Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF, Humanity Matters ganding bahu hantar bantuan ke Gaza Dis ini

Ini merupakan kali pertama dua badan itu bekerjasama bagi misi ke Gaza. RLAF juga akan bekerjasama Pertubuhan Amal Hashemite Jordan dan UNICEF.

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF, Humanity Matters ganding bahu hantar bantuan ke Gaza Dis ini

Humanity Matters berjaya menghantar bantuan ke Gaza menerusi sempadan darat. (Gambar: Humanity Matters)

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan bekerjasama dengan Humanity Matters untuk menghantar bekalan bantun ke Gaza pada Disember ini.

Ini didedahkan dua badan itu dalam episod Detik Khas yang disiarkan pada Rabu (2 Okt).

Ia juga merupakan kali pertama mereka bekerjasama bagi sebuah misi bantuan untuk Gaza.

"Mereka (Humanity Matters) punya rekod yang cemerlang untuk menggembleng tenaga tempatan untuk menjadikan barangan-barangan dan dikumpul dan dihantar ke sana," kata Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Adnan Abdul Hamid.

Kerjasama ini turut dialu-alukan badan amal antara agama Humanity Matters.
 
Humanity Matters berjaya menghantarkan bantuan ke Gaza menerusi sempadan darat. (Gambar: Humanity Matters)
Menurut Humanity Matters, ia sudah berjaya melaksanakan misi menghantar barangan bantuan ke Gaza menerusi sempadan darat.

Pada November tahun lalu, mereka melakukan demikian menerusi Rafah dan lintasan Kerem Shalom pada April lalu.

Pada Julai pula, mereka menghantar bantuan menerusi Lintasan Erez.

"Pihak RLAF telah mendekati Humanity Matters dan juga mengajak kami bekerjasama kali ini ke Gaza. Jadi kami telahpun bersetuju untuk bergading bahu bersama-sama di bawah Singapura untuk warga dan rakyat Palestin," kata Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad.
 
Humanity Matters menyampaikan bantuan kepada kanak-kanak di Gaza. (Gambar: Humanity Matters)
Sebelum misi pada Disember ini, Humanity Matters akan melancarkan lagi satu misi bantuan pada Oktober ini untuk menyokong keperluan semasa di Gaza.

RLAF JUGA JALIN KERJASAMA DENGAN PERTUBUHAN ANTARABANGSA, LUAR NEGARA

Selain Humanity Matters, RLAF juga akan bekerjasama dengan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO).

Bantuan itu merupakan lanjutan daripada apa yang telah disalurkan RLAF sebelum ini.
 
Buat masa ini, RLAF masih menjalankan kutipan derma sepanjang hampir tiga bulan hingga 13 Disember ini.

Dana itu akan digunakan untuk memperoleh bekalan penting seperti makanan, air, bantuan perubatan, dan sanitasi untuk komuniti yang terjejas di Gaza.

"Setiap pemberian adalah bererti, setiap sumbangan amat-amat dihargai. Dengan itu, RLAF merayu kepada masyarakat setempat untuk sama-sama ke depan memberikan apa yang mampu dan mudah-mudahan ini akan mendatangkan sinar harapan kepada masyarakat Gaza yang tertimpa dengan krisis yang amat genting," kata Encik Adnan.

Sebelum ini, RLAF sudah menyerahkan sumbangan buat Gaza beberapa kali dan yang terbaharu adalah pada September lalu yang dibuat menerusi UNICEF.

Encik Adnan menjelas, "Kita punya perancangan untuk menghantar barangan tersebut melalui kapal dan kemudian melalui JHCO, mereka punya lori-lori trak yang akan ke Gaza yang berlanjutan setiap hari. Walaupun kita tahu ada beberapa cabaran seperti kekangan pada akses dalam laluan darat tapi saya rasa usahanya patut diteruskan juga. UNICEF juga, mereka mempunyai kepakaran di lapangan untuk menyantuni mereka"
Gambar: RLAF
Orang ramai boleh menderma menerusi kaedah digital, PayNow, pemindahan wang menerusi bank atau cek ke RLAF.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan