Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RKM kumpul dana S$350,000 sempena ulang tahun ke-35

Seramai 6,000 orang membanjiri kawasan lapang di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) di Pasir Ris hujung minggu ini untuk beramal sambil berseronok bersama keluarga dan teman-teman dalam Pesta Amal 2024.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 6,000 orang membanjiri kawasan lapang di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) di Pasir Ris hujung minggu ini untuk beramal sambil berseronok bersama keluarga dan teman-teman dalam Pesta Amal 2024.

Acara dua hari itu (31 Ogos dan 1 Sep) dianjurkan sempena ulang tahun RKM yang ke-35 dan bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak S$350,000.

Dana itu bagi menampung kos pengendalian rumah tumpangannya serta membiayai program untuk para penghuni.



Selain dapat meringankan kos operasi tahunan RKM yang mencecah S$4.3 juta, Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Roszanah Abdul Salim memberitahu BERITA Mediacorp, dana yang dikumpulkan itu juga akan disalurkan kepada usaha mempersiapkan para penghuni rumah tersebut untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

"Antara program yang dirancangkan ialah untuk memberi mereka kemahiran hidup dan juga menerapkan minat dan bakat mereka dalam sesuatu bidang supaya kemahiran-kemahiran ini dapat mereka terapkan apabila mereka keluar daripada RKM nanti," kata Cik Roszanah.

Bagi memperkukuhkan lagi usahanya itu, beliau menambah, RKM juga ingin menumpukan perhatian kepada usaha penjagaan selepas para penghuni meninggalkan RKM.

"Fokus RKM pada masa ini bukan sahaja dalam menangani ataupun program-program untuk anak-anak tetapi juga untuk melengkapi para kakitangan ataupun karyawan yang menjaga anak-anak ini dengan kemahiran-kemahiran yang berpatutan supaya mereka dapat menangani kes-kes yang rumit yang datang bersama anak-anak ini. Kami juga sedang menerajui perkhidmatan jagaan selanjutnya, di mana ada kesinambungan penjagaan anak-anak ini selepas mereka keluar daripada RKM," jelasnya.

MANFAATKAN SKIM-SKIM PENDIDIKAN; PERTINGKATKAN DIRI PEMERINTAH: SM TEO

Acara itu turut diserikan Menteri Kanan, Teo Chee Hean yang juga merakamkan penghargaannya kepada semua kakitangan dan relawan RKM atas sumbangan mereka sepanjang 35 tahun ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan komitmen pemerintah untuk terus menyokong usaha-usaha RKM dan mengalu-alukan para penghuninya agar memanfaatkan skim-skim pendidikan dan peningkatan kemahiran seperti yang diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini.



"Saya rasa program-program yang telah dibangunkan RKM untuk para penghuni ini juga telah bertambah baik dari semasa ke semasa. Ia kini menjadi rumah bijak yang mengajar anak-anak kita bagaimana untuk menyesuaikan diri dan menjadi warga negara yang baik dan menjadi warga negara yang baik dan ahli masyarakat yang baik, dapat menjaga diri mereka sendiri tetapi juga dapat menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhan.

"RKM, anda meletakkan asas supaya anak-anak kita apabila mereka membesar mereka mempunyai asas itu agar sesuai dengan ekonomi moden, untuk bersedia untuk pekerjaan masa hadapan, untuk menjadi warga Singapura yang menyumbang," kata Encik Teo yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol.

RKM KOMITED SOKONG MASA HADAPAN PARA PENGHUNINYA

Edisi kedua pesta itu dibuka kepada orang ramai dan dimeriahkan dengan sajian lebih 20 gerai menjual makanan, minuman serta barangan keperluan.

Pelbagai ceramah serta persembahan oleh para penghuni, kakitangan, relawan dan artis-artis tempatan seperti Alyph, Gurmit Singh, Khairuddin Samsudin dan Fizo O juga diadakan.

Selain para penghuni dan keluarga mereka, ramai bekas penghuni RKM turut kembali menyingsing lengan.

"RKM banyak membantu saya selama ini. Apabila saya keluar dari RKM, saya beritahu superintendan yang saya akan kembali untuk menjadi relawan dan membantu apa yang patut," kata Mohd Irman Sophian, bekas penghuni RKM dari 2013 hingga 2020.



Beliau menambah, pengalamannya di situ juga mematangkannya dan menjadikannya lebih bersedia untuk dunia luar.

"Para pegawai banyak membantu saya macam mana hendak hidup berdikari dan disiplin diri supaya saya boleh jadi orang yang berjaya dan berguna di luar sana," tambahnya.

Memandang ke hadapan, Pengerusi Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman memberikan jaminannya untuk memperkukuh kerjasama dengan masyarakat agar dapat membina masa hadapan yang lebih cerah buat anak-anak di bawah jagaan RKM.



"Sepanjang tiga setengah dekad yang lalu, kami telah menyokong lebih daripada 1,000 penghuni. Setiap daripada mereka adalah unik, masing-masing mempunyai cabaran mereka tersendiri tetapi kami percaya pada potensi besar yang dimiliki oleh setiap daripada mereka. Mereka mewakili harapan, kejayaan masa depan dan janji untuk menjadi individu yang lebih baik, menyumbang kepada keluarga yang lebih kukuh, masyarakat yang lebih baik dan Singapura yang lebih cerah.

"Di RKM, kami komited untuk meneruskan misi ini bersama-sama anda semua, rakan kongsi, penyokong dan rakan-rakan kami. Kami memegang tanggungjawab dan amanah ini dengan penuh kesungguhan sedang kami berusaha untuk memberikan penjagaan, memupuk bimbingan untuk anak-anak ini supaya mereka boleh berkembang menjadi individu yang sepatutnya," kata Ustaz Azri.

Premis baharu RKM di Pasir Ris itu menempatkan kira-kira 39 penghuni.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan