat kita demi kesejahteraan masyarakat akan datang," jelas Encik Masagos.
Usai solat Aidilfitri, Encik Masagos dibawa menyaksikan sebuah galeri yang merakan sejarah Masjid Omar Kampong Melaka sepanjang lebih 200 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.