Skip to main content

Singapura

Risiko penyakit misteri Congo merebak ke SG rendah: MOH

Anggaran Waktu Membaca:
 Risiko penyakit misteri Congo merebak ke SG rendah: MOH

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 Dec 2024 07:46PM
SINGAPURA: Risiko untuk penyakit misteri di Republik Demokratik Congo (DRC) merebak ke Singapura adalah rendah, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (10 Dis).

Kementerian itu menyatakan bahawa wabak itu terhad di dalam zon kesihatan Panzi Congo.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit yang tidak didiagnos itu merebak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan meletakkan orang yang kekurangan zat makanan dalam risiko.

Sebanyak 406 kes direkodkan antara 24 Oktober hingga 5 Disember, yang 31 daripadanya membawa maut.

Simptom penyakit termasuk demam, sakit kepala, batuk, hidung berair dan sakit badan.

"Berdasarkan maklumat yang ada, WHO menilai bahawa risiko di peringkat serantau dan global kekal rendah," menurut MOH, menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Risiko penyakit itu diimport dari DRC ke Singapura dinilai rendah, memandangkan jumlah kecil perjalanan dan kurangnya penerbangan terus antara DRC dengan Singapura."

Pihak berkuasa Hong Kong baru-baru ini meningkatkan langkah saringan kesihatan ke atas semua penerbangan yang tiba dari hab transit Afrika untuk melindung daripada penyakit yang tidak dikenal pasti di Congo itu.

Walaupun tiada penerbangan terus antara Congo dengan Hong Kong, pelancong dari negara itu lazimnya sampai ke bandar melalui hab transit Afrika, terutamanya Johannesburg di Afrika Selatan dan Addis Ababa di Ethiopia.

Menurut Pusat Perlindungan Kesihatan Hong Kong, para pelawat akan menjalani pemeriksaan suhu, dengan kakitangan kesihatan menjalankan penilaian perubatan bagi mereka yang mempunyai simptom dan merujuk kes yang disyaki ke hospital untuk pemeriksaan.

Menurut MOH, sebagai sebahagian daripada langkah kesihatan sempadannya yang berterusan untuk mengesan penyakit berjangkit yang membimbangkan, semua pelawat yang tiba ke negara ini dikehendaki mengisytiharkan simptom seperti demam, batuk dan sesak nafas melalui pengisytiharan kesihatan elektronik.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan langkah tindak balas kami berdasarkan risiko kesihatan awam semasa," tambahnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita