Skip to main content

Singapura

Riuh apabila 220 bekas srikandi Sekolah Perempuan Crescent bersua semula

Anggaran Waktu Membaca:
Riuh apabila 220 bekas srikandi Sekolah Perempuan Crescent bersua semula

(Gambar: BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Suasana riuh dengan gelak tawa, celoteh dan titisan air mata gembira apabila bekas pelajar dan guru Sekolah Perempuan Crescent bersua semula di CSC@Changi pada Ahad (5 Nov).

Ada juga yang datang sejauh Perth dan Melbourne, Australia untuk bersua kembali dengan kawan-kawan lama.

Acara Dirgahayu Crescent - Melestarikan Semangat Srikandi itu berjaya menghimpunkan 220 alumni dari kohort tahun 1960 hingga 1999.

Ini merupakan kali pertama acara sedemikian diadakan bagi meraikan bekas pelajar sekolah yang dibangunkan pada 1955.

"Idea tercetus kira-kira tiga atau empat bulan lalu. Kami dapat menarik perhatian ramai bekas pelajar daripada kohort 1960-an lagi. Bagi saya itu adalah satu pencapaian yang positif.

"Crescent mempunyai ramai individu yang cemerlang dalam masyarakat kita. Jadi ini adalah satu peluang untuk kita bersatu hati, berbincang dan mengenali satu sama lain," kata anggota jawatankuasa pemandu acara itu, Cik Azidah Kamis.

Antara bekas pelajar termasuk mantan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Rahayu Buang, guru dan penggiat seni, Asnida Daud serta deejay WARNA 942, Suriani Kassim.
Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp)
Dalam kalangan mereka yang kali pertama bertemu kembali rakan sekelas selepas meninggalkan sekolah ialah
Cik Siti Hatijah Hussain daripada kohort 1972.

Beliau sempat berkongsi antara kenangan lucu yang tak dapat dilupakan sampai sekarang.

"Kami dari sekolah perempuan tetapi kami sangat nakal. Saya teringat saya dan rakan-rakan sedarjah memanjat tingkap di belakang kelas untuk makan rojak di kedai berhampiran. Selepas puas makan dan minum, kami pulang semula ke kelas. Cikgu kami langsung tidak sedar kami tinggalkan kelas!" seloroh Cik Siti Hatijah

Bagi Cikgu Saifah Ashraf yang masih lagi mengajar di Sekolah Perempuan Crescent pula, ia satu peluang baik untuk mengekalkan jalinan ikatan silaturahim dengan bekas anak muridnya.
Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp)
"Perjumpaan ini amat bermakna bagi saya. Saya teruja dijemput untuk majlis perjumpaan ini kerana saya dapat bertemu dengan bekas para pelajar yang saya tidak bertemu bertahun-tahun lamanya.

"Saya dapat bertanya atau mengetahui tentang perkembangan dalam hidup dan kerjaya mereka. Ini adalah sebuah majlis yang baik untuk mempunyai satu kesinambungan perhubungan di antara bekas para pelajar dengan guru-guru mereka," kata beliau.

Para hadirin turut mengenang kembali guru-guru dan teman-teman yang sudah pulang ke rahmatullah.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita