Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rindu saksikan perlawanan bola sepak secara beramai-ramai kini terubat akhirnya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keriuhan menyaksikan pertandingan bola sepak secara beramai-ramai di kelab-kelab masyarakat atau tempat awam lain kini dapat dirasakan kembali sejak pandemik melanda. 

Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah musim Sukan SEA dan Piala FA.

Semangat rakyat Singapura menyokong pasukan negara juga dapat dirasakan di Hab Tampines Kita (OTH) dengan penyiaran perlawanan bola sepak semalam (14 Mei).

Tepat pada jam 5.00 petang, para penduduk sudah mula berkumpul bagi menonton acara bola sepak lelaki  Sukan SEA antara pasukan Singapura dengan Malaysia. 

Ia disiarkan secara langsung di Central Plaza di OTH.

Ini selepas dua tahun tidak dapat berkumpul sebegini akibat pandemik COVID-19.

Suasana juga bertambah gamat dengan sorakan para penduduk itu, setiap kali pasukan Singapura menjaringkan gol.

Antara penduduk yang menyaksikan perlawanan itu termasuk Encik Asnawi, 70 tahun, yang melahirkan rasa seronok dapat berkumpul beramai-ramai.

"Walaupun saya tak kenal mereka, tapi kita semua peminat bola sepak. Jadi kita rasa bangga," kongsi Encik Asnawi yang akui beliau merindu suasana meriah ini.

"Begitu lama kita tidak berkumpul. Akhirnya kita dapat bersama dengan mereka juga untuk perlawanan bola sepak ini,". 

Bagi Encik Asnawi juga, inisiatif OTH untuk menyiarkan kembali perlawanan-perlawanan sukan sebegini amat baik.

Ini kerana masyarakat dapat berkumpul dan menjalinkan silaturahim tidak kira latar belakang mereka, sambil menonton dan bersorak untuk pasukan yang disokong mereka. 

TONTON BOLA SEPAK LEBIH BAIK DALAM KUMPULAN

Pandangan ini juga turut dikongsi oleh seorang lagi penduduk, Md Hussain Bin Zainul Arifin.

"Ramai yang berkongsi minat yang sama dalam menonton sukan seperti bola sepak lelaki dan ia membawa keamanan, harmoni dan sifat sosial dalam masyarakat," kongsi Encik Hussain, 38 tahun. 

Bagi beliau, menonton bola sepak beramai-ramai ini jauh lebih bermakna berbanding menontonnya bersendirian di rumah.

"Jika anda menonton perlawanan ini di rumah, anda hanya menonton bersendirian tanpa pandangan atau maklum balas daripada rakyat atau masyarakat sukan," kongsi Encik Hussain yang menetap di Pasir Ris.

"Jadi lebih baik jika anda menonton dalam satu kumpulan atau dengan keluarga dan orang tersayang," tambah beliau lagi. 

Bagi Encik Hussain, menonton secara berkumpulan juga bermakna mereka dapat berbincang tentang persembahan pasukan yang beraksi dalam perlawanan tersebut.

TONTON DI OTH KERANA TIDAK ADA TELEVISYEN DI RUMAH

Selain membawa masyarakat bersama, satu lagi manfaat daripada inisiatif OTH ini ialah ia memberi peluang bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan untuk menikmati perlawanan-perlawanan ini.

Misalnya bagi Encik Abdul Aziz, 70 tahun, perasaan lega dapat berkumpul lagi dengan keadaan COVID-19 yang bertambah baik dikongsi kepada BERITAmediacorp.

"Di rumah pun tak ada televisyen, jadi nonton di sini sahajalah," ujar Encik Abdul. 

"Jadi COVID-19 sudah kurang sedikit jadi saya pun berasa senang sahaja," tambah beliau. 

Selain menyiarkan perlawanan bola sepak Sukan SEA, OTH turut menayangkan pusingan terakhir Piala FA antara Chelsea dan Liverpool di Festive Plaza pada 14 Mei.

Secara keseluruhan, sekitar 400 penduduk menonton penyiaran bola sepak buat kedua-dua perlawanan itu di OTH. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan