Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF kerjasama dengan 20 masjid lengkapi warga emas kemahiran digital

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) sudah bekerjasama dengan 20 masjid bagi menganjurkan sesi latihan yang melengkapi warga emas dengan kemahiran digital setakat ini.

Kemahiran ini termasuk mengekalkan keterhubungan mereka melalui Facebook, WhatsApp dan Zoom.

Demikian kongsi Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan Rahayu Mahzam semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi kementerian tersebut di parlimen hari ini (4 Mac), semasa menjelaskan lebih lanjut tentang kolaborasi Pejabat Digital Singapura (SDO) dengan rakan-rakan masyarakat demi membantu rakyat Singapura yang memerlukan bantuan digital.

LEBIH 130,000 WARGA EMAS DAKAPI KEMAHIRAN DIGITAL

Cik Rahayu Mahzam menarik perhatian, duta-duta digital SDO sudah melatih lebih 130,000 warga emas bagi mendakapi kemahiran-kemahiran digital asas seperti menggunakan telefon bijak sejak SDO ditubuhkan pada tahun 2020.

Malah ia juga sudah memperkasa 11,000 penjaja bagi mendakapi huraian ebayaran.

Sejak dua tahun lalu juga, program-program akses digital seperti NEU PC Plus dan Home Access juga sudah membantu lebih 34,000 keluarga berpendapatan rendah dengan keperluan akses digital mereka.

"Pada masa akan datang, kami berusaha meningkatkan program-program akses digital kami bagi mendampingi lebih banyak keluarga berpendapatan rendah dan membantu mereka menerima akses digital yang boleh dimampui dengan lebih mudah," kata Cik Rahayu.

3 WAWASAN PENTING

Usaha-usaha tersebut - menyediakan akses digital dan mempertingkatkan kesediaan digital - juga salah satu daripada tiga wawasan penting dalam mengukuhkan keupayaan dan kesejahteraan digital dalam kalangan rakyat Singapura.

Ini sedang pendigitalan menjadi semakin berleluasa sekarang ini.

"Bersama dengan rakan-rakan kongsi 3P, pihak Pemerintah akan menyediakan akses digital dan mempertingkatkan kesediaan digital, menggalakkan pembelajaran dan penguasaan kemahiran digital menerusi perpustakaan kita dan mempersiapkan rakyat kita, terutama sekali golongan yang mudah terjejas, untuk mengenal pasti dan berdepan dengan risiko dan ancaman dalam talian," tekan Cik Rahayu.

Beliau menambah koleksi bahasa ibunda Lembaga Perpustakaan Nasional (NLB) meningkat 11 peratus sejak tiga tahun lalu.

Baru-baru ini juga, NLB mula menawarkan penterjemahan buku kanak-kanak yang memenangi anugerah ke dalam bahasa-bahasa lain.

BERBESAR HATI RAMAI RAKYAT PELAJARI KEMAHIRAN DIGITAL BARU

Cik Rahayu juga melahirkan rasa berbesar hati melihat ramai rakyat Singapura yang sudah mengambil langkah berani bagi mempelajari kemahiran digital baru dan menyumbang kepada perkembangan digital sedang kementerian tersebut mempertingkatkan usaha mereka memperkasa masyarakat.

Ini termasuk rangkaian yang terdiri daripada lebih 300 individu, di mana mereka saling berkongsi peluang-peluang kerjaya dan bengkel-bengkel yang ada dalam sektor teknologi.

Cik Rahayu menarik perhatian kepada salah seorang anggota rangkaian itu, Encik Mohd Afiq, yang juga pengasas alat dalam talian yang membolehkan para pengguna membuat rekaan pengalaman maya yang unik dan bermakna, yang diberi nama “PlayTours”.

Ini termasuk mereka permainan ‘escape room’ dan permainan berbilang pemain pada masa nyata atau ‘real-time multi-player games'.

"Sememangnya membangunkan sesuatu produk itu dari mula bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, Afiq yakin tentang nilai yang akan dibawa oleh “Playtours” kepada dunia digital hari ini dan ini telah mendorong beliau untuk tetap tabah dan terus berusaha demi memajukan perniagaannya.

"Apa yang pasti, individu-individu seperti Afiq menjadi inspirasi buat kita semua. Membangkitkan semangat dalam diri kita untuk sama-sama merebut peluang-peluang pendigitalan yang menanti kita," kata Cik Rahayu.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan