Skip to main content

Singapura

Risiko kanak-kanak kecil dapat penyakit jantung akibat vaksinasi 'jauh lebih rendah' ​​berbanding jangkitan COVID-19: MOH

Risiko kanak-kanak kecil didiagnosis dengan miokarditis, sejenis keradangan jantung, selepas disuntik vaksin adalah "jauh lebih rendah" daripada risiko mengalami komplikasi yang sama melalui jangkitan COVID-19, kata pengarah perkhidmatan perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH)Kenneth Mak pada Rabu (5 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Risiko kanak-kanak kecil dapat penyakit jantung akibat vaksinasi 'jauh lebih rendah' ​​berbanding jangkitan COVID-19: MOH

Seorang kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

SINGAPURA: Risiko kanak-kanak kecil didiagnosis dengan miokarditis, sejenis keradangan jantung, selepas disuntik vaksin adalah "jauh lebih rendah" daripada risiko mengalami komplikasi yang sama melalui jangkitan COVID-19, kata pengarah perkhidmatan perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH)Kenneth Mak pada Rabu (5 Jan).

Profesor Madya Mak memberi maklumat terkini mengenai vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di sidang media pasukan bertindak mengenai COVID-19.

Pada 21 Dis, Singapura mula memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak dalam kumpulan usia itu dengan dos vaksin yang lebih kecil berbanding remaja dan orang dewasa.

Berdasarkan kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) tentang kesesuaian perubatan vaksin, kanak-kanak dalam kategori usia itu akan ditawarkan hanya vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

Prof Madya Mak berkata vaksinasi bagi kanak-kanak "berjalan baik", dengan 11.4 peratus daripada mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat 3 Jan.

KEBERKESANAN DAN KESELAMATAN

Bulan lalu, agensi berita Reuters melaporkan bahawa Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat telah menerima sekurang-kurangnya lapan laporan kes miokarditis dalam kalangan kanak-kanak kumpulan umur tersebut yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Pada Rabu, Prof Madya Mak memetik penemuan keselamatan awal mengenai perkara itu daripada CDC AS, yang dikeluarkan pada akhir Disember.

Beliau berkata sehingga 19 Dis, sehingga 8.7 juta dos vaksin diberikan kepada kanak-kanak di AS berumur antara lima dengan 11 tahun.

Penemuan tersebut katanya, serupa dengan ujian klinikal yang dijalankan sebelum Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS memberi kelulusan bagi vaksin itu digunakan di negara tersebut.

Sebagai contoh, beliau berkata terdapat "kesan sampingan serius adalah rendah" termasuk tindak balas seperti rasa sakit pada bahagian disuntik, demam, muntah dan alahan.

Sementara itu, hanya 11 kes miokarditis dilaporkan daripada 8.7 juta dos yang diberikan.

Perangkaan itu, kata Prof Madya Mak, sama dengan kadar miokarditis selepas vaksinasi sekitar 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk.

“(Ini) jauh lebih rendah daripada kadar yang dicatat bagi penduduk yang lebih tua. Jadi dos lebih rendah dan formulasi pediatrik telah mengekalkan keberkesanan vaksin dan tidak menjejaskan keselamatan vaksinasi."

Prof Madya Mak berkata kadar miokarditis dan perikarditis, iaitu keradangan pada lapisan luar jantung, yang dikaitkan dengan jangkitan COVID-19 dilaporkan setinggi 45 bagi setiap 100,000 dalam kalangan belia berusia antara 12 dengan 17 tahun.

"Jadi jelas sekali risiko miokarditis dengan vaksinasi jauh lebih rendah daripada risiko mendapat komplikasi yang sama daripada jangkitan," kata Prof Madya Mak.

Beliau menambah meskipun dua kematian dilaporkan di AS semasa program vaksinasi untuk kanak-kanak, CDC AS menyatakan mereka tidak berhubung kait dengan vaksin itu.

JANGAN TUNGGU SAAT AKHIR

Pun begitu, Prof Madya Mak menegaskan pihak berkuasa "yakin formulasi pediatrik bagi vaksin Pfizer-BioNTech adalah selamat untuk kanak-kanak", dan menggesa ibu bapa supaya mendapatkan suntikan vaksin untuk anak mereka.

“Kita bernasib baik setakat ini kerana tidak melihat ramai kanak-kanak dijangkiti COVID-19. Tetapi tidak begitu berdasarkan pengalaman di negara lain termasuk United Kingdom dan AS.”

Prof Madya Mak berkata, kes pesakit kanak-kanak di kedua-dua negara itu sebahagiannya disebabkan kanak-kanak di sana tidak divaksinasi dan "terus berisiko" terdedah kepada jangkitan COVID-19.

"Dengan gelombang Omicron yang akan datang, kami menjangkakan lebih ramai kanak-kanak dijangkiti."

Justeru, Prof Madya Mak menggesa ibu bapa supaya "menerima pelawaan" untuk mendaftarkan anak mereka untuk divaksinasi di mana-mana pusat vaksinasi yang disediakan.

"Jangan biarkan hingga saat akhir," katanya.

“Jadi, jangan tunggu, benarkan anak anda diberi vaksin seawal mungkin bagi perlindungan dan kesejahteraan mereka.”

Sumber : Today/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita