RLAF kumpul dana salur kepada pertubuhan sediakan khidmat untuk golongan kurang upaya
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menganjurkan satu kutipan dana untuk disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan yang menyediakan khidmat dan sokongan bagi orang kurang upaya (PwD).

Seorang warga tua menggunakan kerusi rodanya yang bermotor. (Gambar fail: Calvin Oh)
SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menganjurkan satu kutipan dana untuk disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan yang menyediakan khidmat dan sokongan bagi orang kurang upaya (PwD).
Dalam kenyataannya hari ini (10 Sep), yayasan itu menyatakan pengumpulan dana tersebut dijalankan dengan kerjasama Cabaran Presiden dan merupakan sebahagian daripada Hari Rahmatan Lil Alamin (RLA) tahun ini.
Hari RLA adalah satu acara peringatan tahunan yang menandakan usaha masyarakat Islam Singapura dalam menyebarkan semangat Rahmatan Lil Alamin kepada semua.
Sempena Hari RLA tahun ini, yayasan itu mahu meningkatkan kesedaran terhadap sokongan bagi isu-isu berkaitan kurang upaya dan golongan PwD dalam masyarakat Singapura.
Ia berhasrat untuk memupuk hubungan yang mampu bertahan antara pertubuhan yang menyokong PwD dengan pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat melalui pendampingan antara relawan dengan penerima.
Sejak pandemik COVID-19 melanda, sektor perkhidmatan sosial terjejas hebat dengan banyak agensi khidmat sosial, termasuk yang menghulurkan bantuan kepada golongan PwD, berdepan kesukaran untuk mengumpulkan dana bagi meneruskan kerja-kerja muhibah mereka.
Golongan PwD, menurut RLAF dalam kenyataannya, adalah paling terdedah kepada kesan negatif COVID-19 seperti kehilangan pekerjaan dan pengasingan sosial. Lantaran itu, mereka amat memerlukan bantuan dan akan berpaling kepada agensi khidmat sosial.
Yayasan itu menambah sokongan lebih kukuh terhadap golongan PwD menjadi bertambah penting lagi pada masa jangka panjang memandangkan beberapa trend yang kian meningkat.
Misalnya, jumlah individu yang didiagnosis dengan autisme semakin naik dan ini bermakna khidmat bagi menyokong keperluan mereka juga perlu dipertingkatkan.
Mentelah lagi, dengan penduduk Singapura yang kian menua dan saiz keluarga semakin menguncup, penjaga lanjut usia akan mendapatinya lebih sukar untuk menjaga anak kurang upaya mereka di samping diri mereka sendiri. Oleh demikian, sokongan bagi warga tua yang menggalas peranan sebagai penjaga kepada golongan PwD juga perlu diperluaskan, jelas RLAF.
Menimbangkan perkara-perkara tersebut, RLAF sedang menjalankan kutipan dana secara online melalui pelbagai wadah untuk membantu pertubuhan-pertubuhan yang menyediakan sokongan kebajikan kepada golongan PwD.
Mulai Jumaat (10 Sep) hingga 23 September, orang ramai boleh membuat sumbangan derma mereka menerusi wadah-wadah berikut ini kepada RLAF untuk menyokong usaha mereka:
- PayNow - anda perlu memasukkan nombor UEN RLAF: 200910530Z
- Giving.SG - kempen di giving.sg/rlafoundationsg/rladay
- Muslim.SG – RLAF – RLA DAY
- Pemindahan bank melalui RLAF (Rahmatan Lil Alamin Foundation) – Pindahkan wang ke nombor Akaun 'Current' OCBC: 629069154001
- Cek yang dibayar kepada 'RLAF'. Nyatakan di bahagian belakang cek: nama penderma, nombor NRIC/UEN, nombor telefon dan tulis "RLA Day". Kirimkan cek itu ke RLAF (Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, Singapura 737740) atau MUIS (No. 273 Braddell Road, Singapore 579702)
Semua derma yang dikumpulkan akan disalurkan melalui Cabaran Presiden, sebuah gerakan mengumpul dana yang diuruskan oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Khidmat Sosial Majlis Kebangsaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.