Skip to main content

Singapura

RLAF berjaya kumpul S$1.5 juta bagi kempen bantuan kemanusiaan Aid for Gaza 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 May 2026 08:59PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 02:43PM
  • Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpul sekitar S$1.5 juta melalui kempen 'Aid for Gaza 2026' bagi menyokong pemulihan di Gaza.
  • Majlis penyerahan cek kepada UNICEF bernilai S$754,316 diadakan pada 8 Mei, manakala sumbangan kepada Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) akan diserahkan tidak lama lagi.
  • Kempen ini mendapat sokongan masyarakat Singapura, termasuk kutipan derma di masjid dan sumbangan masyarakat India Islam semasa Ramadan.
  • Dana digunakan untuk tempat perlindungan, klinik bergerak, dapur masyarakat serta program pemulihan dan sokongan psiko-sosial untuk penduduk Gaza yang terjejas.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Kempen ‘Aid for Gaza 2026: Pemulihan dan Pembangunan Semula’ yang dikelolakan oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpulkan sekitar S$1.5 juta tahun ini bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan di Gaza.

RLAF sudah mengumpulkan sekitar S$17.1 juta dalam masa tiga tahun lepas, termasuk kempen tahun ini, bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam sebuah majlis penyerahan cek pada Jumaat (8 Mei), RLAF menyerahkan sumbangan bernilai S$754,316 kepada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Sementara itu, satu lagi cek kepada Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) akan diserahkan dalam masa terdekat.

Majlis tersebut disaksikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, selaku tetamu terhormat.

Ia diadakan selepas tamatnya tempoh kutipan dana bagi kempen itu pada 31 Mac lalu.

"Dari 8 Januari hingga 31 Mac, kempen Aid for Gaza 2026: Pemulihan dan Pembangunan semula berjaya mengumpul lebih S$1.5 juta. Ini mencerminkan semangat belas ihsan, perpaduan dan tanggungjawab bersama yang amat bermakna," kata Dr Faishal.

Beliau menekankan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan misi kemanusiaan itu ialah sokongan dan komitmen berterusan daripada masyarakat serta para penderma.

"Usaha ini dapat dilaksanakan dengan hasil kepercayaan para penderma terhadap badan-badan seperti RLAF, UNICEF dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), serta keyakinan bahawa bantuan akan disalurkan dengan penuh amanah, keprihatinan dan profesionalisme kepada mereka yang paling memerlukannya. Usaha bersama seperti ini mampu membawa perubahan yang bermakna.

"Kami berharap dana ini akan membantu mereka yang terjejas di Gaza untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas dan menyokong usaha pembinaan semula," kata Dr Faishal.

Dalam pada itu beliau menyeru agar masyarakat terus menyokong usaha kemanusiaan dan terus mendoakan kesejahteraan masyarakat yang terjejas dalam konflik.

KEMPEN AID FOR GAZA 2026: PEMULIHAN DAN PEMBANGUNAN SEMULA

Kempen 'Aid for Gaza 2026: Pemulihan dan Pembangunan semula' dikelolakan oleh RLAF dengan kerjasama UNICEF dan ERC bagi menyokong usaha pemulihan awal dan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat yang terjejas di Gaza.

Sebahagian daripada dana yang terkumpul adalah hasil kutipan derma yang dijalankan di masjid-masjid di seluruh Singapura sepanjang tempoh 16 hingga 22 Januari.

Masyarakat India Islam juga telah mengadakan kutipan derma pada hari ke-27 Ramadan yang lalu bagi menyokong kempen tersebut.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk memberi tempat perlindungan, membina klinik kesihatan bergerak, membina dapur masyarakat serta program pemulihan termasuk ruang pembelajaran dan sokongan psiko-sosial untuk kanak-kanak dan keluarga yang dipindahkan.

Inisiatif tersebut mencerminkan peralihan daripada bantuan kecemasan kepada usaha pemulihan yang mampan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita