Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF berjaya kumpul lebih $1.2 juta bagi penduduk Gaza dalam tempoh kurang 20 jam

Dalam tempoh sesingkat kurang 20 jam pertama sahaja kempen derma bantuan kemanusiaan untuk penduduk Carikan Gaza dilancarkan hari ini, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpul lebih $1.2 juta.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam tempoh sesingkat kurang 20 jam pertama sahaja kempen derma bantuan kemanusiaan untuk penduduk Carikan Gaza dilancarkan hari ini (22 Mei), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpul lebih $1.2 juta.

Hakikatnya, sumbangan daripada masyarakat datang mencurah-mencurah dan BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa kutipan RLAF melepasi S$1 juta seawal jam 2.15 petang tadi.

SHENG SIONG DERMA S$200,000 BANTU PELARIAN PALESTIN

Antara penderma terbesar kepada dana bantuan mangsa perang di Palestin itu ialah syarikat rangkaian pasar raya Sheng Siong Group. Ketua Pegawai Eksekutif Sheng Siong Group, Encik Lim Hock Chee menghulurkan S$200,000 hari ini kepada wakil Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Muhammad Faizal Othman.

Penyerahan cek derma tersebut dilakukan pagi tadi di Masjid Yusof Ishak, yang menempatkan pejabat RLAF. Upacara penyerahan cek tersebut turut disaksikan Wakil Khas Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi. Encik Hawazi berpangkalan di Singapura.

CEO Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee menghulurkan cek $200,000 kepada CEO RLAF, Encik Muhd Faizal Othman, dengan disaksikan CE MUIS, Encik Esa Masood dan Wakil Khas S'pura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi. (Gambar: MUIS)

CEO Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee menghulurkan cek $200,000 kepada CEO RLAF, Encik Muhd Faizal Othman, dengan disaksikan CE MUIS, Encik Esa Masood dan Wakil Khas S'pura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi. (Gambar: MUIS)

"Sheng Siong selalu membantu masyarakat, jadi sekarang terdapat ramai pelarian di Palestin.

"Sheng Siong boleh berusaha mendapatkan wang untuk membantu, sekitar $200,000 bagi membantu para pelarian Palestin kembali kepada masyarakat," kata Encik Lim.

SEDIAKAN WADAH PAPAR KEPRIHATINAN RAKYAT S'PURA

Encik Faizal pula berkongsi bahawa kempen pengumpulan dana RLAF itu adalah satu wadah untuk rakyat Singapura menunjukkan keprihatinan mereka.

"Juga untuk menunjukkan keihsanan mereka untuk membantu dan menyokong rakyat Palestin yang sedang sengsara.

"Dan hari ini kita dapat melihat satu sokongan yang utuh dari Sheng Siong untuk membantu, maksudnya kita melihat bahawa semua rakyat Singapura tidak kira bangsa, prihatin tentang keadaan ini."

Walaupun ini baru hari pertama kempen derma dimulakan, kutipan lebih S$1 juta itu membuktikan sambutan hangat daripada masyarakat Singapura untuk membantu penduduk Gaza.

RLAF bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Usaha bagi Pelarian Palestin Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

(Gambar: UNRWA)

(Gambar: UNRWA)

Dengan sumbangan RLAF, bantuan-bantuan kemanusiaan seperti makanan dan air, bantuan jagaan kesihatan serta khidmat sosial akan dihulurkan kepada para penduduk Palestin di Gaza menerusi UNRWA.

"Kami bekerjasama dengan UNRWA, satu agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mereka telah berpengalaman untuk membantu rakyat Palestin sejak 1949.

"Dan kami rasakan mereka adalah satu organisasi yang boleh membantu sebab ia terus pergi kepada rakyat Palestin melalui mereka, tidak kepada agensi-agensi yang lain," terang Encik Faizal lagi.

Di Gaza sendiri, perang 11 hari antara Hamas dengan Israel ini membunuh sekitar 250 penduduk Gaza termasuk 66 kanak-kanak.

Lebih 1,900 penduduk Gaza termasuk 560 kanak-kanak dilaporkan cedera, sementara lebih 200 blok perumahan musnah sama sekali.

Di pihak Israel pula, 12 orang maut termasuk seorang kanak-kanak setelah bandar-bandar Israel dihujani dengan lebih 4,000 roket kumpulan bersenjata Palestin, khususnya Hamas.

Lebih 2,000 rumah dan lebih 1,300 kereta di Israel dilaporkan rosak dek serangan roket-roket tersebut.

Pemerintah Singapura semalam (21 Mei) sudahpun mengikrarkan bantuan AS$100,000 (S$133,000) kepada penduduk Gaza menerusi Persatuan Palang Merah Singapura.

(Gambar: RLAF/ Facebook)

Bagi RLAF pula, kempen dermanya ini akan berjalan sehingga 30 Mei ini, jika anda ingin membantu.

Butiran lanjut boleh didapati di laman RLAF.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa