Skip to main content

Singapura

Risiko keselamatan siber antara keprihatinan terhadap pindaan Akta Khidmat Bayaran

Dengan semakin banyak penggodaman melibatkan mata wang kripto dilaporkan baru-baru ini, banyak lagi boleh dilakukan untuk mempertingkatkan keselamatan siber institusi-institusi pembayaran, seperti memperkenalkan sistem pengkadaran bagi membantu orang ramai membuat pilihan dengan lebih berhemah.

Anggaran Waktu Membaca:
Risiko keselamatan siber antara keprihatinan terhadap pindaan Akta Khidmat Bayaran

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 05 Jan 2021 02:16PM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 02:19PM

SINGAPURA: Dengan semakin banyak penggodaman melibatkan mata wang kripto dilaporkan baru-baru ini, banyak lagi boleh dilakukan untuk mempertingkatkan keselamatan siber institusi-institusi pembayaran, seperti memperkenalkan sistem pengkadaran bagi membantu orang ramai membuat pilihan dengan lebih berhemah.

Saranan yang diusulkan oleh Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik Derrick Goh adalah antara isu yang dibangkitkan semasa membahaskan Rang Khidmat Bayaran (Pindaan) yang diluluskan pada Isnin (4 Jan).

10 AP yang membahaskan perkara itu turut menyuarakan keprihatinan seperti sama ada undang-undang baru itu sudah cukup untuk melindungi para pengguna daripada serangan siber, penipuan, terutamanya terhadap warga tua yang mungkin kurang arif tentang hal-hal berkaitan pendigitalan.

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung menarik perhatian bahawa khidmat pembayaran sudah berubah dengan pantas sejak Akta Khidmat Pembayaran diluluskan tahun lalu.

Encik Ong yang juga adalah anggota Lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menegaskan bahawa pindaan-pindaan itu bermatlamat untuk mencegah risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas melalui sektor pembayaran digital, serta meningkatkan perlindungan bagi pengguna.

"Dengan aktiviti-aktiviti inovatif dan model perniagaan baru yang muncul, satu kemajuan ketara adalah dalam sektor token bayaran digital.

"Ini adalah mata wang kripto, seperti bitcoin, yang bukan dalam denominasi sebarang mata wang, tetapi boleh digunakan sebagai satu kaedah pembayaran."

Encik Ong menambah bahawa kepantasan dan bentuk bayaran rentas sempadan bagi aktiviti pembayaran sedemikian membawa risiko lebih tinggi berlaku pengubahan wang haram dan pengganasan.

Antara lain, rang undang-undang itu juga akan memperkasakan MAS untuk mengawal selia penyedia khidmat token pembayaran digital tetapi mungkin tidak memilki wang atau token.

Ia akan memperluaskan kaedah khidmat pemindahan dana rentas sempadan yang merangkumi pemindahan dana antara orang dalam bidang kuasa yang berbeza di mana wang tidak diterima atau diiktiraf oleh penyedia khidmat di Singapura. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita