RLAF bangunkan Klinik Kesihatan Mudah Alih di Gaza
Ini terutamanya bagi masyarakat yang terjejas di Rafah berdekatan dengan sempadan Mesir.
Klinik itu akan menyediakan khidmat penjagaan kesihatan ibu dan anak, vaksinasi dan rawatan asas kepada para mangsa konflik yang memerlukan di Gaza.
Ia hasil kerjasama dengan Humanity Matters dan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
Usaha terbaharu RLAF itu diumumkan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di akhir lawatan kerjanya ke Mesir.
"Inisiatif ini adalah langkah penting untuk membina semula kehidupan penduduk Gaza dan kembalikan sinar harapan buat mereka," kata Dr Faishal.
Dalam rangka lawatan kerjanya itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Amal Emam dalam kunjungannya ke Pusat Operasi dan Pusat Pembungkusan Bantuan Kemanusiaan ERC.
RLAF juga meneroka cara untuk memperkukuh sokongan kemanusiaan dengan menyediakan tempat-tempat perlindungan dan khemah serta menyokong pembangunan kemudahan dapur di Gaza.
"RLAF telah bekerjasama rapat dengan ERC dalam usaha kemanusiaan untuk Gaza. Saya amat menghargai kerja keras ERC yang tidak kenal lelah dalam menyampaikan bantuan dan penjagaan kepada mereka yang terjejas," kata Dr Faishal.
Dalam kunjungannya itu, Dr Faishal turut diiringi Pengerusi RLAF, Abdul Razak Maricar, Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Adnan A. Hamid, anggota lembaga RLAF, Hanif Nomanbhoy dan Ridhwan Mohd Basor.
"Projek ini menunjukkan kepercayaan masyarakat kami terhadap penyelesaian jangka panjang. Bantuan bukan sekadar memberi bantuan segera sahaja, tetapi ia adalah tentang membantu keluarga membina masa depan mereka," kata Encik Abdul Razak.
Projek-projek itu merupakan sebahagian daripada S$2.4 juta yang diperuntukkan RLAF untuk UNICEF (S$1 juta), ERC (S$1 juta) dan Humanity Matters ($400,000).
Dana itu adalah sebahagian daripada kempen kutipan dana 'Aid for Gaza 2025'.
Menurut Dr Faishal, Singapura kekal beriltizam menyokong usaha kemanusiaan di Gaza dan akan terus bekerja rapat dengan rakan serantau seperti Mesir.
"Sokongan ini bukan sahaja dilahirkan daripada pemerintah, tetapi juga daripada rakyat Singapura daripada semua kaum dan agama. Setiap sumbangan melambangkan kepercayaan bahawa nilai kemanusiaan bersama kita harus sentiasa diutamakan," tambahnya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.