Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Riz Sunawan, Hidayah Amin tulis buku kanak-kanak pertama di S'pura tentang Penyakit Motor Neuron (MND)

Kisah tekad dan kesungguhan mantan penyampai BERITA, Riz Sunawan mengharungi cabaran setelah didiagnos dengan Penyakit Motor Neuron (MND) diabadikan dalam bentuk sebuah buku.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kisah tekad dan kesungguhan mantan penyampai BERITA, Riz Sunawan mengharungi cabaran setelah didiagnos dengan Penyakit Motor Neuron (MND) diabadikan dalam bentuk sebuah buku.

Buku kanak-kanak dwibahasa itu juga merupakan yang pertama seumpamanya diterbitkan di Singapura tentang penyakit tersebut.

Sejak Asri Sunawan atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan, 44 tahun didiagnos dengan penyakit Motor Neuron (MND) iaitu sejenis penyakit saraf pada 2018, pergerakannya semakin terbatas dan kini sudah lumpuh hampir 80 peratus.

Pita suaranya juga terjejas namun beliau tetap mahu menggunakan 'suaranya' untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Untuk itu, beliau menghasilkan sebuah buku kanak-kanak bertajuk 'Nama Saya Riz. Saya ada Penyakit Motor Neuron'.

"Saya menaip menggunakan mata, maka itu perlu banyak berehat supaya mata tidak kering dan letih," kata Riz atau nama sebenarnya, Asri Sunawan, dengan bantuan sebuah alat peranti bernama 'Tobii'.

"Selain daripada menjadi daripada salah satu sumber maklumat dan kesedaran tentang penyakit yang jarang dihidapi ini, buku ini juga diharapkan menjadi pemangkin, dorongan serta inspirasi buat semua.

"Jika saya Riz Sunawan boleh melakukannya, sesiapa sahaja boleh!" tambahnya.

KESEMUA HASIL PENJUALAN DISUMBANGKAN KEPADA RIZ

Semasa kunjungan BERITAmediacorp ke kediamannya, Riz turut menghulurkan penghargaan kepada penulis dan penerbit buku, Cik Hidayah Amin dan pelukis buku, Encik Khairudin Saharom.

Terkesan dengan nasib Riz, Cik Hidayah mula mengusahakan buku tersebut sejak Ogos lalu.

Beliau mula mendapat ilham untuk menghasilkan buku tersebut selepas melawat Riz beberapa bulan yang lalu.

"Bila saya pulang saya cepat-cepat menghantar WhatsApp kepada Riz dan tanya, 'Riz saya ada idea. Mari kita bukukan cerita Riz dalam siri buku 'Saya Unik','" kongsi Cik Hidayah, yang juga pengasas syarikat buku Helang Books.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Di bawah siri 'Saya Unik', beliau sudahpun menerbitkan empat lagi buku kanak-kanak tentang penyakit-penyakit lain termasuk autisme, sindrom Down dan kencing manis.

Beliau menambah: "Saya rasa apa kata kita tulis buku di mana pembacanya ialah kanak-kanak dan jika kanak-kanak boleh baca buku itu, orang dewasa pun boleh baca."

Menurut Cik Hidayah, beliau turut mendapatkan nasihat pakar perubatan sepanjang proses penulisan.

Selepas manuskrip ditulis dalam bahasa Inggeris, Riz menyiapkan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu.

Cik Hidayah berkongsi, kos penerbitan bukit itu menelan belanja sekitar S$12,000.

Namun, dengan sokongan dermawan daripada beberapa pihak, sekitar 2,500 naskhah buku itu dapat diterbitkan.

Dijual pada harga S$20 setiap satu, kesemua hasil jualannya akan disalurkan kepada Riz untuk menampung kos perubatannya.

"Riz sebagai orang yang prihatin dan baik, dia pun beritahu saya, dia ingin menyumbangkan kos sedikit daripada hasil penjualan buku kepada Persatuan Penyakit Motor Neuron Singapura yang dia telah tubuhkan bersama," jelas Cik Hidayah.

Sambil menahan sebak, beliau menambah: "Bila saya tengok Riz, saya rasa apalah masalah yang kita alami berbanding apa yang dia alami. Jadi dengan perjuangannya dia beri kami semua kekuatan untuk mengatasi apa-apa cabaran yang datang dalam kehidupan."

KHAIRUDIN SAHAROM RELA HATI LUKIS UNTUK BUKU, TANPA MINTA BAYARAN

Dalam pada itu, gambar-gambar dalam buku setebal 32 muka surat itu juga dilukis oleh jurubina dan personaliti TV, Encik Khairudin Saharom.

Di samping menggunakan corak dan tekstur, beliau menerapkan unsur-unsur Melayu dan Islam dalam lukisan-lukisan dalam buku tersebut.

"Anda dapat lihat pada mulanya warna yang digunakan muram dan suram. Kemudian di pertengahan ada kontras untuk menimbulkan ketegangan dan di akhirnya pula warna yang lebih cerah untuk menimbulkan harapan. Kalau anda lihat corak batik parang misalnya, ia menandakan ketabahan dan keberanian," kata Encik Khairudin yang sebelum ini pernah melukis untuk buku kanak-kanak yang lain.

Beliau yang juga memiliki syarikat pembinaannya sendiri memutuskan untuk tidak meminta sebarang bayaran untuk projek tersebut.

"Apabila Hidayah tanya pada saya adakah saya minat untuk melukis untuk buku ini, tak payah fikir lagi sebab pertama, Riz merupakan teman saya san saya rasa ini satu cara untuk kita beramal. Bagi saya buku ini adalah sebagai doa. Doa untuk Riz diringankan bebannya," jelasnya.

Buku itu akan dilancarkan oleh sempena Pesta Buku Melayu Singapura 2022 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat (16 Dis) di Wisma Geylang Serai.

Selain di acara itu, buku ini juga boleh didapatkan di Wardah Books, Ungu Pen dan Maya Gallery mulai Jumaat (16 Dis).

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan