Skip to main content

Singapura

Risiko gelombang haba di Singapura rendah bagi baki musim panas tahun ini: Janil Puthucheary

Anggaran Waktu Membaca:
 Risiko gelombang haba di Singapura rendah bagi baki musim panas tahun ini: Janil Puthucheary

Gambar fail. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 06 May 2026 02:20PM Dikemas Kini : 06 May 2026 02:21PM
SINGAPURA: Risiko untuk berlakunya gelombang haba di Singapura bagi baki musim panas tahun ini adalah rendah, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Janil Puthucheary pada Rabu (6 Mei).

"Berdasarkan ramalan cuaca, kemungkinan gelombang haba berlaku di Singapura bagi baki musim panas 2026, yang akan berakhir pada bulan Mei, adalah rendah," kata Dr Puthucheary ketika menjawab soalan parlimen daripada AP Melvin Yong.

Encik Yong bertanya tentang risiko gelombang haba di Singapura memandangkan beberapa kawasan di Asia Tenggara sedang mengalami cuaca yang sangat ekstrem.

Beberapa bahagian di rantau ini baru-baru ini mengalami panas yang sangat terik. Suhu di Malaysia melonjak melebihi 37°C di negeri-negeri seperti Perlis, Perak, dan Kedah, manakala Thailand mencatatkan indeks haba melebihi 52°C di Bangkok awal minggu ini.

Dr Puthucheary menjelaskan bahawa Singapura mengisytiharkan gelombang haba apabila suhu maksimum harian mencecah purata 35°C atau lebih tinggi di semua stesen cuaca selama tiga hari berturut-turut, dengan suhu purata harian sekurang-kurangnya 29°C sepanjang tempoh tersebut.

Beliau menambah bahawa Perkhidmatan Meteorologi Singapura (MSS) sentiasa mengeluarkan ramalan cuaca setiap dua minggu dan ramalan empat hari untuk memantau keadaan, termasuk suhu tinggi. MSS juga memantau fenomena iklim seperti El Niño dan bekerjasama dengan Pasukan Petugas Mercury untuk mengeluarkan nasihat kepada sektor yang bergantung kepada cuaca jika suhu tinggi berlarutan dijangka berlaku.

Beliau menegaskan bahawa pemerintah mempunyai inisiatif berterusan untuk menguruskan tekanan haba, sama ada gelombang haba diramalkan atau tidak, seperti mengeluarkan nasihat tekanan haba.

Nasihat tersebut memberikan panduan kepada orang awam untuk merancang aktiviti luar yang lama berdasarkan tahap haba semasa. Terdapat juga langkah khusus untuk sektor tertentu, seperti rangka kerja tekanan haba daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi kerja-kerja di luar bangunan.

Dalam soalan tambahan, Encik Yong bertanya sama ada pendekatan Singapura sekarang sudah mencukupi atau jika ada rancangan untuk memperkenalkan sistem amaran yang lebih rasmi serta menambah rangkaian sensor haba di seluruh pulau.

Dr Puthucheary menjawab bahawa kedudukan Singapura sekarang adalah kukuh, teratur, dan boleh dilaksanakan, namun penambahbaikan akan terus dibuat. Sejak 2023, Pasukan Petugas Mercury yang melibatkan lebih 30 agensi sektor awam sudah menyediakan pelan tindak balas khusus bagi setiap sektor. Singapura juga mempunyai definisi gelombang haba yang jelas sejak 2016 untuk membimbing tindakan.

Beliau menambah bahawa Singapura mempunyai rangkaian sensor yang mencukupi, dengan 19 stesen cuaca dan 27 stesen suhu khas di seluruh negara.

Encik Yong turut bertanya jika pemerintah sudah menilai kesan "pulau haba bandar" - di mana kawasan bandar yang padat menjadi lebih panas daripada kawasan luar bandar - dan bagaimana ia diambil kira dalam perancangan ketahanan haba negara.

Beliau juga bertanya sama ada garis panduan tekanan haba sedia ada untuk majikan mencukupi dan akan diperluaskan kepada tempat kerja dalam bangunan yang tiada alat pendingin udara serta pekerja penghantaran.

Dr Puthucheary berkata perkara-perkara ini akan dikaji oleh Pejabat Dasar Ketahanan Haba yang baharu, yang diumumkan awal tahun ini. Pejabat tersebut akan menyelaraskan tindakan di seluruh pemerintah dan memastikan rancangan sentiasa disesuaikan dengan perubahan persekitaran.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita