Skip to main content

Singapura

RLAF kumpul $200,000 bantu mangsa gempa Thailand, Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF kumpul $200,000 bantu mangsa gempa Thailand, Myanmar

Dalam kutipan derma sepanjang April lalu, RLAF berjaya kumpul $200,000 untuk mangsa gempa Thailand dan Myanmar. (Gambar: RLAF)

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyerahkan cek bernilai S$200,000 kepada Palang Merah Singapura (SRC) bagi membantu para mangsa gempa bumi di Myanmar dan Thailand.

Ini hasil sumbangan masyarakat dalam satu kutipan derma yang dijalankan RLAF sejurus selepas gempa dahsyat sekuat 7.7 magnitud melanda dua negara itu pada 28 Mac lalu.

Dana itu akan menyokong operasi bantuan SRC yang menyeluruh termasuk pengagihan barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, selimut dan kit kebersihan.

Penolong Setiausaha Agung bagi Operasi SRC, Charis Chan berkata, "RLAF sudah menjadi rakan kerja penting SRC dalam membantu masyarakat yang terjejas oleh krisis. Kami sangat berterima kasih kepada usaha RLAF termasuk rakan kerjan, anggota dan para sukarelawannya terhadap menyokong usaha ini."

"Penyerahan cek hari ini (12 Jul) menandakan langkah bermakna dalam kerjasama berterusan kami — mencerminkan komitmen bersama kami untuk bertindak dalam perpaduan apabila membantu komuniti yang memerlukan bantuan. Kami berharap untuk terus bekerjasama bagi menyediakan bantuan, harapan dan maruah buat mereka yang memerlukan di rantau ini dan selebihnya,” tambahnya lagi.
Related article image
Dr Faishal bersama para penerima Geran Masyarakat RLAF. (Gambar: RLAF)
Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim yang hadir untuk menyaksikan penyerahan cek tersebut menekankan tentang pentingnya usaha secara berkolaborasi.

"Kempen ini adalah bukti betapa hebatnya kerjasama, belas ihsan dan tanggungjawab bersama. Kerjasama RLAF dan SRC mencerminkan etos negara kita sebagai masyarakat yang prihatin dan berpandangan ke luar, yang mengambil tindakan bukan sahaja bagi keperluan tempatan tetapi juga untuk jiran-jirannya yang memerlukan. Saya sangat berbesar hati dengan kemurahan hati yang ditunjukkan oleh rakyat Singapura, termasuk masyarakat Islam yang bersama-sama menyokong usaha ini," kata Dr Faishal.

MEMPERKASA KEPIMPINAN BELIA

Di majlis itu, Dr Faishal turut menyampaikan Geran Masyarakat RLAF 2025 kepada 12 inisiatif yang diterajui para belia.
 
Related article image
Dr Faishal berharap lebih ramai golongan belia tampil untuk sama-sama membangunkan masyarakat. (Gambar: RLAF)
Geran-geran itu bernilai antara $6,000 hingga lebih $17,000 setiap satu.

Projek-projek yang terpilih merangkumi lima inisiatif tempatan dan tujuh di luar negara.

Ini bagi pusingan geran dalam separuh pertama tahun ini.

Ia bertujuan untuk menyokong projek-projek masyarakat yang diterajui para belia dengan tujuan untuk meninggalkan kesan positif menerusi khidmat, inovasi dan keterlibatan.

Sejak 2009, RLAF sudah membiayai lebih 100 projek masyarakat di dalam dan luar negara.

Setiap tahun, jumlah geran bernilai antara $100,000 hingga $200,000 diagihkan.

Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Adnan Abdul Hamid berkongsi, "Majlis Penyampaian Geran Masyarakat RLAF mengesahkan komitmen teguh kami untuk memupuk pemimpin belia kami dengan memperkasakan mereka untuk menghasilkan konsep, memimpin dan melaksanakan inisiatif asas yang memberi impak. Kami berharap melalui ini, kami dapat mewujudkan perubahan yang bermakna dan berkekalan dalam komuniti mereka."

Untuk membina keupayaan dalam sektor tersebut, RLAF juga mengendalikan bengkel Pengurusan Projek dan Kemanusiaan.

Bengkel dua hari itu dikendalikan hasil kerjasama dengan Akademi SRC dan disertai lebih 60 peserta.

Encik Adnan berkata ini mencerminkan pendekatan menyeluruh RLAF dalam khidmat masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita