Skip to main content

Singapura

Ringkasan Parlimen: Gaji Speaker dan sorotan lain pada 6 Okt

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Oct 2026 12:55AM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 12:40AM
Parliament roundup: Speaker's salary and other highlights on Oct 6
  • Singapore's Parliament on Tuesday approved salary adjustments for the President, Speaker and Deputy Speaker following the recommendation of an independent committee, without further debate.
  • The Finance Bill affects tax rebates, cash grants and global tax compliance, with the cost estimated at S$1.5 billion.
  • Amendments to financial services laws allow MAS to impose TLAC requirements on seven systemically important banks to safeguard the stability of the financial system.
  • Members of Parliament supported the regulation of data centres but raised concerns over energy, water and costs, while Jamus Lim proposed rental support as well as manpower support for the F&B sector.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Daripada rancangan untuk undang-undang baharu bagi memperkukuh hukuman pencegahan terhadap pesalah penipuan sehinggalah kepada langkah-langkah mengawal selia pusat data, Parlimen membincangkan pelbagai isu pada Selasa (6 Okt).

Dewan juga dimaklumkan bahawa lapan pegawai perkhidmatan awam telah dirujuk kepada pihak polis sebagai sebahagian daripada semakan terhadap pembelian hartanah berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan.

Pelarasan gaji bagi Presiden dan pegawai pengerusi Parlimen telah diluluskan, manakala Ahli Parlimen meluluskan perundangan yang merangkumi langkah-langkah cukai dan perlindungan kewangan.

Berikut adalah lima isu yang dibincangkan di Parlimen pada Selasa.

KENAIKAN GAJI PRESIDEN, SPEAKER DAN TIMBALAN SPEAKER

Parlimen meluluskan sebulat suara tiga usul berkaitan pelarasan gaji dan elaun bagi Presiden, Speaker Parlimen dan Timbalan Speaker Parlimen.

Tiga usul yang dibentangkan oleh Ketua Dewan, Indranee Rajah itu dibuat selepas Dewan membahaskan dan meluluskan kenaikan gaji jawatan politik pada bulan lalu. Mulai 15 Oktober, pemegang jawatan politik akan menerima kenaikan gaji sehingga 9 peratus, manakala elaun bagi Ahli Parlimen turut dinaikkan.

Tiada perbahasan diadakan pada hari Selasa memandangkan tiada Anggota Parlimen yang bangun untuk bercakap mengenai usul-usul tersebut, yang bertujuan mendapatkan resolusi Parlimen bagi melaksanakan syor daripada jawatankuasa semakan bebas untuk melaraskan pakej gaji bagi ketiga-tiga peranan itu.

Dengan kelulusan usul-usul tersebut oleh Parlimen, peruntukan dana rasmi (privy purse) yang digunakan untuk membayar gaji Presiden akan dinaikkan daripada S$1,568,900 (US$1,230,000) kepada S$2,568,200. Ini melaksanakan pelarasan gaji bagi Presiden, yang bersandarkan kepada gaji bulanan rujukan Perdana Menteri serta merangkumi bonus bulan ke-13 dan komponen berubah-ubah tahunan yang bersandarkan kepada kadar yang diterima oleh kakitangan perkhidmatan awam, kata Cik Indranee dalam ucapannya.

Sementara itu, gaji tahunan Speaker Parlimen, sekiranya ia merupakan jawatan sepenuh masa, bersandarkan kepada gaji tahunan rujukan menteri tahap MR4, yang terdiri daripada gaji pokok bulanan, bonus bulan ke-13 dan komponen berubah-ubah tahunan.

Memandangkan ia merupakan jawatan separuh masa, gaji Speaker akan menerima separuh daripada gaji tahunan rujukan MR4 tersebut, menjadikan jumlahnya antara S$550,000 hingga S$900,000 setahun.

Begitu juga, memandangkan jawatan Timbalan Speaker juga merupakan jawatan separuh masa, elaun tahunannya bersandarkan kadar 15 peratus daripada gaji tahunan separuh masa jawatan Speaker, menjadikan jumlahnya antara S$82,500 hingga S$135,000 setahun.

RANG UNDANG-UNDANG KEWANGAN (CUKAI PENDAPATAN)

Parlimen juga meluluskan satu Rang Undang-undang yang, antara lain, memberikan kesan perundangan kepada langkah-langkah percukaian yang diumumkan awal tahun ini. Langkah-langkah cukai tersebut bertujuan membantu perniagaan menangani tekanan kos akibat konflik di Timur Tengah dan melabur dalam kecerdasan buatan (AI).

Pindaan ini membolehkan pelaksanaan rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 50 peratus dan geran tunai S$2,000 (AS$1,560) yang diumumkan sebelum ini bagi syarikat aktif yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan.

Rang Undang-undang Kewangan (Cukai Pendapatan) itu juga memperkenalkan pindaan bagi mematuhi peraturan cukai minimum global terkini serta perubahan untuk memudahkan proses pengisytiharan cukai bagi pembayar cukai.

Menteri Kewangan Kedua Jeffrey Siow menganggarkan pindaan tersebut akan menelan kos sekitar S$1.5 bilion bagi pihak pemerintah.

RANG UNDANG-UNDANG PERKHIDMATAN DAN PASARAN KEWANGAN (PINDAAN)

Perubahan kepada Rang Undang-undang Perkhidmatan dan Pasaran Kewangan (Pindaan) telah diluluskan di Parlimen pada Selasa. Langkah ini akan memastikan institusi kewangan yang menghadapi masalah kewangan dapat ditangani dengan cara yang memelihara kestabilan kewangan serta mengekalkan keyakinan terhadap sistem kewangan Singapura, kata Menteri Negara bagi Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan.

Undang-undang baharu ini akan membolehkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan keperluan 'kapasiti menyerap kerugian keseluruhan' (TLAC) ke atas bank-bank domestik yang penting secara sistemik di Singapura. Bank-bank ini terdiri daripada tiga bank tempatan dan empat bank asing – iaitu DBS, OCBC, UOB, Citibank, Maybank, Standard Chartered dan HSBC.

TLAC merupakan sejenis piawaian antarabangsa bagi bank-bank sedemikian. Ia memastikan bank-bank tersebut mempunyai ekuiti dan hutang 'bail-in' (iaitu hutang yang boleh dihapus kira) yang mencukupi, supaya kerugian dapat dipindahkan kepada pelabur dan risiko bantuan kewangan pemerintah dapat diminimumkan sekiranya bank-bank itu menghadapi masalah kewangan.

Perubahan tersebut juga merangkumi beberapa "pindaan teknikal" bagi menyelaraskan rangka kerja Singapura dalam menangani pembiayaan percambahan senjata pemusnah besar-besaran dengan piawaian antarabangsa terkini yang ditetapkan oleh Pasukan Tindakan Kewangan (FATF), kata Encik Tan.

RANG UNDANG-UNDANG INFRASTRUKTUR DIGITAL

Parlimen telah membahaskan Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital, dengan kesemua 12 Anggota Parlimen yang berucap setakat ini menyatakan sokongan terhadap pengawalseliaan sektor pusat data.

Di bawah Rang Undang-Undang tersebut, semua pengendali pusat data di Singapura yang mempunyai beban IT kritikal sekurang-kurangnya 3 megawatt perlu dilesenkan.

Sebagai langkah awal, pusat-pusat data akan diwajibkan untuk memenuhi keperluan kecekapan tenaga di peringkat kemudahan, termasuk keperluan keberkesanan penggunaan kuasa (PUE).

Para Anggota Parlimen menyuarakan kebimbangan mengenai kesan iklim akibat pengembangan kapasiti pusat data di Singapura, dengan sesetengah pihak menarik perhatian kepada penggunaan air dan tenaga yang tinggi oleh kemudahan-kemudahan tersebut.

Mereka mempersoalkan sama ada Singapura mempunyai bekalan elektrik rendah karbon yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan lanjut pusat data, memandangkan sumber tenaga negara yang terhad, serta sama ada pengembangan itu boleh memberi tekanan tambahan kepada grid tenaga nasional.

Ada juga yang mempersoalkan pihak mana yang akan menanggung kos berkaitan pertumbuhan ini.

Persidangan ditangguhkan, dan perbahasan akan disambung semula pada Rabu.

USUL PENANGGUHAN BERHUBUNG PERNIAGAAN MAKANAN DAN MINUMAN (F&B)

Parlimen turut membincangkan usul penangguhan yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen GRC Sengkang daripada Parti Pekerja, Jamus Lim, mengenai usaha menyelamatkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) tempatan. Beliau menggesa supaya kekangan berkaitan sewa dan tenaga kerja bagi sektor tersebut dilonggarkan.

Berhubung isu sewa, beliau mencadangkan agar agensi awam dan badan gabungan pemerintah mengambil langkah awal untuk mewujudkan aturan penyewaan alternatif; contohnya, dengan mengguna pakai kriteria tender yang memberi penekanan lebih besar kepada jenis hidangan, mutu perniagaan, serta rancangan inovasi dan produktiviti, dan bukan sekadar harga bidaan semata-mata.

Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja, antara cadangan beliau ialah membenarkan pengendali F&B mengambil pekerja dari Malaysia sebagai pembantu gerai, memandangkan mereka "jelas berkongsi budaya penjaja yang serupa".

Sebagai respons, Menteri Negara Kanan bagi Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan, Low Yen Ling, mengatakan pelaksanaan kawalan sewa bukanlah sesuatu yang "mudah" dan "boleh membawa kesan yang meluas".

Beliau menjelaskan bahawa hartanah komersial beroperasi di bawah keadaan pasaran yang berbeza, manakala perniagaan pula sangat pelbagai dari segi model operasi, lokasi, dan profil pelanggan.

Pelaksanaan had maksimum sewa akan menuntut campur tangan langsung pemerintah dalam rundingan pajakan komersial swasta, kata Cik Low. Beliau menambah bahawa langkah sedemikian boleh memesongkan harga pasaran dan menghalang kadar sewa daripada mencerminkan keadaan sebenar permintaan dan penawaran. Beliau menambah pemerintah menyediakan fleksibiliti tenaga kerja secara bersasar "di mana terdapat keperluan yang jelas", seperti membenarkan perniagaan mengambil pekerja pemegang permit kerja dari sumber bukan tradisional bagi peranan terpilih yang tersenarai dalam senarai pekerjaan sumber bukan tradisional, contohnya tukang masak. Senarai tersebut telah diperluas untuk merangkumi lebih banyak peranan dalam sektor makanan dan minuman (F&B) mulai bulan September.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita