Risiko takrifan perkahwinan dicabar digambarkan Mahkamah Tinggi India, kata Shanmugam

(Gambar: Sajjad Hussain/AFP)
SINGAPURA: Risiko cabaran undang-undang terhadap pentakrifan perkahwinan yang sedia ada di Singapura "jelas digambarkan" menerusi keputusan Mahkamah Tinggi India untuk mengiktiraf pelbagai jenis "keluarga" yang berbeza, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Khamis (1 Sep).
Encik Shanmugam berkata mahkamah di Singpaura mengelak membuat keputusan sedemikian dan sebaliknya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Parlimen.
"Mahkamah kita lazimnya mengelak daripada mengambil pendekatan sedemikian, dan sebelum ini menegaskan bahawa isu-isu ini perlu ditangani di Parlimen," kata Encik Shanmugam menerusi catatan ke Facebook, sambil menambah bahawa pindaan Perlembagaan yang dirancang akan memastikan perkara tersebut.
Mahkamah Tinggi India pada bulan lalu memutuskan bahawa hubungan kekeluargaan boleh menyerupai hubungan domestik, tidak berkahwin atau antara sesama jantina, dan bahawa "jenis-jenis yang bukan satu kebiasaan" ini layak untuk menerima faedah kebajikan sosial.
Perintah itu yang terkini dalam siri keputusan mahkamah untuk mencabar norma sosial India dan berpotensi membawa kesan besar terhadap hak asasi wanita serta golongan homoseksual.
Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat beberapa tahun selepas ia menghapuskan Seksyen 377 Kanun Keseksaan India, yang serupa dengan Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura yang menetapkan seks antara dua lelaki adalah satu jenayah.
Beliau menegaskan bahawa Pemerintah Singapura akan membuat pindaan Perlembagaan untuk mengelak pentakrifan perkahwinan yang sedia ada daripada dicabar di mahkamah, menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong sewaktu ucapan Rapat Hari Kebangsaannya minggu lalu bahawa Seksyen 377A akan dimansuhkan.
"Buat masa ini, 'perkahwinan' dari sisi undang-undang dimaksudkan sebagai hubungan antara seorang lelaki dan wanita. Pentakrifan ini mungkin akan dicabar di mahkamah pada masa akan datang, kerana melanggar Perlembagaan (seiring dengan cabaran mahkamah mengenai Seksyen 377A pada masa akan datang).
"Untuk mengelak cabaran perundangan sedemikian, Pemerintah pada minggu lalu menyatakan kami akan meminda Perlembagaan - untuk memastikan pentakrifan 'perkahwinan' diputuskan di Parlimen, dan bukan menerusi cabaran di mahkamah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.