Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Risiko bahaya salah urut; apa yang perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA; Tidak dapat dinafikan urutan pada bahagian-bahagian tertentu dapat memberikan kelegaan, ketenangan sekali gus mampu meredakan keletihan pada tubuh badan. Maka tidak hairanlah jika terdapat banyak rumah urut yang menawarkan pelbagai jenis urutan tradisonal dan moden.

Namun, kebanyakan orang tidak tahu risiko bahaya dari urut terutamanya jika ia tidak dilakukan dengan betul atau urutan terlalu kuat oleh orang yang tidak terlatih.

Pakar fisioterapi kanan Xu Weijie dari Core Concepts, kumpulan klinik fisioterapi swasta, berkata apabila dilakukan dengan betul, urutan boleh memberi kesan menenangkan.

Dr Jade Chee dari jabatan pembedahan ortopedik di Hospital Universiti Nasional (NUH) pula berkata secara amnya mendapatkan khidmat urutan adalah selamat dan terbukti memberi manfaat kepada pesakit yang mengalami sakit muskuloskeletal (merujuk kepada rasa sakit yang menjejaskan tulang, sendi, urat saraf dan otot).
(Gambar: Pexel)
Beliau menambah bahawa dalam amalan fisioterapi, terapi urutan diiktiraf dalam rawatan keadaan muskuloskeletal dan ia sering disarankan seiringan dengan terapi senaman.

Dr Chee ialah pendaftar perubatan sukan di divisyen pembedahan sukan, bahu dan siku di jabatan NUH.

Meskipun demikian, dalam sesetengah keadaan, urutan boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Ia berlaku kepada seorang pesakit, yang dirujukkan ke Core Concepts untuk menjalani pemulihan saraf selepas satu 'kemalangan' semasa sesi urutan menyebabkan kecederaan di bahagian saraf.
 
(Gambar: Pexel)
Lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an tahun itu dan mengalami sakit leher sedia ada, telah pergi ke rumah urut untuk melegakan sengal-sengal di badan.

Namun, beliau sebaliknya kehilangan sensasi di lengannya selama kira-kira enam bulan.

“Tukang urut telah menekan leher lelaki itu dengan "keras dan menyakitkan", dan menahan tekanan di situ selama lima minit, " kata Encik Xu.

"Lengannya kemudian menjadi lemah dan dia tidak dapat rasa apa-apa pada lengannya itu.

"Dia terpaksa pergi ke jabatan kemalangan dan kecemasan dengan segera, dan mengambil masa kira-kira setengah tahun untuk mendapatkan semula sensasi di lengannya," tambah Encik Xu.

Kes begitu jarang berlaku, tetapi pakar mengatakan masih baik bagi pelanggan untuk mengetahui risiko apabila mendapatkan khidmat urutan.

SIAPA YANG HARUS ELAK DAPATKAN KHIDMAT URUT

Teknik urutan adalah kaedah alternatif untuk melancarkan aliran darah di dalam saluran darah bagi melegakan kesakitan.

Duduk lama di depan komputer, mengangkat barang berat dan tidur dalam posisi yang salah menyebabkan ramai individu berdepan masalah sakit leher serta ketegangan di bahagian bahu.

Walaupun kerap berurut, ia cuma mampu meredakan kesakitan seketika sahaja.

Apabila melakukan aktiviti yang sama, rasa tidak selesa ini datang semula.
(Gambar: Pexel)
Bagi mereka yang tidak boleh melepaskan rutin urutan mereka, Encik Xu berkata sesi urutan selama 60 hingga 90 minit sekali seminggu "tidak menjadi satu masalah" selagi mereka tidak mempunyai masalah kesihatan.

Namun, sesetengah orang lebih mudah terdedah kepada rhabdomyolysis iaitu keadaan perubatan yang berpotensi mengancam nyawa dan berlaku apabila terdapat kerosakan teruk pada tisu otot, tulang dan sendi.

Kumpulan berisiko lain termasuk mereka yang mengambil ubat tertentu untuk kawal kolesterol tinggi, gout akut dan kemurungan.
Gambar: Pexel
Encik Xu berkata wanita hamil juga harus elak dapatkan urutan, terutamanya jika mereka tidak pasti sama ada ahli terapi itu cukup mahir untuk melakukan urutan sebelum bersalin. Bagi wanita hamil yang ingin mengurangkan sakit belakang, mereka boleh mendapatkan khidmat pakar fisioterapi, saran beliau.

Pesakit kencing manis juga harus lebih berhati-hati, jika mereka menghidap neuropati diabetik, iaitu sejenis kerosakan saraf yang berlaku disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi dalam darah, selalunya pada bahagian kaki.

Selain itu, segera mendapatkan urutan selepas senaman intensiti tinggi juga tidak digalakkan kerana keadaan otot yang tertekan.
Sumber : Today/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan